27 Feb 2013

Nota Panel: Bukan begitu kalau mahu berdakwah




Mahu jadi mangsa atau mahu jadi orang tengah?


SEJAK dari dahulu sampai sekarang, jenis sikap yang satu ini tidak dapat disingkirkan daripada jiwa pengikut politik. Memaki, mencela, mencerca, mengutuk, menghina, mengata, menghambur kata-kata kesat dan merendah-rendahkan orang lain. Susah sungguh untuk mereka buang sikap yang jenis itu.

Mereka kata hendak berdakwah dan menyebarkan Islam, tetapi berdakwah apa kalau mulut itu tidak pernah lekang daripada mengucapkan kata-kata nista dan caci maki terhadap orang lain. Kalau hendak berdakwah, maka tunjukkanlah sikap-sikap terpuji. Baharulah orang lain akan melihat dan berkata: “oh, itulah sikap orang Islam. Sungguh terpuji. Baik perlakuannya dan sungguh sopan tutur katanya.”

Tapi berlaku sebaliknya, mereka suka mencaci dan menghina orang lain. Walaupun begitu, mereka tetap mendabik dada dan megah mengaku bahawa mereka adalah golongan yang sedia berdakwah dan menyebarkan Islam di atas muka bumi dan sanggup mati demi Islam. Sedarkah mereka bahawa sikap buruk mereka yang suka mencaci dan berkelakuan buruk itu sebenarnya akan memberi imej yang terlalu buruk terhadap Islam? Mereka akan membuat orang bukan Islam berfikir bahawa tiada apa yang baik mengenai Islam.

Mulut mereka itu sudah tidak boleh lekang daripada mencaci maki dan mengherdik orang lain. Berdakwah apa kalau tidak boleh tunjukkan sikap yang baik lagi terpuji. Itu bukan berdakwah wahai abang-abang, adik-adik, kakak-kakak, datuk-datuk, nenek-nenek semua. Itu bukan cara berdakwah, itu hanya menjadikan imej orang Islam bertambah buruk. Kalau mulut tak boleh ditahan kerana sudah ketagih nak memaki hamun, nanti jangan terkejut kalau ada orang bukan Islam berkata: “oh, itukah sikap orang Islam. Mencaci, mengutuk dan memaki hamun orang lain.”

Kalau mahu berdakwah, orang Islam kena tunjukkan sikap dan tutur kata yang baik. Nabi kita berdakwah dengan cukup sempurna. Biarpun seorang tua Yahudi memaki dan mencaci baginda setiap hari, tetapi baginda Nabi tidak pula mencaci orang tua yang buta itu. Malah, disuapnya makanan ke dalam mulut orang tua itu, meskipun orang tua itu tidak henti-henti mengutuk baginda walaupun sedang mengunyah makanan. Nabi kita tak ajar kita caci maki orang lain, nabi menghadapi semua itu dengan senyuman.

Tetapi apa yang segolongan daripada kita buat hari ini? Segolongan itu kata (kononnya) merekalah pejuang Islam dan pendakwah. Namun, mereka gagal tunjukkan sikap yang baik, gagal juga untuk menyusun kata-kata yang baik. Berdakwah keldai apa kalau begitu. Mulut sudah tidak jauh beza dengan suara keldai.

Kalau ada yang tidak sehaluan dengan sikap buruk mereka itu, kalau juga ada yang tidak sehaluan dengan budaya politik mereka, maka mereka akan segera mengutuk, mencaci dan menghina orang yang tidak sehaluan dengan mereka dengan selamba tanpa rasa bersalah. Pada masa yang sama, mereka masih perasan bahawa merekalah pejuang Islam dan juga pendakwah.

Dalam berpolitik juga, mereka buat perkara sama. Apa yang sama itu wahai YB-YB, tuan-tuan dan puan-puan semua? Mereka tetap suka mengutuk, mencaci, menghina dan mencerca mengherdik orang lain yang tidak sehaluan dengan ism politik mereka.

