8 Apr 2012

Nota SHAHi: Islam lebih tinggi daripada bangsa

ISLAM LEBIH TINGGI DARIPADA BANGSA.
Tetapi ingatlah bahawa Islam itu dipertahankan di muka bumi oleh majoriti sesuatu bangsa manusia yang menganuti agama Allah.


Bahagian Satu

AKIBAT daripada usaha demotivate [rujuk arkib Umat Terakhir di laman Abatasa di link: http://abatasa2.blogspot.com/2011/10/mind-game-demotivate.html] yang digerakkan oleh sebilangan pemimpin politik untuk menghakis semangat kebangsaan Melayu - demi mencapai cita-cita politik - kelompok orang Melayu yang mengikuti jalan politik itu akhirnya mengalami konflik jati diri.

Mungkin istilah konflik jati diri itu kurang tepat untuk menggambarkan situasi ini, namun orang-orang Melayu yang mengikut jalan politik itu kelihatan tidak terdetik rasa bangga dan kecintaan terhadap perjuangan bangsa mereka sendiri yang tidak pernah letih berjuang demi agama yang dijadikan kompas kehidupan.

Islam hadir ke bumi Melayu pada ketika negeri-negeri Melayu berada di ambang kegemilangan perdagangan dunia. Sejak raja-raja Melayu menerima Islam sebagai ad-deen, orang-orang Melayu sentiasa berjuang demi agama mereka sehingga melangkau ke beberapa generasi seterusnya. Selama beratus tahun sejak sebelum zaman imperial, orang Melayu yang majoriti di bumi Malaysia moden sangat setia mempertahankan Islam.

Islam tidak mensyaratkan bangsa bagi para penganutnya kerana agama wahyu yang terakhir itu bersifat universal. Namun, bangsa-bangsa manusia secara kolektif melibatkan bilangan majoriti penganut yang menganut agama itulah yang bertindak mempertahankan agama Islam.

Memang Islam tidak mensyaratkan bangsa bagi penganutnya, tetapi bangsa-bangsa manusialah yang bertindak mempertahankan agama itu. Ia kerana Allah menciptakan manusia berlainan bangsa, dan, bangsa-bangsa yang menganut agama itulah yang wajib mempertahankan agama-Nya.

Di rantau Timur Tengah atau Asia Barat, orang Arab menjadi bangsa majoriti yang mempertahankan Islam meskipun ada sebilangan Arab yang menganut Nasrani. Terasnya ialah orang Arab mempertahankan Islam di rantau sebelah sana. Maka, survival bangsa Arab yang beragama Islam dari segi maruah mereka, ekonomi, politik dan sosial harus dipertahankan oleh orang Arab sendiri.

Manakala di rantau sebelah sini, orang Melayu (induk bangsa di Asia Tenggara) menjadi bangsa majoriti yang menganut dan mempertahankan Islam. Maka, survival orang Melayu beragama Islam dalam segala aspek termasuk maruah, politik, ekonomi dan sosio-kehidupan juga harus dipertahankan oleh orang Melayu sendiri.

Bangsa-bangsa manusia sentiasa meletakkan maruah di tempat pertama, melibatkan maruah agama dan maruah bangsa, maruah itulah yang wajar dipertahankan supaya tidak dipandang hina dan supaya tidak mudah dihina sewenang-wenangnya. Dalam sejarah manusia, siri peperangan dalam tamadun-tamadun besar selalunya berpunca daripada rasa tercabar maruah mereka oleh sesuatu bangsa. Tamadun-tamadun besar itu akan melancarkan perang apabila maruah dan kedaulatan mereka diperlekehkan atau tidak dihormati oleh tamadun lain.

Kalau disingkap sejarah Perang Salib, bangsa Eropah memasuki Palestin dan menyembelih orang Arab Palestin yang beragama Islam. Laskar-laskar Eropah bertindak sedemikian selepas seorang pembesar agama Nasrani (ulama Nasrani) mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa orang Arab adalah seperti ‘roh yang tersesat’ (lost souls) yang tercari-cari erti ketuhanan Jesus. Akibat daripada fatwa itu, laskar-laskar Eropah memburu semua orang Arab di Palestin dan sekitar Jerusalem untuk dibunuh, ia kerana langkah berkesan untuk mencari orang Islam ialah mereka harus mencari orang Arab terlebih dahulu kerana majoriti orang Arab adalah Muslim. Di rantau sebelah sana, orang Arab adalah majoriti bangsa yang menganut dan mempertahankan Islam, maka mereka dicari untuk dibunuh pada ketika era Perang Salib.

