13 Feb 2012

Mind Game: Double Check

PERMAINAN ini agak mengelirukan. Dalam sesetengah situasi, ia boleh menjadi sangat mengelirukan. Namun bagi mereka yang benar-benar faham dengan karakter para pemainnya, ia bukan lagi sesuatu yang mengelirukan. Permainan ini hampir sama dengan Blame Game, namun ia lebih licik dan lebih kotor daripada itu.

Ia seperti seorang penyamun yang menuduh orang lain sebagai penyamun atau seorang pembunuh yang menuduh orang lain sebagai pembunuh. Kesannya, timbul kekeliruan dalam menentukan siapa sebenarnya penyamun atau siapa sebenarnya pembunuh atau penjenayah.

Mangsanya pula ialah orang-orang yang menyaksikan drama pertuduhan itu berlangsung dalam suasana yang amat menjijikkan dan mempercayai kata-kata sang penyamun, pembunuh atau penjenayah itu tadi tanpa menyelidik segala bukti. Mangsa yang paling akut ialah orang-orang yang mempercayai kata-kata sang pendusta.

--

Mob Game


Dalam permainan ini, watak yang perlu dimainkan oleh sang pemain ialah keperluannya untuk dilihat sebagai seorang yang sangat ‘bersih’ di mata para audiens (orang awam) atau pengikut. Imej bersih perlu ditonjolkan supaya audiens dapat menanam persepsi yang baik-baik sahaja terhadap si pemain.

Dalam masa yang sama, sang pemain itu seboleh-bolehnya akan mempertahankan imej ‘baik’ tersebut di mata para audiens meskipun imejnya beberapa kali tercalar akibat kesalahan-kesalahan (terutama kesalahan yang mempunyai keterangan yang berketerangan) yang dilakukannya sendiri.

Keadaan ini akan menekan sang pemain itu untuk melakukan deceptions bagi mengalih tumpuan secara red herring terhadap fokus para audiens. Keupayaan audiens untuk fokus terhadap sesuatu isu besar akan dipecah-pecahkan kepada beberapa isu lain yang sebenarnya kecil tetapi diperlihatkan sebagai besar.

Untuk memahami permainan ini, kita ambil beberapa contoh. Katakan pemain A mempunyai kaitan dengan kumpulan samseng Z yang dikenali semua orang sebagai kumpulan penjenayah paling jahat di kawasan itu, tetapi A tidak mahu dilihat sebagai mempunyai kaitan dengan Z kerana ia akan menjejaskan imej serta kredibiliti dirinya di mata audiens.

Bagaimanapun, A perlu menjaga hubungannya dengan samseng Z. Jadi, A pada masa ini mempunyai masalah untuk mengekalkan kepercayaan audiens yang secara nyata tidak menyukai Z. Untuk menyelesaikan masalah ini, A perlu ‘memohon kompromi’ daripada Z dengan cara ‘menghentam’ perbuatan Z dalam isu-isu terpilih bagi menjaga nama baik A sendiri.

Sekiranya Z tidak kisah dengan permintaan A kerana ia tidak akan sedikitpun menjejaskan kekuatan Z, maka A dibenarkan untuk ‘memburukkan’ Z dalam isu-isu tertentu yang terpilih (bukan semua isu) dengan menjadikan B sebagai kambing hitam. Ia diberikan kerana sokongan yang diterima A daripada audiens akan mendatangkan lebih banyak keuntungan kepada kegiatan Z pada masa hadapan.

Pada masa yang sama, A akan menuduh B berhubungan dengan Z bagi menutup hubungannya sendiri dengan Z. Dalam masa yang sama juga, A mengekalkan hubungan baiknya dengan Z meskipun B sudah dikaitkan dengan kejahatan Z. Situasi ini memperlihatkan seolah-olah seorang penjenayah telah menuduh orang lain pula sebagai penjenayah bagi menutup ‘topengnya’ sendiri. B dijadikan kambing hitam yang dikaitkan dengan Z, walhal A sebenarnya berhubungan secara senyap dengan Z untuk kepentingan peribadinya.

