KAMU semua telah belajar sebahagian syarat-syarat asas Art of Con untuk memahami bagaimana
sesebuah konspirasi dijalankan. Mungkin kamu semua juga masih ingat dengan
artikel “Untuk Kali Ini Buatlah Kerana Allah” yang diterbitkan pada tiga hari
sebelum Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) dikuatkuasakan untuk diadakan. Beberapa
blog parti politik - yang dalam artikel itu kelihatan seperti diberi kelebihan - juga
telah menyebarkan artikel itu, perangkap mengena!
Melalui artikel itu, kami mengajak kamu semua berlapang dada
untuk membuat pemilihan terhadap sebuah parti yang akan memerintah negara ini
selepas PRU13, dengan syarat, buatlah pengundian dengan niat kerana Allah. Sama
ada artikel itu diterbitkan atau tidak, bukan kami sahaja, malah sebilangan
besar daripada kamu juga sudah sedia tahu bahawa parti yang memerintah sebelum itu
akan terus memerintah bagi tempoh jadual seterusnya.
Tetapi, kami tetap menerbitkan artikel itu supaya kamu dapat
faham mengenai bagaimana sesebuah permainan Art
of Con itu diteruskan dengan menyerahkan segala rentak permainan seterusnya
kepada sistem yang menguasai rentak asal permainan itu, memasang perangkap
supaya artikel itu disebarkan juga adalah sebahagian daripada strategi menyerahkan
ia kepada sistem. Lagi tapi, kamu hanya akan memahami mengapa permainan itu
diserahkan semula kepada sistem melalui edisi kali ini.
Sekarang, kami mahu mengimbas semula perjalanan politik
negara selepas selesai pilihanraya umum yang lalu walaupun ia sangat membosankan
kepada kamu semua yang tidak rela memusnahkan hidup dengan menjadi hamba setia
parti politik. Bagi yang menghambakan diri kepada parti politik, imbasan semula
ini mungkin menyebabkan mereka berasa sedikit tidak selesa.
Sebelum PRU13, terdapat tanda-tanda protes di kalangan ahli
PAS disebabkan terlalu banyak isu yang mencalarkan imej (jemaah pemimpin
tertinggi) mereka sejak bersama pembangkang (dalam konteks politik nasional).
Ia termasuk berasa terkesan buruk pada imej mereka apabila
DAP beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang memburukkan Islam serta ‘menggertak’
kepimpinan mereka supaya sentiasa akur dengan setiap keputusan pakatan
pembangkang atas dasar bersetuju untuk tidak bersetuju.
Kebiasaan kesan buruknya banyak kali, PAS sentiasa gagal
dalam perjuangan asalnya akibat ‘kewajipan’ menjalankan peranan ‘sebagai
pasangan hidup’ kepada misi mendapatkan mandat kejayaan pembangkang yang hidup seperti
‘madu tiga’ yang mempunyai impian hadiah barang kemas berbeza-beza daripada
suami.
Selepas PRU13 pula, retak-retak itu kemudian terus terbelah
selepas PAS selesai mengadakan muktamar pada tahun ini (2015), iaitu selepas
beberapa ‘event’ politik yang menyaksikan Anwar Ibrahim (yang pernah
mengucapkan kalimat keramat… I support
all efforts to the security of the State of Israel) akhirnya masuk penjara, plot event Kajang Move yang
mengeruhkan hubungan sesama madu pakatan pembangkang, plot nasib wakil PAS
dalam kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh seorang yang pernah diangkat
oleh mereka sebagai model Khalifah Umar Abdul Aziz dan beberapa plot lagi yang
amat muak untuk kami sebutkan.
Akhirnya, PAS memisahkan diri daripada DAP. Inilah yang kami
maksudkan dengan menyerahkan semula rentak permainan kepada sistem asal yang
menggerakkannya. Perpisahan PAS dan DAP tidak dirancang pihak luar, tetapi
dibiarkan supaya ia benar-benar berlaku.