Akibat daripada itu, tentera Arab beragama Islam (majoriti adalah tentera Arab, ada juga tentera Islam dari lain-lain bangsa) pimpinan Salahuddin al-Ayoubi melancarkan serangan balas demi mempertahankan agama yang dianuti oleh majoriti bangsa mereka di rantau sebelah sana. Andai hilang bangsa Arab di rantau sana, maka lemahlah Islam di rantau itu. Maruah bangsa itu diangkat semula oleh Salahuddin demi survival agama Islam.

Di rantau sebelah sini pula, hanya orang Melayu (bersama sub-sub bangsanya: Bugis, Jawa, Palembang dan sebagainya) yang mempertahankan Islam, jika semangat orang Melayu dilemahkan dalam kewajipan mempertahankan maruah mereka, maka tiada bangsa lain yang akan menolong mengembalikan maruah orang Melayu.

Andai maruah itu dipermain-mainkan oleh orang Melayu sendiri di halaman rumah mereka sendiri, maka tiada bangsa lain yang akan menolong mempertahankan maruah mereka. Jangan harap ada bangsa lain yang akan membantu kita untuk mempertahankan maruah kita. Jangan harap.

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” - (Quran, ar-Raad: 11)

Allah berkata dengan jelas bahawa Dia tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu mengubah diri mereka sendiri. Allah juga berkata dengan jelas bahawa Dia akan mendatangkan bencana kepada mereka andai melakukan kesalahan terhadap diri mereka sendiri. Jadi, apakah kesalahan yang sedang orang Melayu lakukan kepada diri mereka sendiri?

Antara kesalahan itu ialah tidak berusaha mengubah nasib, maruah agama dan maruah bangsa ke arah yang lebih tinggi selari dengan tuntutan agama-Nya. Allah memerintahkan supaya sesuatu kaum itu berubah jika mahu berjaya di jalan-Nya. Itu perintah.

Kalau orang Melayu bertindak mempertahankan Islam di rantau ini, maka taatilah perintah itu. Bangsa yang disegani dalam apa jua tamadun ialah bangsa yang bangga dengan semangat kebangsaan mereka, simpan dulu ayat penyata ini. Itu dari segi semangat kebangsaan politikal perang zaman tamadun besar awal.

Namun kita diterangi Islam, walaupun begitu, Allah memerintahkan supaya sesuatu kaum itu mengubah diri mereka dan Allah akan menurunkan bencana apabila sesuatu kaum itu melakukan kesalahan kepada diri mereka sendiri. Ingat perintah itu. Ulang soalan tadi, apakah kesalahan yang sedang orang Melayu lakukan kepada diri mereka sendiri?

Orang Melayu tidak harus malu menjadi Melayu, ia kerana Melayu itu ditakdirkan mempertahankan Islam di rantau sebelah sini. Wajarkah malu kepada diri sendiri kerana ditakdirkan untuk mempertahankan agama Allah? Orang Melayu sewajarnya bersemangat dan berbangga menjadi Melayu, ia kerana semangat itulah yang akan mendorong kita supaya lebih tabah mempertahankan agama-Nya. Andai kita dalam keadaan rendah maruah, adakah kita akan mampu berhadapan dengan musuh yang bangga dengan bangsa mereka sendiri?

Kalau dipelajari daripada sejarah-sejarah perang, panglima perang akan berucap di hadapan ribuan askar untuk menaikkan semangat askar-askarnya. Semangat askar wajar disemarakkan terlebih dahulu sebelum anak panah pertama dilancarkan terhadap musuh. Itulah pentingnya semangat. Kalau orang Melayu malu kepada diri sendiri, berasa rendah diri terhadap bangsa lain, tidak bersemangat, agak-agaknya boleh berjayakah orang Melayu dalam menempuh cabaran?

Namun, jangan pula orang Melayu lupa kepada perintah Allah dalam ayat-Nya yang lain.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” - (Quran, al-Maedah: 8)

Di sebalik ayat di atas, difahami secara langsung bahawa Allah memerintahkan kepada kita supaya berlaku adil kepada bangsa lain. Untuk berlaku adil, orang Islam terlebih dahulu harus mempunyai kelebihan iaitu kelebihan dalam pemerintahan. Bagi menepati terhadap maksud ayat itu, orang Melayu beragama Islam wajar sentiasa berada dalam kategori dominan pemerintahan di Malaysia. Dengan menjadi bangsa yang bermaruah dan mendominasi pemerintahan, maka baharulah orang Islam boleh menjalankan keadilan. Andai orang Islam tidak menjadi pemerintah yang menjalankan keadilan, maka selarikah perintah Allah kepada orang Islam terhadap ayat itu?

Allah memerintahkan (melalui kata hendaklah seperti dalam ayat 8 surah al-Maedah) supaya orang Islam sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan. Jadi, apa syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum keadilan dapat ditegakkan? Mestilah terlebih dahulu orang Islam perlu menjadi orang bermaruah tinggi yang mentadbir keadilan, setuju?

