17 Jan 2013

Kunst der Con: The Play


“The role players”

Dalam menjayakan sesuatu tipu daya, seseorang con-artist tidak boleh bekerja sendirian. Dia perlu bekerja dalam kumpulan yang melibatkan ramai con-players. Semua players itu kemudian diberikan tugas dan tanggungjawab bagi menjalankan peranan masing-masing mengikut rancangan yang telah ditetapkan oleh the mastermind.

Apabila mereka semua diberikan watak, maka setiap daripada mereka akan menjalankan peranan masing-masing ketika menghadapi the marks (iaitu mangsa-mangsa mereka yang terdiri daripada orang awam yang naif seperti anda). Mereka bertindak sebagai the role players bagi menjayakan the play.

Role-players adalah orang-orang lantikan the mastermind. Mereka bijak memainkan peranan dalam melakukan tipu daya kepada mangsa-mangsa. Pada masa tertentu, mereka mampu mempamerkan perwatakan yang sangat baik. Masa lain pula, mereka akan menjadi orang yang sangat mementingkan diri sendiri, serta mementingkan motif con yang sedang dijalankan dalam the play.
--


“The Play”



UNTUK memperdayakan (marks) mangsa-mangsa, ia tidak boleh dilakukan tanpa meyakinkan semua mangsa itu terlebih dahulu. Proses memperdayakan mangsa-mangsa itu memerlukan satu gerak kerja yang melibatkan ramai conmen. Manakala semua conmen terlibat itu akan mengikut segala skrip dan arahan yang diberikan oleh the mastermind atau the conman.

Mereka semua (role-players) akan melakonkan watak-watak yang diberikan mengikut skrip. Ia termasuk pengucapan yang mengikut skrip, juga melibatkan perbuatan serta perkara-perkara yang dirancang dalam usaha menjayakan ­con-job.

Ia dilakukan seperti melakonkan watak bagi membentuk sebuah kisah yang dipentaskan untuk tontonan orang ramai. Watak-watak yang dilakonkan pula tampak begitu meyakinkan walaupun pada sesuatu ketika ia kelihatan amat menjengkelkan.

Namun, itulah pementasan con-play­ atau kita namakan ia sebagai The Play. Pementasan wayang tanpa pentas oleh para conmen dalam usaha untuk mendapatkan keyakinan anda. Merekalah watak-watak, anda pula adalah mangsa-mangsa yang juga selaku penonton-penontonnya.

Inilah dunia con-artist. Dunia yang penuh dengan lakonan. Lakonan yang penuh tipu daya. Tipu daya yang sungguh meyakinkan. Meyakinkan anda yang sedang leka. Leka kerana mahukan penyelesaian mudah. Mudah sungguh menjadi mangsa. Mangsa itu adalah anda.
--


Dalam pementasan sebegini, skrip yang disediakan adalah atas kehendak the mastermind. Dia tahu kelemahan anda, dia tahu kemahuan anda, dia juga faham diri anda. Namun, dia bukan Tuhan. The mastermind itu faham mengenai segala kemahuan dan kelemahan anda kerana dia sering belajar mengenai anda.

Panggung wayang tidak akan penuh dengan penonton kalau sesebuah filem itu tidak menarik atau hambar. Begitu juga dengan pementasan ‘teater’ oleh con-artist. Sesebuah pementasan itu mestilah mengandungi isu-isu yang sangat dekat dengan penonton, sensasi, ada unsur yang suspen, seksi dan sebagainya yang mampu memikat minat penonton.

Lalu, diciptakan watak-watak yang mampu menarik simpati penonton (boleh rujuk artikel: Politik Simpatisan), juga boleh menarik keghairahan penonton untuk terus setia mengikuti perjalanan sesebuah pementasan itu. Ia dilakukan sehingga penonton berasa yakin bahawa itulah realiti, walhal ia hanyalah sebuah pementasan yang mengikut skrip.

Penonton yang leka ialah penonton yang tidak berilmu dan malas berfikir. Tidak percaya? Cuba tonton filem Bollywood iaitu Disco Dancer yang dilakonkan Mithun Chakraborty pada sekitar awal 1980-an. Pelakon utama filem itu tidak pernah ‘memegang’ kord gitar dengan betul, malah fret gitar juga dipegang dengan begitu kekok sekali. Ia jelas menunjukkan pelakon itu langsung tidak tahu memetik gitar. Tapi, ada juga penonton yang percaya bahawa pelakon itu benar-benar tahu memetik gitar. Mengapa (sebilangan penonton) boleh ditipu dengan mudah? Ia kerana penonton tidak ada ilmu mengenai gitar.

