23 Mar 2012

Nota STALKER: Perintah yang kita lalai untuk patuhi

Perhatikan kaki-kaki mereka dan bahu-bahu mereka



SEMASA saya masih bersekolah, masih belum pandai berdikari dan masih dijaga keluarga, saya dan abang-abang saya selalu bersolat jemaah yang diimankan oleh arwah bapa saya. Manakala dua kakak saya pula menjadi makmum di belakang yang sebaris dengan ibu saya, iaitu di belakang saff pertama yang membariskan saya dan abang-abang saya.

Dalam solat berjemaah itu, arwah bapa saya selalu berpesan supaya merapatkan dan meluruskan saff sebelum dia membaca niat dan melafazkan takbir membuka solat. Dia tidak akan memulakan niat solat selagi saff kami tidak disempurnakan dengan betul.

Arwah bapa saya akan pastikan arah jari-jari kaki kami lurus ke hadapan menghadap kiblat sebagaimana lurusnya arah jari kaki menghadap ke hadapan semasa berjalan.

Bukan senget seperti orang yang kengkang semasa berjalan, kalau kengkang semasa berjalan maka pincanglah gaya berjalan, seperti itulah dia umpamakan kalau arah jari kaki tidak diluruskan menghadap kiblat dalam saff.

Kalau jari kaki senget, ia sudah tidak menghadap kiblat kerana garis lurus dari hujung jari itu tidak lagi betul-betul menghadap kiblat dengan tepat.

Sisi kaki kiri dan kaki kanan kami akan dia pastikan supaya saling bersentuhan, dia akan pastikan supaya tiada jarak yang memisahkan. Kalau arah jari kaki dipastikan lurus, maka barulah dapat dipastikan setiap sisi kaki kami saling bersentuhan. Jika arah jari kaki tidak lurus atau senget, sudah pasti sisi kaki kiri dan kaki kanan kami tidak dapat dirapatkan.

Bahu-bahu kami, juga dia suruh rapatkan supaya tiada ruang yang memisahkan. Selepas semua dipastikan lurus dan rapat, dia berkata dengan terang lagi tegas: “Itu barulah meluruskan saff dan merapatkan saff.” Masih segar di dalam memori walaupun sudah lebih 12 tahun bapa telah meninggalkan kami untuk bertemu Penciptanya.

Setiap kali ahli keluarga kami pulang ke kampung asal untuk bertemu dan berkumpul, kami juga akan mengumpulkan saudara-saudara kami dari kalangan sepupu terdekat yang rumah asal mereka berhampiran dengan kampung kami. Ketika itu, kalau kami berjemaah, saff itu akan dipastikan lurus dan rapat. Hubungan keluarga tidak pernah renggang, ia kekal rapat dan akrab sepertimana rapatnya saff itu.

Hari ini, Jumaat, saya tiba-tiba ‘rindu’ kepada saff yang rapat seperti itu.

Selepas habis khutbah Jumaat, saya bangun mencari tempat yang paling hadapan sekadar saya mampu kerana barisan yang lebih hadapan telah penuh. Semasa mencari tempat, kebetulan saya lihat ada dua lelaki berdiri dengan arah jari kaki yang lurus, manakala kebanyakan yang lain pula berdiri dengan arah jari kaki yang senget.

Saya gembira sebentar kerana itulah tempat yang saya pilih kerana melihat kaki mereka lurus dan pergi duduk di tengah-tengah antara dua lelaki itu. Saya sedikit terlambat untuk membaca niat kerana imam telah pun membuka solat dengan melafazkan takbir.

Saya membetulkan dan meluruskan kaki, merapatkan sisi kedua-dua kaki dengan kaki mereka. Bahu pula tidak dapat saya rapatkan kerana jaraknya jauh, tidak dapat saya minta mereka berdiri rapat sedikit dengan saya kerana mereka sudah mengangkat takbir, maka saya kembangkan bukaan kaki supaya rapat dengan kaki mereka dan kembangkan bukaan siku supaya kedua-dua siku saya menyentuh lengan mereka. Saya kemudian membaca niat dan melafazkan takbir. Di situ, saya insaf kerana terlambat untuk menyempurnakan saff dengan mereka, tapi saya cuba juga untuk rapatkan.

Doa iftitah kemudian dibaca, belum habis dibaca, kemudian saya sebak, seperti mahu menangis. Bukan disebabkan gembira kerana saya berpeluang berdiri dalam saff seperti yang saya rindu selama ini, bukan kerana itu yang buat saya rasa sebak.

Rasa sebak itu terlahir apabila kedua-dua makmum di kiri dan kanan saya itu menjauhkan sisi kaki mereka dengan sisi kaki saya. Mereka menjauhkan sisi kaki mereka sedikit demi sedikit. Semakin sisi kaki saya dijauhi oleh sisi kaki mereka, semakin sebak dan bergenang air mata namun tidak tumpah ke lantai permaidani masjid.