Mereka kata mereka mahu berkempen dan berdakwah supaya orang lain mengenali Islam. Tetapi, begitukah caranya tuan-tuan dan puan-puan? Adakah bekempen dan berdakwah itu mensyaratkan kita supaya mencerca dan memaki hamun serta mengherdik orang lain yang tidak sehaluan dengan mereka?

Mereka lupa. Kalau hendak berpolitik, mereka kena yakinkan orang-orang yang berdiri di atas pagar kerana orang yang berdiri di atas pagar itu adalah orang-orang yang sentiasa memerhati tingkah laku mereka. Mereka tidak perlu yakinkan orang-orang yang sudah taksub dengan budaya mereka, sebaliknya mereka perlu yakinkan orang-orang yang berdiri di atas pagar.

Tetapi malangnya, mereka tidak tunjukkan sikap dan tutur kata yang baik. Bagaimana orang yang duduk atas pagar akan terpesona dengan ‘akhlak’ berkualiti rendah yang ditunjukkan mereka. Kalau perkara semudah menjaga tutur kata dan adab sopan pun mereka tidak boleh buat dengan baik, bagaimana orang lain hendak yakin dengan Islam yang mahu mereka dakwahkan.

Orang atas pagar ini adalah orang yang tidak memihak kepada sesiapa sehingga mereka melihat kebaikan yang ada pada segolongan yang mahu meyakinkan mereka. Sudah tentu orang atas pagar ini tidak mahu anak-anak mereka pula mengikut sikap buruk yang ditunjukkan golongan yang mengaku pendakwah itu. Tidak ada sesiapapun di atas dunia ini mahu anak-anak mereka ikut sikap buruk. Orang paling jahat atas muka bumi pun masih mahu melihat anak-anak mereka mengikut sikap yang baik. Kalau kita gagal tunjuk sikap yang baik, siapa lagi yang mahu mengikut kita?

Ada lagi satu golongan. Mereka (yang tidak sehaluan dengan pemikiran pendakwah jenis suka mengutuk ini) juga buat perkara yang lebih kurang sama. Mereka juga kata mahu memartabatkan Islam, tetapi selalu pula adakan pesta-pesta dan keramaian hiburan yang tidak memurnikan Islam. Sudah tentulah perbuatan mereka itu tidak membawa kepada apa-apa kebaikan kepada umat Islam. Memartabatkan Islam apa kalau macam itu.

Dalam mereka bercakap untuk memartabatkan Islam, majlis keramaian yang ada hiburan tetap mereka tidak cuba sisihkan. Ada saja konsert itu dan konsert ini, anak-anak muda pula mestilah ramai hadir meramaikan majlis sebab ada hiburan. Selepas habis acara hiburan, ke mana anak-anak muda itu pergi?

Memang segolongan yang satu lagi itu ada mengajar (mempromosi) adab sopan dalam televisyen, tetapi kalau ada acara keramaian, lain pula jadinya. Itu pun masalah juga bagi golongan yang satu ini. Lain cakap, lain pula buatnya. Sama saja dua-dua golongan itu. Terhimpit dan termangsa adalah anda semua. Dua golongan itu bercakaran, mangsa yang terhimpit adalah anda semua.

Kalau mereka bercakaran, siapa yang wajar mendamaikan? Kalau mulut segolongan itu suka mencaci maki dan mengherdik orang lain, siapa yang wajar mengajar mereka adab sopan? Kalau yang segolongan lagi tidak boleh menjadi yang terbaik, siapa yang wajar membantu mereka supaya dapat menjadi yang terbaik? Adakah anda semua hanya mahu melihat kedua-duanya saling bercakaran?

Kalau anda terus melihat mereka berdua bercakaran, anda semua tetap akan menjadi terhimpit dan termangsa. Kalau anda semua tidak mahu terhimpit dan termangsa maka anda harus melakukan sesuatu. Apa yang harus anda buat?


