15 Nov 2012

Mind Game: Sindrom naif

Bodoh lagi memperbodohkan
Diperbodohkan oleh orang-orang bodoh


APABILA anda diperbodohkan oleh orang-orang yang sedia bodoh tetapi berlagak pandai, ia adalah satu peringkat yang sangat memalukan kerana anda telah gagal memanfaatkan akal ketika anda diperbodohkan oleh orang-orang yang juga tidak menggunakan akal.

Apa yang perlu anda lakukan sekiranya diperbodohkan oleh orang-orang yang bodoh ialah segera memajak (pawn) akal anda di mana-mana premis pajak gadai (pawn shop) dan membayar kadar bunga (interest) pada setiap bulan sebelum menebusnya kembali. Kerana apa anda disuruh berbuat kerja bodoh memajak akal di kedai pajak dan membayar wang faedah seperti itu? Itu memang satu kerja bodoh, kan?

Orang bodoh yang berlagak bijak biasanya cuba mengelak daripada memetik fakta ketika dia bercakap, kerana ia akan memalukan dirinya sendiri apabila tersalah memetik fakta. Itulah yang orang bodoh lakukan ketika bercakap dengan anda. Dia seboleh-bolehnya mahu kelihatan sangat bijak meskipun dia terang-terang bodoh bercakap tanpa fakta, lebih banyak auta berbanding fakta.

Sebaliknya, orang bodoh itu lebih gemar bercakap menggunakan 'perumpamaan-perumpamaan' yang bodoh-bodoh belaka, ia dengan harapan supaya perumpamaan-perumpamaan itu dapat mempengaruhi tahap kewarasan pengikut-pengikutnya yang sedang cuba diperbodohkan.

Akibatnya, semakin ramai orang diperbodohkan oleh orang-orang yang bodoh. Tidak ubah pula seperti filem-filem zombie, apabila seorang zombie itu menggigit seorang manusia sihat, maka manusia sihat itu pun akan bertukar menjadi zombie.

Ia kerana zombie-zombie itu sudah tidak ada akal, sudah tidak guna otak, itulah sebab zombie-zombie dalam filem Zombie Kampung Pisang itu merayau-rayau mencari mangsa di sekeliling kampung sambil menyebut "otak...otak.." kerana mahu menjamah otak orang lain kerana otak mereka sendiri sudah tidak boleh 'dipakai'. Ada mesej sinis dalam Zombie Kampung Pisang, anda juga tidak terlalu bodoh untuk memahaminya.

Dalam kes orang bodoh yang memperbodohkan orang lain itu pula adalah sama macam keadaan seorang zombie menggigit mangsa dan mangsa itu juga berubah menjadi zombie. Zombie yang sudah tidak ada akal dan mahu merosakkan akal orang lain pula.
-----

Sindrom naif

Naif (naive), boleh dikatakan maksudnya hampir sama dengan lurus bendul yang disebabkan tidak tahu apa-apa atau disebabkan tiada pengalaman dalam menghadapi sesuatu perkara yang sedang dialami. Akibatnya, hanya ikut sahaja kata-kata orang lain kerana mudah terpengaruh.

Terlalu lurus dan hanya tahu mengangguk-angguk tanpa tahu membantah sehingga tidak sedar yang diri itu sedang diperbodohkan.

Sindrom ini juga berlaku dalam suasana pemimpin-pengikut (leaders-followers). Pemimpin dan pengikut boleh sama-sama menjadi naif. Bezanya ialah pemimpin yang naif itu cuba berlagak pandai di hadapan pengikutnya yang juga naif, manakala pengikut pula hanya tahu mengangguk kepada setiap perkataan pemimpin mereka.

Apabila pemimpin yang naif itu berbicara mengenai sesuatu perkara yang dia sendiri tidak mahir, maka pemimpin itu cenderung untuk bercakap secara bodoh yang tidak bersandar kepada fakta atau pertimbangan-pertimbangan yang sewajarnya.

Katakan, pemimpin di zaman moden itu SPM pun tak lepas atau belajar di universiti pun tak sempat nak habis sebab kena 'tendang' kerana 'pointer' berada di bawah mata lulus minima atau kena 'buang' sebab ada masalah disiplin. Ada juga orang yang berjaya dalam hidup walaupun tidak berpelajaran tinggi, walaupun tidak berpelajaran tinggi tetapi dia tetap memiliki kecerdasan akal, ia membezakan antara orang yang tidak berpelajaran tinggi tetapi berjaya dalam hidup dengan orang tidak berpelajaran tinggi yang menjadi pemimpin.