Dalam keadaan ini, A perlu memburukkan B melalui cara mengaitkan B dengan Z. Apabila pengaruh audiens terhadap B berkurangan, maka A akan mendapat kelebihan. Walaupun imej Z sentiasa dipandang buruk, ia bagaimanapun tidak akan menjejaskan Z.

Dalam hal ini juga, A dan Z mendapat kelebihan yang sama banyak kerana Z tidak sedikitpun terjejas dari segi kekuatan pengoperasiannya disebabkan isu yang ditimbulkan A mengenai tuduhan terhadap B yang dikatakan berhubungan dengan Z.

Mangsanya ialah audiens yang semakin keliru apabila banyak keterangan yang bertembung sesama sendiri melibatkan A terhadap Z, dan B terhadap Z. Kekeliruan itu timbul apabila A memulakan langkah menuduh B mempunyai hubungan dengan Z sedangkan keterangan yang berketerangan pula menunjukkan pembayang sebaliknya iaitu kebarangkalian A mempunyai hubungan dengan Z adalah lebih jelas berbanding B yang dikatakan berhubungan dengan Z melalui keterangan yang meragukan.

Audiens pula menjadi keliru dengan keterangan bertindih-tindih yang dibuat A bagi membuktikan kesahihan hubungan B dengan Z. Audiens adalah mangsa, manakala B pula ialah kambing hitam. Namun, perlakuan A boleh diselidik melalui pelbagai sumber dari semua arah. B juga boleh membuktikan kepalsuan tuduhan itu melalui pelbagai keterangan yang berketerangan dari semua arah. Audiens juga boleh mendapat jawapan sebenar dengan meneliti maklumat dan keterangan yang datang dari semua arah.

Jadi, apa yang perlu audiens lakukan?

--

Menyemak semula semua bukti dan keterangan


Setiap pernyataan yang berbentuk tuduhan perlu dibuktikan dengan pelbagai bahan bukti bersangkutan dengan kes, perlu mengemukakan barang kes yang mempunyai keterangan bagi setiap barang kes itu, juga perlu mengemukakan keterangan saksi dan lain-lain keterangan sebelum ia disahkan sebagai kesalahan yang sudah dibuktikan.

Apabila banyak bahan bukti dan keterangan dikemukakan dalam proses pembuktian, maka semua bahan bukti serta keterangan-keterangan itu wajar disemak semula untuk mengenal pasti kadar kesahihannya.

Ada sesetengah bukti yang dikemukakan itu sangat relevan untuk disabitkan dengan tuduhan, ada pula sesetengah bukti itu tidak mempunyai perkaitan yang benar-benar kukuh untuk disabitkan dengan tuduhan.

Perlu diketahui bahawa terdapat pengukur kekuatan sesuatu bahan bukti iaitu sama ada ia kuat, lemah, meragukan atau tidak berkaitan. Maka, perkara-perkara ini yang harus diteliti dan disemak semula oleh audiens.

Audiens harus menjadi hakim yang bijak dalam memproses semua maklumat yang diterima dari semua arah melalui penilaian berlandaskan bukti dan keterangan berfakta (keterangan yang berketerangan, dan keterangan yang dibuktikan oleh keterangan dalam keterangan) yang waras. Namun, kita tidak mengikut sebagaimana proses pembuktian yang dilakukan di mahkamah yang hanya fokus kepada fakta kes yang dituduh sahaja.

Memahami keseluruhan ‘cerita’ sangat diperlukan. Ia membolehkan kita mendapat maklumat dari semua arah tanpa terlepas atau tercicir walau secebis keterangan yang bersangkutan dengan isu.

Cerita-cerita yang sebahagiannya membantu pembinaan keterangan perlu diteliti dengan memadankan semua keterangan itu yang diperoleh daripada sumber-sumber yang tidak dinafikan oleh orang-orang yang terlibat dalam kes atau isu itu. Andai sesuatu keterangan itu tidak dinafikan atau gagal dinafikan dengan keterangan yang mempunyai keterangan, maka keterangan itu diterima pakai sebagai keterangan yang boleh dipertimbangkan.