Ajarlah mereka adab sopan.
Bantulah mereka menjadi yang terbaik.
Damaikanlah dua saudara-saudaramu yang bercakaran.


Kita tidak mahu anak-anak kita mengikut sikap yang tidak baik.
Kita lebih suka anak-anak kita mengikut yang terbaik.

-B-


.

8 comments:

  1. Mohon Share bagi pihak Admin.. :)

    ReplyDelete
  2. awak tidak tahu apa yg terjadi sebenarnya.
    jangan cakap banyaklah.Mengata dulang paku serpih,
    mengata orang,dia yg lebih.hehhh

    ReplyDelete
  3. artikel diatas ne blh jdnya dtulis oleh puak yg tinggi dan kuat rasa irihatinya,kuat pendengki,nak jd kapla sajaa, nak jadik ketua sajaa,nak peleyceh sajaa.Hang jgn nak buat peleycehh no.

    -K-

    ReplyDelete
  4. salam..

    bukankah saya sudah kata, golongan anda sangat tidak pandai untuk berkata-kata dengan ucapan yang sopan, patah lagi untuk menunjukkan teladan yang baik. susunan kata dalam komen anda pun jelas mempamerkan sikap buruk anda. kata-kata yang lahir dari mulut itu dalah cerminan hati, busuk kata-kata maka busuklah hati. adakah sikap buruk itu yang diajar oleh ketua-ketua anda?

    saya tidak kata begitu, sebaliknya andalah yang membuktikan kepada saya kualiti perkerti anda.

    -B-

    ReplyDelete
  5. Yesss,perangai anda pun membuktikan kpd saya kualiti pekerti anda.Pimai pimai tangtu.Ku rasakan takdak harga si penulis artikel ni.Maaf laa yaa

    Anda tidak kenal siapa saya.Saya puun tidak kenal/tak mau knal anda

    -K-

    ReplyDelete
  6. biasa la tu B,

    klu tak sependapat dgn diorg, mmg diorg akn kata mcm2.

    standard diorg la tu.

    ReplyDelete
  7. 2 kali 5, 5 kali 2, 10 campur 0, 0 campur 10

    ReplyDelete
  8. mereka-mereka yang sudah terkena jampi politik pasti akan jadi meroyan bila terasa parti kesayangan mereka dikutuk atau tidak disokong..
    mereka gagal untuk melihat secara keseluruhan cerita.. bantai dulu baru fikir..
    jampi-jampi ini memang kuat.. sehingga lupa perkara yang penting yang sepatutnya dipelihara dan dijaga untuk tidak mudah untuk dimanupulasi...
    Patutnya kita pelihara dulu AKIDAH kita... itu merupakan pegangan menghindarkan kita dari jampi-jampi sang politik..
    ini tidak.. kalau diberikan fakta dan bukti kukuh sekalipun tentang tuan mereka..
    bulat-bulat mereka tolak..
    tak fikir pun..
    tuduh menuduh adalah..
    marilah kita balik ke pangkal jalan...
    Kembali kepada ISLAM yang dulu kuat dalam hati kita setiap orang melayu..
    Yang kuat dihati orang kita sekarang ialah DUIT..
    kerana itulah kita mudah ditewaskan...
    sekian..

    ReplyDelete

PERHATIAN!!!

Pembaca diminta supaya mengguna bahasa yang sopan dan penuh santun dalam ruang komen. Sila guna bahasa bersopan santun walaupun anda tidak bersetuju dengan mana-mana artikel di sini. Sila jadi orang yang matang dalam menyuarakan sesuatu komen terhadap sesuatu perkara. Komen-komen yang menggunakan bahasa kesat akan dibuang walaupun ia bermaklumat atau sarat dengan isi kritis. Bahasa keras dan bahasa kesat adalah dua perkara yang berbeza. Harap maklum.