Dalam permainan Art of
Con, menyerahkan rentak permainan semula kepada sistem adalah cara termudah
untuk mendapatkan kemenangan. Seseorang conman itu tidak perlu berusaha keras memerah
otak untuk mencari strategi seterusnya untuk menang. Dia mengambil jalan mudah,
biarkan sistem menjalankan tugasnya kerana sama ada head or tail yang terpampang selepas itu, ia tetap akan dilihat
sebagai ‘segalanya berlaku mengikut kebiasaan.’
Di sebaliknya ialah, kamu diberitahu melalui ‘Untuk Kali Ini
Buatlah Kerana Allah’ supaya fokus memerhati episod hubungan PAS-DAP apabila
mereka masih gagal memerintah walaupun kelihatan mereka seperti sudah terlalu hampir
untuk menang. Walhal sebenarnya, meskipun selepas pilihanraya akan datang ini, mereka
masih jauh untuk ‘menang secara bersama’ kalau masih bersama sekali pun.
Keputusan yang dinantikan conman selepas itu ialah untuk
melihat apa yang akan terjadi kepada PAS dan DAP-PKR.
Ingat lagi terma ini? Expected
scene. Jawapan (next scene) yang
ditunggu ialah melihat perjuangan Islam kembali bersinar selepas PAS berjaya memperjuangkan
kemerdekaan mereka sendiri, membebaskan diri daripada cengkaman dominist DAP,
memecahkan kebuntuan yang telah mula membarah dan memutikkan harapan untuk
kembali menjadi suara umat Islam paling garang di bumi Malaysia.
Siapa kata kami benci PAS?
Lupakan DAP-PKR yang sedang menikmati saat bahagia mereka
menjalani hidup metro serba moden sambil menjunjung segala slogan humanism yang tidak ‘kolot’ dan
ketinggalan zaman seperti PAS.
Siapa pula yang kata kami suka UMNO yang mengetuai BN?
Begini permainannya.
Pelaksanaan sistem cukai baru, GST, yang dikuatkuasakan pada
tahun ini adalah keputusan yang sudah awal-awal diketahui. Cuma yang tidak
diketahui ialah tarikh sebenarnya sebelum ia dianjak kepada 1 April. Lain-lain
jawapan, sudah diketahui sejak awal-awal lagi. Inilah kunci permainan ini.
Satu lagi kunci yang diketahui awal-awal ialah pemberian
wang tunai kepada rakyat yang dinamakan BR1M. Inilah penyakit yang mewujudkan
suasana getir untuk dilalui UMNO pada ketika ini. Ia menyebabkan helaian demi
helaian membuka lembar satu per satu tanpa sedikit usaha pun. Itulah keindahan
melepaskan semula rentak permainan kepada sistem.
Sejak awal-awal lagi, kita tidak diperjelaskan secara ilmiah
oleh parti pemerintah mengenai dari mana datangnya wang sebanyak itu untuk
membayar wang secara percuma kepada rakyat tertentu yang mana mereka tidak
perlu berusaha keras setitik pun untuk diberikan duit tunai. Ulang, penjelasan
secara ilmiah, jangan tanya dua kali penjelasan ilmiah yang macam mana. Penjelasan
ilmiah! Bukan penjelasan setaraf menteri-menteri yang mengakui pandai hanya
berbekalkan CGPA 3.85.
Apabila wang tunai berada terlalu banyak dalam pasaran
(billion), ia menyebabkan berlaku penyusutan terhadap nilai yang dibawa oleh
wang kertas itu. Akibatnya, nilai matawang tempatan akan menyusut berbanding
nilai mata wang yang disandarkan kepadanya, serta menyusut nilai berbanding
logam-logam berharga seperti emas dan perak. Nilai ringgit kemudian jatuh.
Menyedari beberapa juta, atau billion, wang sedekah BR1M yang
sedang berlegar di kedai-kedai itu tidak boleh berada terlalu lama dalam
pasaran kerana ia boleh menyebabkan kejatuhan nilai matawang, maka sistem cukai
baharu mesti dilaksanakan supaya dapat mengutip kembali wang-wang kertas itu
daripada terus berada dalam pasaran. Kemudian, sistem cukai itu dilaksanakan
untuk menjalankan tugas utamanya; mengutip semula wang sebelum terlambat.