Keterangan itu pula diterima untuk dipertimbangkan, tetapi belum boleh diterima untuk dijadikan sebagai keterangan yang sudah dibuktikan. Keterangan itu perlu dibuktikan dengan mencari ‘benang-benang’ keterangan lain yang menyokong keterangan sebelum itu.

Benang-benang terhadap keterangan itu perlu disemak semula dan disusun untuk meneliti konsistensi dan keselarian antara setiap satu bagi mengenal pasti sama ada wujud percanggahan antara satu dengan yang lain.

Andai tiada percanggahan di mana keterangan itu sentiasa menyokong keterangan yang lain, maka keterangan-keterangan itu selari dalam benang yang lebih jelas. Apabila ada percanggahan, maka ia adalah keterangan yang meragukan; dalam situasi lain pula yang seolah-olah menunjukkan ada keterangan yang menyokong keterangan lain tetapi tidak membawa kepada keterangan yang lebih jelas terhadap tuduhan asal, ia tidak diterima sebagai keterangan bukti selagi tiada pembuktian terhadap pertalian yang lebih jelas.

Setiap orang yang terlibat dalam sesebuah isu itu perlu diselidik segala maklumat yang ada membabitkan orang-orang itu. Dalam kes-kes jenayah, setiap orang yang mengenali mangsa perlu disoal siasat dan juga perlu disiasat mengenai orang terakhir yang bertemu dengan mangsa. Perlu difahami di sini ialah terma orang-orang yang ditemui oleh orang-orang yang terlibat di dalam sesebuah kes.

Orang-orang yang ditemui tersebut juga akan membantu dalam membawa kepada keterangan-keterangan yang lain. Ia membantu dalam mengetahui motif, tujuan mengapa orang-orang itu ditemui atau dihubungi oleh orang-orang yang terlibat di dalam kes, ia juga membantu dalam mengetahui dengan cara menyelidik orang-orang yang ditemui.

Maklumat-maklumat seperti itu hanya akan diperoleh apabila audiens melakukan pemerhatian atau siasatan menyeluruh dengan mengambil kira setiap maklumat yang datang dari semua arah. Maklumat-maklumat itu pula tidak wajar ditolak selagi tiada keterangan yang membolehkan ia ditolak. Maklumat yang diterima wajar diproses berpandukan keterangan-keterangan yang membantu siasatan.

Maka dengan itu, setiap maklumat yang datang itu tidak wajar ditolak mentah-mentah selagi ia tidak diselidik atau disiasat dengan teliti. Siasatan yang dibuat juga wajar berpandukan keterangan-keterangan yang saling berkaitan untuk merungkai misteri sesebuah kes. Setiap keterangan perlu disemak, dipadankan setiap satu bagi melihat keselarian dan bagi mengenal pasti keterangan yang tidak bersangkutan dengan kes.

Apabila semua keterangan dipadankan, wajar juga melihat ke mana keterangan itu membawa kepada perkara yang menjadi kes. Ruang-ruang kosong yang menjadi persoalan dalam sesebuah kes akan lebih mudah diisi apabila kita mengutip dan memadankan semua keterangan yang boleh diterima bilamana ada konsistensi.

Atas sebab itu, adalah perlu untuk meneliti setiap maklumat yang datang dari semua arah kerana ia akan membantu kita mengisi ruang-ruang kosong yang memerlukan jawapan sebelum kes itu dirumuskan dengan satu jawapan yang waras.

Ruang-ruang kosong itu perlu diisi dengan keterangan yang berketerangan.

Tidak mahu terus menjadi mangsa? Harap tidak buntu lagi, isilah ruang-ruang kosong itu. Buatlah double check, lihat siapa yang kena checkmate.



-STALKER-

7 comments:

  1. sudah semakin jelas..sudah semakin jelas.. artikel yang berjaya memecahkan kekeliruan masyarakat..

    ReplyDelete
  2. dan Z ialah zionis
    A ialah.....proksi zionis @ zombie zionis
    B ialah.....orang yang terpaksa memikul segala cacat-cela, kelemahan, kesalahan dan ntah apa2 lagi kelemahan yang telah dilakukan oleh orang yg memegang jawatan sebelum B

    ReplyDelete
  3. Bagaimana pula dengan situasi A dan B sama2 berkomplot dengan Z? Masing2 mungkin tahu keterlibatan lawannya ataupun tidak. Akhirnya Z jugak yg untung.