Masih tidak faham? Untuk berlaku adil, orang Islam harus menjadi pemerintah yang bermaruah, bukan menjadi ‘orang melukut di tepi gantang’ yang tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan keadilan. Pemerintah adalah orang yang menjalankan keadilan, bukan menjadi orang yang tertakluk kepada keadilan yang ditetapkan oleh orang bukan Islam.

Untuk menjalankan keadilan, seseorang harus menjadi pemerintah yang menjalankan keadilan. Andai orang Islam tidak menjadi pemerintah, bagaimana orang Islam mahu menjalankan atau memberi keadilan? Untuk menjalankan keadilan, orang Islam harus menjadi dominan terlebih dahulu, dalam erti kata lain ialah mempunyai maruah dan disegani. Itu dari segi konteks negara, bukan dari konteks individual.

Untuk berlaku adil, orang Islam harus mempertahankan maruah mereka sebagai pemerintah andai berada di sebuah negara yang bermajoriti orang Islam seperti negara anda ini. Kalau sesebuah negara yang majoriti orang Islam diperintah oleh orang bukan Islam dari segi penetapan dasarnya, di manakah maruah orang Islam? Siapa pula orang Islam di negara ini kalau bukan majoriti orang Melayu?

Jangan hanya membaca al-Quran tanpa memahami pengertian perintah-Nya. Jangan pula ambil ayat itu sekerat-sekerat seperti yang biasa diucapkan di pentas-pentas politik, fahamilah keseluruhan ayat itu dan taatilah perintah itu. Allah memerintahkan supaya sesuatu kaum itu berlaku adil kepada kaum yang lain. Maka berfikirlah mengenai syarat-syarat yang diperlukan sebelum mampu menjalankan keadilan

Antara syaratnya ialah menjadi pemerintah yang berkuasa terhadap sistem keadilan. Bukan menjadi pak turut yang tidak bermaruah, malu menjadi Melayu yang ditakdirkan mempertahankan Islam di rantau ini, tidak bermaruah sehingga tanpa segan menunduk taat di hadapan orang bukan Islam.

Orang Melayu harus mengembalikan semangat mereka, berbangga menjadi Melayu yang beragama Islam dan ditakdirkan mempertahankan Islam di rantau ini. Semangat memperjuangkan agama yang dianuti oleh orang Melayu, semangat itu harus disemarakkan, bukan dilemahkan dengan sentimen tidak bermaruah sehingga berasa malu dilahirkan sebagai orang Melayu.

Memang, Islam itu lebih tinggi daripada bangsa. Tetapi ingat, bangsa-bangsa yang menganut Islam itulah yang mempertahankan Islam. Andai lemah semangat bangsa yang mempertahankan agama Allah, maka lemahlah umat Islam di rantau ini. Bangsa-bangsa itulah yang mempertahankan ketinggian agama Allah. Di Malaysia, bangsa itu adalah Melayu.

Untuk memahami perkara yang mana perlu didahulukan, wajar kita mengingati satu riwayat hadis. Saya tidak ingat keseluruhan susunan ayat hadis itu secara tepat bagi tiap-tiap pemilihan perkataan, cukuplah sekadar mengimbas kisah yang terdapat di dalam hadis itu.

Penceritaan hadis itu berbunyi seperti ini (bukan dari segi susunan ayat hadis, tetapi dari segi penceritaan):

Fatimah bertanya kepada Rasulullah (ayahandanya) mengenai siapakah wanita pertama yang akan memasuki syurga kerana taat kepada suami dan agama Allah. Rasulullah menjawab, ia adalah seorang wanita yang tinggal di sebuah rumah di Madinah. Mendengar jawapan daripada baginda, Fatimah pun pergi ke rumah wanita itu dan melihat bagaimana wanita itu taat kepada suaminya dan perintah Allah. Setelah menyaksikan sendiri ketaatan wanita itu, Fatimah kembali menemui Rasulullah dan bertanya adakah dia akan menjadi wanita pertama memasuki syurga andai melakukan perkara yang sama. Baginda menjawab, tidak, baginda memberitahu bahawa Fatimah akan menjadi wanita kedua memasuki syurga selepas wanita itu masuk. Fatimah kemudian menangis kerana tidak menjadi wanita pertama masuk ke syurga. Rasulullah tersenyum melihat tangisan puterinya dan berkata, wanita itu masuk ke syurga terlebih dahulu kerana dialah yang akan menyambut dan meraikan kehadiran Fatimah ke dalam syurga Allah. Fatimah kemudian tersenyum.