Begitu juga dengan kebanyakan filem yang lain. Filem Fast and Furious sebagai contoh seterusnya, ada adegan di mana sebuah kereta meletup serta merta selepas ia terbabas apabila ditembak dengan pistol di bahagian tayar. Namun jika anda ada pengetahuan mengenai teknologi keselamatan dalam industri automotif, akan tidak akan mudah terpedaya dan bertegas mengatakan ia tidak logik sama sekali dari segi teknikal dan fizik. Begitulah bagaimana anda ditipu mengenai apa yang anda lihat.

Sama juga dengan The Play yang dipentaskan oleh con-artist. Jika anda rajin berfikir untuk mengesan penipuan yang tidak masuk akal, maka anda akan mampu menjumpai kesalahan-kesalahan yang terdapat dalam pementasan itu. Ia termasuk kesalahan-kesalahan dari segi ilmiah, moral, kemanusiaan dan sebagainya. Apabila kesalahan-kesalahan itu dapat dikesan, maka con-job yang mereka usahakan itu akan blown out.

Kita mengambil pendekatan sains penjenayahan (science of crime) di mana sesuatu jenayah itu tidak pernah dilakukan dengan sempurna dan akan sentiasa terdapat kelemahan-kelemahan dalam sesuatu perlakuan jenayah itu sehingga membawa kepada penangkapan penjenayah yang melakukan sesuatu jenayah. Con-artist adalah penjenayah, maka mereka juga tidak terlepas daripada sains forensik jenayah ini.

Katakan seseorang itu amat galak memainkan isu melibatkan risiko radiasi kepada alam sekitar. Apabila sesuatu isu itu dimainkan, maka kita harus mengesan apakah jenis sesuatu isu itu. Adakah ia isu ilmiah, moral, kemanusiaan atau lain-lain. Walaupun ia melibatkan alam sekitar, ia sebenarnya tergolong dalam isu yang wajar dilihat secara ilmiah. Maka, isu itu harus dilihat dari sudut ilmiah dan bukan dari sudut sentimen atau keyakinan yang tidak berlandaskan fakta ilmiah.

Jadi, untuk mengesan pembohongan yang dilakukan con-artist, kita wajar menjadi lebih bijak daripada mereka.

Ini sekadar contoh yang tidak ada kaitan dengan apa yang berlaku di luar sana (really?). Contohnya, apabila diikaitkan dengan radiasi, maka ia wajar dilihat melalui kaca mata seorang saintis atom (tidak rugi jika anda rajin belajar banyak perkara). Dalam isu radiasi itu (anda juga tahu), tanah jarang (lanthanide/lanthanium) yang dikatakan berbahaya itu sebenarnya membebaskan sinar radiasi yang sangat rendah. Fakta sains tidak pernah silap.



Radiasi terdapat di mana-mana sahaja, malah dalam tubuh anda juga mengandungi radiasi (kalau anda masih ingat topik Tenaga), namun anda masih lagi hidup dan belum mati akibat radiasi. Membezakan radiasi yang membahayakan manusia ialah kadar risiko yang didedahkan kepada manusia. Tidak semua radiasi berbahaya, tetapi yang membezakan bahaya atau tidak ialah kadar sinar yang dibebaskan oleh sesuatu bahan yang mempunyai sinar radiasi. Kalau semua radiasi berbahaya termasuk yang membebaskan kadar radiasi yang kecil, maka kita semua sudah lama pupus dari muka bumi.

Malah, ada juga golongan mahasiswa yang tidak cerdik kerana malas menggunakan pendekatan ilmiah dalam membicarakan soal radiasi dan radioaktif, namun berterusan berlagak seperti tahu segala-galanya walaupun belum habis belajar. Kerana apa ia berlaku? Ia kerana tipu daya con-artist sangat hebat sehingga mampu menjadikan ‘fakta yang tidak berketerangan’ sebagai ‘alasan sintetik’ yang ‘meyakinkan’ dengan hanya memainkan elemen usikan perasaan (elemen suspen) dalam setiap plot pementasan.