Tetapi, disebabkan dia diangkat menjadi pemimpin, maka dia 'kena' tunjuk pandai di hadapan para pengikutnya. Kemudian, pemimpin itu diminta mengulas mengenai ekonomi negara walaupun dia sendiri tidak lulus SPM dan tidak faham sangat mengenai ekonomi kerana SPM pun tak lulus dan LCE pun cukup-cukup makan saja. Tetapi dia 'kena' juga tunjuk pandai, sebab dia itu pemimpin, pemimpin mestilah 'nampak' macam pandai. Jadi, dia cakap, ekonomi negara macam ini, macam itu dan bla..bla..bla tanpa merujuk fakta atau angka yang membayangkan keadaan sebenar ekonomi negara. Dan, dia hanya tahu memburukkan orang lain, mengherdik orang lain, namun fakta ekonomi tidak juga dirujuk atau dipetik dalam setiap kata-katanya.

Dia hanya tahu bercakap seperti burung kakak tua yang tidak tahu apa-apa, seperti burung kakak tua yang otaknya lebih kecil daripada bebola matanya. Lihat dunia dari mata burung (yang lebih besar daripada otaknya) atau lihat dunia dari bawah tempurung (yang terletak di atas bumi yang nyata), mana lebih baik?
Para pengikut pula hanya tahu mengangguk. Langsung tidak mempersoal setiap kata-kata bodoh tanpa fakta yang keluar daripada mulut pemimpin mereka. Tidak mahu mempersoal atau tidak berani mempersoal, itu bukan persoalannya.

Pemimpin biasanya dipilih dalam kalangan orang-orang yang bijak, iaitu jauh lebih bijak daripada para pengikutnya. Kalau pemimpin itu sangat bijak, maka ia memperlihatkan seperti pengikutnya juga bijak walaupun tidak sebijak  pemimpin mereka.

Tetapi, apabila seseorang yang bodoh diangkat menjadi pemimpin, ia memperlihatkan seperti pemimpin bodoh yang diangkat itu hanya lebih pandai sedikit daripada para pengikut.

Kalau pemimpin itu bodoh, maka pengikutnya pula adalah jauh lebih bodoh. Maka, jadilah mereka golongan yang bodoh dan dipimpin pula oleh orang-orang yang bodoh. Tetapi, ada juga pengikut yang cerdik pandai, ada ijazah, ada sarjana, ada kedoktoran dan sebagainya. Namun, mengapa pula seorang bodoh juga yang mahu diangkat menjadi pemimpin?

Lebih memalukan, orang yang ada ijazah, ada sarjana dan ada kedoktoran pula yang terhegeh-hegeh mengangguk terhadap setiap kata-kata bodoh yang keluar daripada mulut pemimpin mereka. Langsung tidak mempersoalkan setiap kenyataan bodoh yang keluar daripada mulut pemimpin bodoh itu. Sekarang, siapa lebih bodoh? Atau, sedang diperbodoh?

Jadi, ada beberapa masalah di situ, itu pun kalau anda memerhatikan masalah-masalah itu dengan pandangan yang sangat cermat lagi halus. Ia salah satunya ialah sindrom naif di kedua-dua belah pihak iaitu pemimpin dan pengikut.

Pemimpin dan pengikut adalah sama-sama naif dalam konteks yang berbeza. Ia terbelit dalam ruang lingkup pemimpin-pengikut.

Jika anda adalah orang yang sentiasa mencari keterangan yang benar, maka anda tidak akan hanya duduk diam sambil mengangguk-angguk, sebaliknya anda akan terus mempersoalkan setiap kata-kata bodoh pemimpin itu dengan meminta penjelasan-penjelasan yang lebih masuk akal, ia juga melambangkan anda adalah orang-orang yang berakal.
--

Untuk tidak mahu menjadi mangsa kepada kata-kata bodoh yang keluar daripada mulut pemimpin yang bodoh, maka anda harus melakukan sesuatu yang bijak, iaitu sesuatu yang akan menguji kebijaksanaan pemimpin itu. Jika pemimpin itu memang bodoh di tahap yang sangat bebal, maka ia akan jelas terpampang. Jika pemimpin itu memang bijak di tahap yang bergeliga otaknya, maka ia juga akan terpampang dengan jelas.

Sesuatu yang bijak itu ialah meminta pemimpin mereka mengulas sesuatu perkara dengan bijak, bersandar kepada fakta dan keterangan yang sewajarnya, dan bukan hanya bersandar kepada rasa hasad dengki yang hanya tahu memperlekeh atau merendah-rendahkan usaha orang lain.

Contohnya, apabila kita bercakap mengenai kereta Honda, kita sekurang-kurangnya kena tahu varian atau teknologi enjin VTEC atau i-VTEC yang dipasang pada sesebuah kereta Honda itu serta teknologi-teknologi lain yang diguna pakai dalam sesebuah model kereta Honda itu, sistem brek, sistem kotak gear CVT, AT atau sebagainya.