Ia bermaksud, wanita itu masuk ke syurga terlebih dahulu kerana dia akan menyambut dan meraikan Fatimah yang masuk selepas itu.

Melalui kisah antara Rasulullah dengan puterinya, fahamkah kita terhadap pengertian yang mana satu di-kemudiankan dan mengapa ia tidak didahulukan?

Diulangi, memang Islam itu lebih tinggi daripada bangsa. Tetapi ingat, bangsa-bangsa yang menganut Islam itulah yang mempertahankan Islam. Andai lemah semangat bangsa yang mempertahankan agama Allah, maka lemahlah umat Islam di rantau ini. Bangsa-bangsa itulah yang mempertahankan ketinggian agama Allah. Di Malaysia, bangsa itu adalah Melayu.

Allah sentiasa memelihara Islam, tetapi Islam juga akan terus terbela jika ada kelompok manusia yang mempertahankannya. Di Malaysia, siapakah kelompok itu? Andai Melayu adalah bangsa yang majoriti mempertahankan Islam, maka orang Melayu wajar diperkuatkan semangat mereka, bukan diperlemahkan oleh doktrin politik yang dicanang bangsa mereka sendiri. Tanpa semangat yang kental iaitu berselaput rasa malu dalam diri dengan tidak bangga menjadi Melayu, adakah orang Melayu beragama Islam akan mampu menghadapi cabaran yang sengit daripada bangsa lain?

Cuba lihat bangsa lain di Malaysia. Adakah mereka menghina bangsa sendiri dan berasa malu dilahirkan dalam kelompok bangsa mereka? Tidak, mereka tidak menghina bangsa mereka dan mereka berbangga dengan kebangsaan mereka. Apabila ada orang Melayu yang menghina bangsa sendiri dan malu menjadi Melayu, adakah bangsa lain melahirkan simpati kepada bangsa Melayu? Jawapannya juga tidak. Mereka langsung tidak ambil peduli kalau orang Melayu berasa begitu.

Tetapi apabila bangsa lain berasa terhina akibat sesuatu perbuatan kaum-kaum lain, apakah yang bangsa itu akan lakukan terhadap kaum-kaum yang disifatkan menghina mereka apabila mereka berasa seperti dihina?

Mereka akan segera bangkit mempertahankan maruah bangsa mereka. Mereka akan tegas mengatakan bahawa kaum yang membuat mereka berasa terhina itu sebagai racist. Tetapi apakah yang orang Melayu lakukan kepada bangsa lain apabila orang Melayu dihina? Orang Melayu hanya duduk diam tanpa berbuat apa-apa, kerana apa? Kerana orang Melayu berasa malu kepada diri sendiri, apatah lagi untuk mempertahankan maruah bangsa sendiri.

Apabila Melayu melaungkan semangat kebangsaan, orang Melayu akan segera dilabel sebagai racist. Orang Melayu seperti tidak boleh langsung berbuat apa-apa untuk membangkitkan semangat kecintaan terhadap bangsa mereka yang ditakdirkan mempertahankan Islam di bumi Malaysia ini. Apa sahaja yang orang Melayu lakukan demi survival agama dan bangsa, orang Melayu akan sentiasa segera dilabel sebagai racist. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Semua serba salah jadinya.

Untuk memahami keadaan sedemikian kita wajar meneliti sikap orang Yahudi yang sangat mudah melabel seseorang sebagai anti-Semitik apabila bangsa mereka dikritik, ditempelak atau mengeluarkan sesuatu kenyataan yang membuat mereka berasa seperti dihina.

Namun apabila ada orang menghina bangsa Arab, tidak pula orang Yahudi terhegeh-hegeh melabel orang itu sebagai anti-Semitik kerana orang Arab juga adalah dari keluarga bangsa Semitik. Hanya apabila bangsa Yahudi dikritik, maka orang yang mengkritik itu akan segera dilabel sebagai anti-Semit, tetapi tidak berlaku perkara yang sama apabila keluarga bangsa Semitik lain yang dikritik.

Yahudi dan Arab adalah dari kelompok bangsa Semitik dari keturunan Sem iaitu salah seorang daripada putera Nabi Nuh selepas peristiwa Banjir Besar. Namun, apabila dirujuk kepada istilah anti-Semitik, ia diistilahkan kepada anti-Yahudi semata-mata tanpa merujuk kepada pengertian Semitik yang sebenarnya. Malah di Amerika, seseorang yang mengeluarkan kenyataan anti-Semitik akan segera dihadap ke mahkamah untuk dibicarakan dan diberi hukuman kerana bersikap racist.