Memang radiasi menyebabkan kanser, tetapi tidak semua kanser disebabkan radiasi, ada yang disebabkan genetik, ada juga yang disebabkan tabiat tidak sihat dan banyak lagi sebab-sebab yang lain. Katakan, ada radiasi di sesebuah tempat, kemudian ada pula orang yang meninggal dunia akibat kanser di situ. Kalau dikatakan radiasi di sesuatu tempat itu menyebabkan kanser, maka hamparkan laporan perubatan yang mengesahkan kanser itu adalah berpunca daripada radiasi yang berlaku di tempat itu, maka di mana laporan itu? Tiada laporan sedemikian? Kenapa tiada? Ia wajar dilihat secara ilmiah, ia tidak wajar dimainkan secara agak-agak.



Pada sekitar 1960-an hingga 1980-an, ramai rakyat di Malaysia (termasuk datuk nenek kita) menggunakan lampu gasolin. Kadar radiasi daripada sumbu gasolin itu sangat tinggi. Kalau diletakkan hampir dengan alat pengesan radiasi (bentuknya seperti telefon bimbit atau walkie talkie), maka ia akan mengeluarkan bunyi yang kuat dan laju menandakan kadar radiasi daripada gasolin itu adalah sangat berbahaya kerana mengandungi thorium (sejenis bahan galian beradioaktif). Namun, datuk nenek kita terus hidup dan melahirkan ibu bapa kita tanpa sebarang kecacatan. Ia berkaitan kadar radiasi yang dibebaskan itu membahayakan manusia atau tidak kerana radiasi berada di mana-mana sahaja, cahaya matahari juga ada tahap radiasinya tetapi adakah kita semua dalam bahaya setiap kali terdedah kepada cahaya matahari di luar sana?

Setiap apa yang digali keluar dari perut bumi, ia akan bercampur dengan radiasi. Ia kerana setiap bahan radioaktif (plutonium, uranium, thorium) juga adalah merupakan bahan-bahan galian. [hujungan ium itu merujuk kepada bahan-bahan galian sebagaimana kalsium, magnesium, natrium, sodium, kalium, lithium dan sebagainya]. Maka, lombong bijih timah yang menggali keluar bijih-bijih juga akan bercampur dengan bahan-bahan radioaktif. Maka lombong dan bekas-bekas lombong juga mempunyai kadar radiasi.

Bekas lombong bijih timah mempunyai kadar sinar radiasi yang lebih tinggi. Malah, kadar kepekatan bahan logam juga tinggi. Maka itu jauh lebih berbahaya. Namun, ada pula cadangan daripada pihak yang kurang cerdik untuk menjadikan air bekas lombong sebagai sumber air ke rumah-rumah orang awam di sebuah negeri. Apakah itu tidak pula mendatangkan bahaya? Jika anda tidak berilmu, maka anda akan mengangguk sahaja ketika menonton wayang itu dan mungkin sekali anda juga akan meneguk air lombong yang mengandungi radiasi tinggi dan juga kepekatan logam yang tinggi.

Memang ia isu kemanusiaan (keperluan air bersih), namun ia juga harus dipandang melalui kaca mata ilmiah. Anda wajar mempunyai ilmu untuk mengesan pembohongan setiap pihak yang cuba menipu anda. Untuk mempunyai ilmu, anda tidak wajar mengambil jalan mudah atau penyelesaian mudah. Anda perlu rajin mendapatkan ilmu. Anda perlu jujur setiap kali membuat pertimbangan kalau tidak mahu menjadi mangsa. Bagi saya, perkara itu telah lama blown out, namun masih ramai yang rela terus ditipu.

Maka, dalam pementasan oleh con-artist, akan selalu terdapat kesalahan-kesalahan ilmiah kerana con-artist itu sendiri tidak menguasai segala ilmu yang terdapat di muka bumi untuk menyempurnakan pembohongannya. Jika ada kesalahan dari segi ilmiah, maka ia perlu dibincang secara ilmiah. Bukan secara memasukkan sentimen kebencian yang diselimuti kejahilan ke dalam jiwa-jiwa manusia untuk menjayakan con-job. Malangnya, masih terdapat sebilangan manusia yang lebih suka menjadi jahil dan mudah diperbodohkan dengan sentimen-sentimen yang langsung tidak ilmiah.