    ReplyDelete
  4. mcm ade bau politik je? :) btw nice info.keep it up

    ReplyDelete
  5. Zaman gua bebudak dulu, manusia yang kaki putar belit, menipu, tidak beradab sah-sah kena pulau, kena kutuk, takde orang nak buat member. Kenapa orang politik yang dah tua-tua ni, tak kisah la mana-mana parti pun, perangai macam tuuu, kita nak bergaduh, bermasam muka, menyerabutkan kepala otak semata-mata nak lantik diorang jadi PEMERINTAH, SANG KETUA?

    P/S: Berpuluh tahun dah merdeka, orang 'SUSAH' makin bertambah, orang 'WARAS' semakin berkurangan, 'ANAK YATIM' semakin bertambah antara BERNYAWA ataupun TIDAK BERNAFAS.... NEGARA MALAYSIA KAYA DAN HEBAT DI MATA DUNIA, RAKYAT MALAYSIA-Manusia yang diperdaya dan diperguna oleh MEREKA YANG GILA KUASA DUNIA dah berpuluh tahun dapat apa? (sedekah 4 tahun sekali...hehehehe)

    Gua seorang rakyat yang tak reti nak memahami 'permainan' politik dan kesan secara langsungnya gua takde selera nak mendaftar jadi pengundi. Biarkan sahaja Rakyat yang BIJAK BESTARI pilih apa yang mereka kehendaki. Orang Cina, India jadi Ketua, kita nampak musuh yang nyata, ORANG MELAYU berlakon BERAGAMA jadi Ketua adalah sesuatu yang sangat-sangat merbahaya...Sekiranya kita diperdaya untuk menyekutukan YANG MAHA ESA...Dosa yang tak dapat dimaafkan sampai bila-bila...Sedar ATAU Tidak Semua Umat Islam MALAYSIA??? Ada ke 'situasi realiti' seorang Ahli Politik yang berakhlak mulia akan berjaya naik ke puncak singahsana??????

    ReplyDelete
  6. salam semua,

    saya rasa ada sesuatu yang pelik dgn politik di Malaysia ni,

    ada tangan lebih hebat dari The Hidden Hand,yang mana orang langsung tak perasan.

    pemimpin yang sayangkan rakyat terpaksa menahan diri dibenci dan dikutuk habis2an.mereka terpaksa bermain muka dgn rakyat,bermain muka dgn zionis kerana nak menjaga.

    menjaga apa?itu rahsianya yang kita semua tak tahu...

    dan akhirnya Malaysia akan menjadi 'sesuatu'...mungkin ia adalah wasiat berzaman.dugaan makin hebat,apa yang dorang boleh dan sanggup buat adalah 'layankan jer...'

    Wallahualam.

    ReplyDelete
  7. Salam semua.

    Saya pilih untuk jawab yang berkenaan sahaja.

    Bromo, kalau A dan B sama-sama bekerja untuk Z, ia juga pasti ada keterangan yang membawa kepada pertalian itu. Sebab itulah diberitahu bahawa adalah perlu untuk mengutip dan meneliti maklumat dari semua arah bagi mengisi ruang-ruang kosong yang memerlukan jawapan dan penjelasan.

    --

    Kepada semua,

    Kalau artikel ini berguna untuk meneliti rencah politik dengan memerhati gerak-geri para pemimpinnya, saya tidak dapat berbuat apa-apa. Artikel ini hanya sebagai panduan untuk berfikir secara waras.

    ReplyDelete

PERHATIAN!!!

Pembaca diminta supaya mengguna bahasa yang sopan dan penuh santun dalam ruang komen. Sila guna bahasa bersopan santun walaupun anda tidak bersetuju dengan mana-mana artikel di sini. Sila jadi orang yang matang dalam menyuarakan sesuatu komen terhadap sesuatu perkara. Komen-komen yang menggunakan bahasa kesat akan dibuang walaupun ia bermaklumat atau sarat dengan isi kritis. Bahasa keras dan bahasa kesat adalah dua perkara yang berbeza. Harap maklum.