Keadaan yang berlaku di Malaysia pula hampir sama, namun hukumannya pula adalah dari segi tekanan kepada bangsa Melayu. Hal ehwal agama, budaya dan hak orang Melayu sentiasa dipersoal, ia bukan sahaja dipersoal oleh bangsa lain, tetapi ada di kalangan bangsa Melayu sendiri yang melakukannya. Namun apabila ada orang Melayu yang mempersoal kebiadapan bangsa lain, maka orang Melayu akan segera dilabel sebagai racist. Bangsa lain boleh mempersoalkan, tetapi orang Melayu tidak boleh mempersoalkan mereka. Hampir sama dengan situasi masalah istilah anti-Semitik.

-----

Orang Melayu menghadapi konflik identiti yang kronik dalam sudut semangat kebangsaan mereka. Ia menjadi lebih parah apabila ada orang Melayu sendiri yang melemahkan semangat itu sebagai alasan supaya berlaku adil kepada bangsa lain sebagaimana diperintahkan Allah. Cuba renungkan kembali pengertian ayat 8 dalam surah al-Maedah, apakah yang kita faham mengenai syarat-syarat yang diperlukan sebelum boleh menjalankan keadilan?

Pertama sekali ialah orang Islam wajar menjadi pemerintah yang bermaruah, mempunyai kuasa membuat keputusan dalam menjalankan keadilan, berperanan dominan dalam hal ehwal yang teras demi kepentingan semua pihak terutama umat Islam, tidak malu menjadi diri sendiri untuk mengubah nasib diri, tidak berasa rendah diri, tetapi tidak pula bongkak di atas muka bumi. Apabila sudah cukup syarat-syarat itu, baharulah orang Islam yang majoritinya orang Melayu di negara ini akan dihormati dan menghormati diri sendiri serta berupaya menjalankan keadilan seperti yang diperintahkan Allah.

Andai orang Melayu beragama Islam yang rendah maruah dirinya tidak mempunyai kuasa dalam membuat keputusan dan rendah maruah diri, adakah orang Melayu akan dihormati? Tidak, tidak dan tidak. Kalau orang Islam tidak menghormati diri sendiri, jangan harap akan ada orang lain yang akan menghormati kita. Jangan harap.

Kalau syarat-syarat itu tidak dipenuhi, bagaimana orang Islam mahu menjalankan keadilan terhadap kaum lain? Untuk menjadi bapa yang baik, seseorang lelaki harus berkahwin dan mempunyai anak terlebih dahulu sebagai langkah pertama. Itulah syarat pertama yang wajar dipenuhi untuk menjadi bapa yang baik.

Bagaimana untuk menjalankan keadilan kepada kaum-kaum lain? Syarat pertama ialah menjadi dominan dalam pemerintahan terlebih dahulu supaya semua urusan keadilan tertakluk di bawah keputusan orang Islam. Bukannya menjadi orang Islam yang melukut di tepi gantang mengharapkan ehsan supaya diberikan sedikit kuasa oleh orang bukan Islam. Faham?

Bagi memenuhi syarat itu, langkah pertama ialah orang Melayu wajar kembali bersemangat mempertahankan maruah, bukan terus hidup terhimpit bagai ditelan mati emak dan diluah mati bapa. Bangsa-bangsa lain tidak pernah merendah-rendahkan bangsa mereka sendiri, tetapi mengapa mesti ada orang Melayu yang berasa malu dengan bangsa sendiri sedangkan orang Melayu adalah ditakdirkan untuk menjaga maruah Islam di rantau sebelah sini? Allah memilih orang Melayu untuk menjadi bangsa majoriti di rantau ini untuk menganut agama-Nya. Andai semangat bangsa Melayu makin lemah disebabkan oleh lidah-lidah pemimpin yang melemahkan jati diri mereka, bagaimana orang Melayu mahu terus kuat dalam mempertahankan Islam?

Ada yang berkata, mereka tidak bangga menjadi Melayu tetapi berbangga menjadi Islam. Tetapi ingatlah bahawa Islam itu dipertahankan di muka bumi oleh bangsa-bangsa manusia yang menganuti agama Allah. Manusia dijadikan berbilang bangsa, agama Allah pula adalah untuk seluruh manusia, manakala bangsa-bangsa manusia yang menganut agama Islam itulah yang mempertahankan agama Allah.

Sama juga kalau diibaratkan seperti: Hanya roh yang kekal, tetapi bukan jasad. Tetapi ingatlah bahawa jasad itulah yang menjadi alat kepada roh untuk melakukan kebaikan. Islam diibaratkan sebagai roh, jasad itu pula adalah Melayu. Andai jasad itu mati, maka jasad akan hanya tinggal jasad yang akan musnah reput di dalam tanah. Maka roh akan kembali kepada Tuhannya. Apabila Melayu menjadi lemah dan tidak bersemangat dalam mempertahankan bangsanya yang majoriti Islam, maka Islam akan terkapai-kapai di Malaysia.