Tetapi saya tetap pastikan hujung siku saya sentiasa menyentuh lengan mereka yang sedang qiam sehingga imam selesai memberi salam. Saya tidak mahu melayan rasa sebak itu ketika sedang bersolat. Perasaan ketika itu hanyalah mahu bersolat kerana Allah.

---

Selepas selesai solat Jumaat, barulah saya berfikir. Mengapa orang Melayu yang beragama Islam tidak mampu memahami perintah Allah dan Rasul-Nya, kemudian berpecah belah. Apabila saff mahu dirapatkan, mereka memilih untuk menjauhkan. Mungkin mereka rasa geli geleman kerana kulit sesama lelaki bersentuhan walaupun sentuhan itu hanya untuk merapatkan saff sesama jemaah solat.

Saya rindu kepada saff seperti itu. Saff seperti itulah yang membuatkan saya dan kaum keluarga saya tidak pernah bergaduh atau berpecah meskipun kadang kala dihimpit salah faham yang sememangnya lumrah.

Begitu juga dengan rakan-rakan keluarga saya yang pernah berjemaah bersama ketika kami semua masih bersekolah dan tinggal bersama ibu bapa kami. Mereka juga tidak pernah berasa renggang dengan keluarga kami kerana dapat merasai dan menghayati nikmat saff itu. Nikmat saff yang menyatukan hati dan jiwa sehingga dapat menghayati persaudaraan walaupun mereka itu bukan saudara kandung kami.

Andai saff diluruskan dan dirapatkan, hati kita akan lebih mudah disatukan. Timbul rasa kasih sesama umat, timbul rasa mahu ‘menjaga’ sesama umat, timbul rasa mahu sama-sama menjaga hubungan sesama umat. Hubungan sesama umat menjadi rapat, tidak renggang walau satu milimeter.

Andai ada yang bertelagah sesama umat, akan lebih mudah untuk mendamaikan kerana saff yang rapat itulah salah satunya yang akan mendamaikan. Saya tidak mampu untuk menyusun perkataan saya kali ini, saya tidak mampu untuk memilih perkataan yang sesuai untuk kali ini.

Apakah perintah yang kita gagal patuhi?

“Adalah Nabi SAW apabila telah berdiri di tempatnya untuk solat, tidaklah terus baginda bertakbir, sebelum melihat ke kanan dan ke kiri menyuruh makmum merapatkan bahu mereka (di dalam saff) dan bersabda: Janganlah kamu maju (menghadap kiblat) dengan mundur (tidak lurus), yang menyebabkan mundurnya jiwa-jiwa kamu. - (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Allah memerintahkan supaya kita mentaati Rasul-Nya. Ingkar perintah Rasul juga bererti kita ingkar perintah-Nya.

Saya hanya mahu minta para pembaca blog ini memahami maksud saya dalam menghayati pengertian merapatkan dan meluruskan saff walaupun tidak mampu untuk saya ungkapkan semua perkataan yang sesuai buat kali ini.

Kepada kedua-dua saudara sesama umat yang menjauhkan kaki mereka dengan kaki saya di masjid tadi, sayalah orang yang berkopiah hitam itu yang tidak berasa geli geleman untuk merapatkan kulit saya dengan kulit kamu meskipun saya sedar bahawa kamu mahu menjauhkan kaki kamu daripada kaki saya yang sedang berada dalam satu saff dengan kamu. Saya mahu merapatkan saff, tetapi kamu memilih untuk sekadar berbaris. Saya tidak marah kedua-dua mereka.

Berbaris dalam solat tidak sesempurna maksudnya dengan pengertian saff.



Saya tidak mahu menulis panjang untuk kali ini, cukuplah saya berhenti di baris ayat ini.




-STALKER-

9 comments:

  1. Islam itu pertama kali hadir dalam keadaan aneh, ia juga akan kembali gemilang dalam keadaan aneh.

    merapatkan kaki hingga bersentuh kulit itu juga makin aneh di kalangan kita hari ni. berasa janggal kerana selama ni kita bersolat berjemaah tanpa merapatkan saf dengan cara yang sebenarnya.

    terima kasih kerna mengingatkan perkara ni.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Warahmatullah

    Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah.

    Apabila berdiri tegak, tepi kaki kita bersentuhan dengan kaki orang disebelah kanan dan kiri. Pada masa itu ada perasaan aneh yang menyenangkan dalam diri. Tapi sayang, apabila kita buat begitu, mereka pula merenggangkan.

    Apabila sujud pula, tepi tangan kita akan bersentuhan dengan tangan orang disebelah. Yang ini kebiasaanya orang disebelah kita tak perasan dan mereka tak pula cuba merenggangkan.

    Bila bangun untuk mengerjakan solat, saya perhatikan untuk memenuhi ruang kosong dan saf hadapan, ramai orang kita seperti berat dan lambat. Tidak mahu berebut malah lebih suka menunggu orang sebelah yang pergi ke hadapan.