Bagi menjadikan pementasan con-play itu blown out, kita harus sedar bagaimana sesebuah isu atau perkara itu dimulakan. Iaitu bagaimana kisah (dalam pementasan) itu bermula. Kemudian, kita wajar mengenal pasti watak-watak yang muncul dalam pementasan itu dan mengenali kredibiliti mereka. Adakah mereka mempunyai kredibiliti (secara ilmiah) untuk mengulas sesuatu perkara atau hanya memperkatakan sesuatu perkara itu mengikut hawa nafsu semata-mata (tidak bersandarkan ilmiah).

 Kita juga wajar menyedari plot-plot (jalan cerita) yang bersusun atur dalam pementasan itu. Adakah plot-plot itu bersusunan mengikut padanan fakta atau berlalu secara lintang pukang dari satu plot kepada plot yang lain. Wajar diambil sebagai nota di sini ialah, sesuatu jenayah itu tidak pernah dilakukan dengan sempurna. Maka, jika terdapat kesalahan-kesalahan semasa plot-plot itu dimainkan, maka semua itu akan mampu dilihat dengan jelas. Syaratnya ialah anda wajar mempunyai ilmu yang serba cukup mengenai isu yang dimainkan dalam pementasan itu.
---

Apabila anda sudah memahami the role players dan juga the play, maka anda akan bersedia untuk memahami terma-terma seterusnya dalam dunia con-artist.

The play bukanlah suatu pementasan yang sempurna. Akan selalu terdapat kelemahan-kelemahan dalam sesebuah pementasan con. Jadi, anda tidak wajar menjadi pak angguk yang terus mengangguk tanpa ada usaha untuk mencari ilmu bagi mengelak diri anda daripada terus ditipu. Apabila anda terus angguk-angguk, makin lama makin laju pula anggukan itu hingga terpelanting akal dari tengkorak, maka anda akan menjadi mangsa yang sudah tidak berdaya untuk berfikir lagi.


Ingat con rule no. 4?

“You can’t con a statement perfectionist.”

Maka, jadilah seorang yang mementingkan kesempurnaan dalam sesebuah pengucapan, iaitu orang yang tidak suka ditipu melalui ucapan-ucapan yang tidak sempurna dari segi fakta, ilmiah, moral, kemanusiaan dan kesusilaan.


-STALKER-
I’m stalking you



 .

3 comments:

  1. salam sejahtera buat sdr Stalker,

    terima kasih untuk artikel yang bernas...suka dengan isi-isi penting dalam penulisan kali ni...selalu saya baca,cuma jarang beri komen...kali ni tergerak pula...

    hmm, syaitan dan malaikat cuma watak yang diwujudkan untuk menyimpan rahsia yang lebih besar...rahsia yang hanya diperolehi setelah kita perolehi satu pemikiran neutral yang datang dari hati yang suci...tidak menyalahkan sesiapa,cuma duduk dari satu sudut iaitu memahami segala penceritaan...kerana jika dilihat dari sudut lakonan,setiap satunya mesti melakonkan watak dengan baik,

    "salah jika hitam tak gelap, salah juga jika putih tak terang"

    kedua mereka sebenarnya bermanfaat untuk manusia dari sudut yang berbeza...

    tapi, ilmu seperti ini selalu disalah erti...tak mengapa kerana hanya jauhari mengenal menikamnya...

    syabas saudara...:D

    ReplyDelete
  2. Sekarang mereka telah perakui bahawa paras radiasi di tempat itu berada pada tahap selamat.

    ReplyDelete
  3. This is a greaat post thanks

    ReplyDelete

PERHATIAN!!!

Pembaca diminta supaya mengguna bahasa yang sopan dan penuh santun dalam ruang komen. Sila guna bahasa bersopan santun walaupun anda tidak bersetuju dengan mana-mana artikel di sini. Sila jadi orang yang matang dalam menyuarakan sesuatu komen terhadap sesuatu perkara. Komen-komen yang menggunakan bahasa kesat akan dibuang walaupun ia bermaklumat atau sarat dengan isi kritis. Bahasa keras dan bahasa kesat adalah dua perkara yang berbeza. Harap maklum.