Mungkin akan ada yang mengatakan Umat Terakhir sebagai racist apabila berbicara mengenai Melayu. Kita tidak menghina bangsa lain, tetapi sebaliknya kita menjelaskan bahawa bangsa lain sangat berbangga dengan diri mereka. Kita tidak menghina bangsa lain, tetapi kita menceritakan mengenai ada orang Melayu sendiri yang malu dilahirkan sebagai Melayu sehingga luntur semangat jati dirinya. Malu tidak bertempat di tempat sendiri seperti sudah tiada tempat untuk memahkotakan maruah di bumi sendiri.

Kalau mahu berperang, pilihlah panglima yang mampu menaikkan semangat para laskar-laskarnya. Bukan memilih sang pengecut yang luntur semangatnya dan galak pula melemahkan semangat orang lain supaya menjadi pengecut dan pemalu sepertinya. Orang tidak menunduk malu di medan juang kerana kepala yang tunduk itu lebih mudah dicantas pedang pihak lawan. Orang berperang dengan penuh semangat juang, berbangga menjadi bangsa bermaruah di medan juang untuk agamanya. Itulah caranya orang pergi berperang.

Maruah orang Melayu diperlekeh selama 457 tahun. Sepanjang 457 tahun, orang Melayu berusaha mengembalikan maruah mereka sehingga mengecap merdeka. Sesudah merdeka pula, orang Melayu terus cekal berusaha mengembalikan maruah mereka supaya tidak lagi dipermain-mainkan di tanah air mereka sendiri, gigih memartabatkan bangsa serta agama dan institusi raja-raja Melayu. Malangnya, ada orang Melayu sendiri yang memperlekeh perjuangan bangsa sendiri disebabkan bantal dan tilam empuk yang menghadirkan mimpi-mimpi politik, kuasa membuat keputusan dalam berpolitik pula tidaklah sehebat mana, hanya seperti hidup berpoligami dalam politik. Wajarkah orang seperti itu yang diangkat menjadi panglima bagi orang Melayu beragama Islam?

Melayu dan Islam itu tidak sama. Islam itu lebih tinggi daripada Melayu. Tetapi ingatlah bahawa Islam itu dipertahankan di muka bumi oleh bangsa-bangsa manusia yang menganuti agama Allah. Di Malaysia, bangsa itu adalah Melayu. Berbanggalah menjadi Melayu, bersemangatlah Melayu, bermaruahlah Melayu, demi agama mu.

Aku pula bukan 100 peratus berdarah Melayu. Tetapi aku meminta supaya orang Melayu berbanggalah menjadi Melayu, tanpa rasa malu, bersemangat kental menempuh cabaran dan tidak mudah layu apabila ada di kalangan bangsamu sendiri yang melemahkan jati diri mu, bersemangatlah Melayu demi agama mu, Islam, yang sama dengan agama ku.

Orang-orang Melayu yang memahami maksud aku ini, aku mohon bantuan kamu semua supaya bersegera bangkitkan semangat bangsa kamu tanpa menyakiti bangsa lain, jadikan bangsa kamu sebagai bangsa yang bermaruah dan berbangga dilahirkan Melayu untuk memartabatkan Islam di rantau ini. Ajarkan Islam kepada sesama manusia, jangan terlalu asyik mengajar politik kepada mereka hanya semata-mata mahu sokongan bangsa lain. Jatuh bangun bangsa Melayu berada di atas bahu orang Melayu sendiri. Jangan harap bangsa lain akan membantu kamu melainkan orang Melayu sendiri berusaha mengubah diri sendiri.

-----

Fahamilah ayat Allah, taatilah perintah-Nya:

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” - (Quran, ar-Raad: 11)

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” - (Quran, al-Maedah: 8)

[artikel dari arkib Umat Terakhir yang belum pernah disiarkan]



-SHAHi-

17 comments:

  1. saya takkan hina bangsa sndiri lagi, takkan malu jadi melayu, akan kuat martabatkan bangsa. politik dah butakan mata ramai org spt saya smpai terlupa tanggungjwb bangsa kita dlm mpertahankn agama & akhirnya mencaci bangsa sndiri.

    benar kata penulis, takkan ada bangsa lain yg akan tolong kita pertahankan agama kita & bangsa kita melainkan kita sndiri.

    ReplyDelete
  2. TAHNIAH~~

    Saya juga sudah lama berpikiran seperti anda, tetapi saya tidak tahu bagaimana ingin menyampaikan kepada orang Melayu dan pada masa yang sama tidak dikatakan sebagai racist.