Jadi, kalau ditanya kepada pemimpin itu mengenai prestasi  enjin kereta keluaran Honda, akan terlihat satu masalah kalau pemimpin yang bodoh itu bercakap pula mengenai betapa cantiknya setiap model kereta Honda dengan memetik contoh yang tidak berkaitan, contohnya membandingkan pula model Honda Integra dengan model kereta pengeluar lain.

Yang ditanya ialah mengenai prestasi kereta Honda iaitu berkait dengan enjin dan segala sistem teknologi yang ada pada sesebuah model yang mempengaruhi prestasi sesebuah kereta, tetapi yang dijawab pula ialah kereta Honda itu cantik. Tidakkah bodoh?

Kalau anda menjadi orang yang mengajukan soalan (seperti  wartawan), tidakkah anda berasa bahawa orang yang memberikan jawapan yang tidak memenuhi kehendak soalan itu sebagai satu perbuatan yang bodoh? Tetapi, anda bukan wartawan, anda hanya jadi pengikut yang hanya tahu angguk-angguk apabila disuruh angguk dan geleng-geleng apabila disuruh geleng.

Jangan kecil hati, anda sebenarnya adalah orang-orang yang bijak. Dan, anda juga tidak akan puas hati apabila seseorang itu memberikan jawapan yang tidak menjawab soalan anda secara bijak dengan keterangan yang sepatutnya.

Mulakan dengan bertanya kalau anda berasa bahawa pemimpin anda tidak bijak dan kerap memberi jawapan yang bodoh-bodoh sehingga anda berasa seperti bodoh dan diperbodohkan.

Apabila jawapan diberikan, maka berfikirlah sejenak mengenainya, mencongak jawapan itu dengan cara yang lebih pantas daripada komputer. Kemudian jika ada pergeseran antara fakta dan keterangan, maka persembahkanlah pula soalan tambahan yang seterusnya. Teruskan bertanya sampai anda mendapat jawapan yang solid lagi kukuh bersandar kepada fakta. Pemimpin yang bodoh selalunya lebih banyak auta bermain kata-kata berbanding fakta.

Jika pemimpin anda memberikan jawapan yang bodoh, ia juga melambangkan diri anda sendiri kerana anda adalah orang yang bertanggungjawab mengangkat orang bodoh itu menjadi pemimpin. Mahukah anda menanggung malu akibat dibayangi oleh kebodohan para pemimpin anda?

Sedarkah bahawa ada di kalangan kamu yang sedang dipimpin oleh orang-orang bodoh sehingga mula sanggup menyisihkan orang-orang berilmu seorang demi seorang? Maka, akan tiada lagi orang-orang berilmu dalam kelompok itu apabila orang-orang bodoh mula diangkat menjadi pemimpin.

Apabila kebodohan sudah diangkat sebagai kebijaksanaan, maka kebijaksanaan akan pupus dengan sendirinya. Dan apabila kebijaksanaan itu telah pupus akibat dilenyapkan oleh kebodohan yang semakin menggila, maka kebijaksanaan itu akan menjadi hina seperti najis yang bertempek dalam mangkuk tandas.  Kutiplah kembali akal yang bijaksana itu dari mangkuk tandas dan tempeklah ia kembali ke dinding akal walaupun berasa hina sebagaimana mengutip najis untuk dilumurkan di kepala.
 
Ingat, pemimpin yang baik ialah orang yang menjadikan anda lebih bijak dengan pertimbangan-pertimbangan yang masuk akal. Bukan pula orang yang memberikan penjelasan-penjelasan bodoh lagi tidak masuk akal dan tidak menjawab sesuatu perkara dengan bijaksana.

Apabila seorang zombie menggigit manusia sihat, maka manusia sihat itu juga akan bertukar menjadi zombie, itu selalu kita lihat dalam filem-filem fiksyen mengenai zombie.

Anda juga adalah watak-watak dalam filem-filem zombie di alam 'matrix-nyata' ini.



Jangan jadi naif.
Jangan jadi bodoh.
Tersurat atau tersirat dalam artikel ini, terpulanglah kepada anda.



Berhijrahlah daripada bodoh kepada cerdik



Salam Maal Hijrah.

-DRIFTER-
maaf, kata-kata aku memang keras.





.

No comments:

Post a comment

PERHATIAN!!!

Pembaca diminta supaya mengguna bahasa yang sopan dan penuh santun dalam ruang komen. Sila guna bahasa bersopan santun walaupun anda tidak bersetuju dengan mana-mana artikel di sini. Sila jadi orang yang matang dalam menyuarakan sesuatu komen terhadap sesuatu perkara. Komen-komen yang menggunakan bahasa kesat akan dibuang walaupun ia bermaklumat atau sarat dengan isi kritis. Bahasa keras dan bahasa kesat adalah dua perkara yang berbeza. Harap maklum.