    Orang Arab, kebiasaannya apabila dua orang berbicara, mereka dalam keadaan yang sangat rapat. Mat Saleh@orang Eropah, apabila dua orang berbual, antara mereka akan ada jarak yang dianggap sebagai ruang peribadi.

    Mungkin orang kita ni terbawa-bawa dengan cara barat, maka sebab itulah terbawa-bawa juga dalam solat.Individualistik.

    Maka benarlah sabda nabi di dalam pesan/khutbah yang terakhir mengingatkan kita agar jangan sampai syaitan berjaya menyesatkan kita di dalam perkara yang kecil. Dan mungkin perkara-perkara kecil inilah orang-orang kita abaikan, mungkin kerana jahil.

    Benarlah pesan Saidina Ali, manusia menjadi musuh kepada apa yang tidak diketahuinya.

    Terima kasih atas perkongsian.

    ReplyDelete
  3. lagi sedih bila umat islam yg diluar sana, ramai yg masih belum kenal solah n perintah Allah.. ini lah keadaan akhir zaman kita yg nabi saw sgt risaukan.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum semua.

    Benar apa yang saudara kata kan, tapi perkara ini tak menyebabkan batal nya solat. Lebih penting solat kita sah dan di terima Allah swt.

    Saya cuma nak tambah, apa kata kita semak balik solat kita adakah di sah dan betul di sisi Allah swt atau tidak?

    contoh semasa sujud ibu jari kaki di tekan kan atau tidak, dgn tomakninahnya, dan sebagainya.

    Saya mengharapkan teguran kalian semua atas komen saya ini.
    Terima kasih.

    ReplyDelete
  5. Mungkin kita patut buang jauh2 prasangka lelaki yang bersentuhan adalah gay? (sebab saya pun termasuk golongan 2 sahabat dalam cerita di atas). Terima kasih atas peringatan ini. Kalau tak bersentuh arus tak jalan. Sedangkan sentuhan adalah satu bentuk terapi jugak.

    Buat saudara di atas, bila dah cukup syarat sah solat, takkan nak berhenti di situ saje? sedangkan pahala berjema'ah kan 27. saya pernah dengar dari ustaz Azhar Idrus, tentang ada pendapat ulama yang memecahkan 27 pahala ini mengikut amalan2 dalam sembahyang berjemaah. dan saya rasa menyempurnakan saff adalah satu (kalau tak lebih) bahagian daripada 27. Maknanya susah jugak nak dapat full 27.

    Takkan nak buat yang wajib sahaja dan rasa selamat? (pesanan ini untuk saya sebenarnya)

    ReplyDelete
  6. Terbaik stalker, ramai yg 'berlepas pandang' perkara ini termasuk diri ini...semuga Allah ampun. agaknye bila ade kajian saintifik baru la nak beramal dgn sunnah, oh!

    ReplyDelete
  7. bromoMar 27, 2012 04:53 AM.

    Cuba baca balik komen saya di atas.
    ' apa kata kita SEMAK balik solat kita adakah di sah dan betul di sisi Allah swt atau tidak? '

    - Bila dah betul solat baru kita fokus pada perkara2 sunat di dalam solat. X begitu bromo?
    Jika buat perkara2 sunat tapi solat masih tak betul apa guna kan?

    Bila saudara cakap tentang pahala berjemaah teringat saya pada kata2 seorang ustaz.
    ' 27 orang alim dengan 27 orang awam jauh bezanya '. Terdiam saya ketika itu. Kecilnya di bandingkan dengan solat lain.

    Bromo, ada juga pendapat ulama 27 itu bukan pahala. Tapi 27 darjat. Rujuk kuliah zohor ustaz kamal ashaari di maybank, tajuknya kelebihan solat berjemaah. Seronok sangat. Cuba dengar kuliah itu.

    ReplyDelete
  8. Alhamdulillah, baru 2 minggu lepas mengingati saya hal yang sama berkaitan solat berjemaah, saf dan keberkatan daripadanya. Syukurlah Umat Akhir kongsikan di sini sebagai peringatan sekali kepada saya dan khalayak pembaca lain.

    Kita cuma boleh memeriksa apakah kita telah menepati rukun serta syarat sah solat, selain kaedah untuk mendapat pahala sunat. Selebihnya hanya Allah Taala sahaja yang menentukan sah atau diterima solat serta amalan lainnya. Insya-Allah kita akan mendapat rahmat dari-Nya atas segala amalan kita.

    ReplyDelete

PERHATIAN!!!

Pembaca diminta supaya mengguna bahasa yang sopan dan penuh santun dalam ruang komen. Sila guna bahasa bersopan santun walaupun anda tidak bersetuju dengan mana-mana artikel di sini. Sila jadi orang yang matang dalam menyuarakan sesuatu komen terhadap sesuatu perkara. Komen-komen yang menggunakan bahasa kesat akan dibuang walaupun ia bermaklumat atau sarat dengan isi kritis. Bahasa keras dan bahasa kesat adalah dua perkara yang berbeza. Harap maklum.