    Banyak orang disekeliling saya yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi langsung mengetepikan soal Melayu. Memperjuangkan Islam itu bagus, tetapi adakah dengan mengetepikan Melayu boleh menyelamatkan Islam di Nusantara ini?

    Seperti yang anda sebutkan, Islam diMalaysia ini majoritinya adalah orang Melayu, boleh dikatakan semua Melayu adalah orang Islam (kecuali jikalau mereka Murtad, tetapi hakikatnya mereka tetap lahir sebagai Melayu-Islam). Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai Melayu untuk mempertahankan Islam. Jika kita membiarkan Melayu dihina, dipijak dan dijatuhkan, kemudian membiarkan golongan yang BUKAN daripada orang Islam memerintah, sudah tentu mereka akan memartabatkan agama mereka dan sedikit demi sedikit hak-hak serta kesucian Islam akan terhapus/pudar dan diabaikan. Lalu yang merasakan tempiasnya bukan sahaja orang Melayu tetapi SELURUH umat Islam tanpa mengira bangsa yang berada dalam Malaysia ini.

    Ayat kegemaran orang kita sekarang ini adalah "Setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya...", tetapi sayang.. mereka hanya tahu menyebut ayat tersebut tanpa memikirkan apakah hikmahnya. Fikirlah, kenapa semua bangsa Melayu (termasuk sub-bangsanya) yang suatu masa dahulu amat kuat pegangan Hindhu-Buddhanya boleh beralih kepada Islam? Sudah tentu Allah amanatkan kita untuk menjaga kesucian Islam pada akhir zaman ini, jika kita pandang kesucian Islam dinegara-negara timur tengah sedang diperkosa dengan pelbagai cabaran dan masalah. Hanya yang tinggal kesucian Islam di Nusantara ini sahaja untuk kita jaga.. (itupun sekarang sudah mula cabuli sedikit demi sedikit)

    Wallah hualam

    ReplyDelete
  3. Ya Allah semoga bangsa ku ini bangkit dari tidurnya,Berdiri gagah mengangkat Agamanya.
    -ct-

    ReplyDelete
  4. BOLEH TAK SAYA NAK KONGSI ARTIKEL INI?
    -SMM-

    ReplyDelete
  5. org melayu patut tengok citer box opis, citer BRAVE HEART
    lakonan mel gibson.... banyak inspirasi dan pengajaran berguna dlm filem tu..

    ReplyDelete
  6. insaf lah wahai bangsa ku....

    bangun !!!
    bangkit !!!
    wake up !!!
    erwache !!!

    ReplyDelete
  7. SMM, share je kat FB tu... moga2 org melayu cepat sedar dari dibuai mainan mimpi politik org2 dungu

    kita org melayu tak mau puak pengecut dungu bodo piang jadi panglima, pengecut sampai akal pun jadi kecut

    ReplyDelete
  8. sebenar nya, orang melayu kita nie, rakyat melayu kita nie,... penuh dengan kualiti nya

    nak cari yang pandai, ada
    nak cari yang mahir, ada
    nak cari yang alim, ada
    nak cari yang bijaksana, ada
    nak cari yang lawa, ada
    nak cari yang cantik, ada
    nak cari yang kuat, ada
    nak cari yang beriman, ada
    nak cari yang bertakwa, ada
    nak cari yang baik,berguna,berjasa.. ada
    nak cari yang kreatif, inovatif,.. ada
    nak cari yang kaya, ada
    nak cari yang beragama,.... ada


    macam2 kualiti ada.....


    cuma DIHARAPKAN agar PEMIMPIN kita, iaitu Agong,
    raja-raja melayu, dengan datuk bendahara iaitu menteri besar, perdana menteri nya dapat membuat
    'FINE TUNING' ke atas bakat dan kekuatan org2
    melayu... rakyat mereka


    -- kalau rakyat thailand,indonesia, vietnam
    singapura, negara2 lain hebat,...
    rakyat melayu di malaysia pun boleh sama,
    malah lebih hebat daripada mereka..dihebatkan
    oleh pemimpin melayu kita

    -- bangsa arab dihebatkan oleh kepimpinan
    rasulullah s.a.w



    ********* RAKYAT MELAYU, ULAMA, UMARA' *********
    BERGERAK SEIRING

    ==YEOP==

    ReplyDelete
  9. perkara ini lah sy ketengahkan sblm ini. tapi malangnya, masih ramai org melayu yg jumud dr segi mentaliti. ini sesuatu yg amat menyedihkan sekali, di mana melayu itu sendiri yg menganiaya diri mereka. lihatlah di luar sana, berapa ramai melayu yg tahu tentang sejarah bangsa sendiri? berapa ramai melayu yg bangga menjadi melayu? berapa ramai melayu yg faham tentang agama islam dgn fahaman yg berlandaskan akidah ahli sunah wal jamaah yg betul? persoalan ini boleh dijawab dgn mudah apabila kita lihat kehidupan melayu-melayu di luar sana. ya..amat mengecewakan.

    justeru itu, adanya artikel sebegini sekurang2nya dpt membuka minda org melayu akan perihal melayu yg sebenarnya. jd, teruskan mendidik melayu yg jahil dgn penulisan anda. sebarkan kpd melayu perkara yg sebenar2 perkara tentang melayu agar dpt dikembalikan jatidiri yg hilang ke dlm diri mereka. semoga kita semua ditemukn pd satu jln yg benar dn sama2 kita menjaga agama islam ini walaupn terpaksa berkorban nyawa sekalipun.

    wallahualam..

    ReplyDelete
  10. dah lama sangat tunggu pemimpin yg ada sekarang membangunkan dan menjadikan orang Melayu mencintai ISlam. terlalu lama.... yg wujud sekarang melayu yg mengejar dunia.. letih rasanya .. semakin ramai yg berzina, rasuah, buang bayi.. oh Pemimpin yang berkuasa sekarang apa guna bangunan bersatus tingkat kalo buang bayi merata2..

    ReplyDelete
  11. bangun!!!
    wake up!!!

    hapuskan pengkhianat bangsa!!!

    ReplyDelete
  12. Salam....

    perbezaan antara ayat ini.. " melayu memartabatkan islam" dgn "islam memartabatkan melayu"..

    tuan admin... boleh kupaskan ape maksud ayat itu jika tak keberatan....

    mintak tunjuk aja...

    -belantara hutan

    ReplyDelete
  13. soalan menarik, soalan macam itu yang kami tunggu-tunggu dalam artikel ini. ; )

    harap sabar tunggu artikel selepas ini.

    artikel tu sudah lama ada dalam simpanan arkib umat terakhir.

    _WAQQAS

    ReplyDelete
  14. "Islam memartabatkan Melayu"
    dengan rahmat Allah, orang melayu telah dikurniakan nikmat Iman dan Islam dengan kedatangan para pendakwah ke nusantara, mendahului kedatangan mubaligh kristian belanda, portugis dan british. jika tidak, mungkin nasib kita akan sama dengan saudara senusantara kita seperti di filipina yg telah berjaya dikristiankan dan disepanyolkan oleh penjajah.

    "Melayu memartabatkan Islam"
    dan dengan amanah dari Tuhan juga, orang melayu yang semakin nampak layu ni diberi tugas berat untuk menjadi benteng terakhir kebangkitan islam di akhir zaman. ambil peluang ini sebagai motivasi iman dan jati diri minta sungguh2 dengan Allah supaya ditunjukkan jalan yang benar.

    ReplyDelete
  15. allahuakbar! jauhilah doktrin sempit yang cuba disampaikan pemimpin politik semata-mata untuk sokongan politik bangsa lain..

    ReplyDelete
  16. Assalamualaikum,

    Masya-Allah.. inilah penerangan hujah berserta penerangan yang saya tunggu-tunggu. Saya sebagai pemerhati kejadian semasa yang AMBIL TAHU (tidak mahu tidak ambil peduli) sudah sekian lama membiarkan diri saya keseorangan dalam perjuangan ini disebabkan satu tanda tanya ini.

    Di dalam Islam tiada bangsa didahulukan - memetik pernyataan yang selalu diuarkan oleh pemimpin no 1 parti berasaskan Islam di negara kita. Berdasarkan pernyataan ini saya takut untuk bersuara dan bertanya, kerana di samping saya tahu dan sedar peranan bangsa itu paling utama dalam memartabatkan Islam di Malaysia ini, tapi saya tidak boleh menafikan ayat tersebut.

    Maka dengan artikel ini, blok minda itu telah runtuh. Kini saya boleh menggarap isu semasa dengan menuju ke hadapan semula.

    Terima kasih!

    @mnf

    ReplyDelete
  17. setahu aku pemimpin melayu yg paling menghina umat melayu ialah Tun M kerala. Dia yg punca melayu tersipu-sipu malu apabila dihina

    ReplyDelete

PERHATIAN!!!

Pembaca diminta supaya mengguna bahasa yang sopan dan penuh santun dalam ruang komen. Sila guna bahasa bersopan santun walaupun anda tidak bersetuju dengan mana-mana artikel di sini. Sila jadi orang yang matang dalam menyuarakan sesuatu komen terhadap sesuatu perkara. Komen-komen yang menggunakan bahasa kesat akan dibuang walaupun ia bermaklumat atau sarat dengan isi kritis. Bahasa keras dan bahasa kesat adalah dua perkara yang berbeza. Harap maklum.