Memang rancangan mereka itu agak cantik untuk segera
mengelak kejatuhan ringgit secara lebih awal, namun mereka terlupa dan terlalai
kepada kejutan yang boleh berlaku secara tidak disangka-sangka iaitu pergerakan
harga komoditi terutama sekali emas hitam…iaitu petroleum.
Kelalaian itu menyebabkan mereka tewas apabila cuba
menjadikan wang kertas sebagai instrumen bernilai untuk ‘membeli’ kesetiaan
rakyat. Kesannya, harga minyak terpaksa diselaraskan naik, turun sedikit dan
naik sedikit hingga mereka kata harga minyak sebenarnya tidak pernah naik pun
kerana belum pernah melepasi harga ‘itu’ pada satu ketika dulu. Mereka bermain
dengan cara yang amat dungu sekali. Mereka yang mendapat CGPA 3.85 ini gagal
kerana lupa terhadap hukum ini; wang kertas akhirnya terpaksa tunduk kepada
nilai logam.
Belum sempat mengutip semula wang, nilai matawang sudah
terjejas lebih awal sehingga gagal mengambil kesempatan nikmat terhadap
kejatuhan harga petroleum dunia. Memang harga petroleum tidak pernah naik,
kerana ia menurun melalui konteks yang
lain dan menaik dari konteks yang lain pula.
Apabila nilai matawang ringgit mengalami penyusutan, ia
mendatangkan masalah kepada jumlah ringgit yang perlu dikeluarkan untuk
melibatkan diri dalam pasaran antarabangsa. Pasaran antarabangsa termasuklah
terhadap petroleum dilakukan dengan menggunakan Dollar Amerika. Jadi, sebelum
membeli petroleum, ringgit perlu ditukarkan kepada dollar terlebih dahulu.
Disebabkan nilai ringgit mengalami kejatuhan, maka lebih
banyak helaian ringgit diperlukan untuk mendapatkan sehelai dollar. Kesannya, negara
ini memerlukan lebih banyak ringgit untuk membeli dollar sebelum boleh terlibat
dalam aktiviti urusniaga antarabangsa bagi mendapatkan produk berasaskan hasil
galian petroleum.
Maka, samalah juga dengan keadaan kamu semua, memerlukan
lebih banyak ringgit untuk diserahkan kepada stesen minyak walaupun harga
petroleum dunia sebenarnya sedang mengalami penurunan pada ketika itu.
Akibatnya juga, peniaga juga mengeluarkan wang untuk diserahkan kepada stesen
minyak dan juga pemerintah (membayar GST) dan seterusnya memindahkan kos itu
kepada kamu semua, harga barang pun berubah. Jangan bersedih dengan keadaan
semasa walaupun sedang berasa tertekan akibat kedunguan pemerintah mengatur
strategi. Permainan belum habis di situ walaupun merasakan hidup semakin
tertekan.
Semua itu berlaku disebabkan oleh terlalu banyak wang kertas
yang berlegar dalam pasaran domestik. Kami tidak kata BR1M sebagai puncanya,
kami menjelaskan secara hukum bahawa nilai logam galian (aurum, argentum, petroleum) akan meningkat sekiranya terlalu banyak
wang kertas dalam pasaran. Ejen-ejen emas, jangan pula ambil kesempatan
mempromosi jongkong-jongkong anda di sini.
Ya. Semua itu sudah dijangka dan kami hanya perlu memerhatikan
trend pergerakan nilai logam dunia sebelum melepaskan rentak permainan kepada
sistem. Nasib baiknya ialah percaturan itu mengena apabila pergerakan nilai
pasaran logam (spot price) bergerak
mengikut trend yang dijangkakan. Buy or
sell, bull or bear, blue or red, we keep dancing on the candle stick.
Malangnya, rakyat yang diajar dengan wang kertas dan pemerintah yang
mengutamakan wang kertas terpaksa menanggung kerugian. Dan, siapa pula yang
memilih jalan kerugian?
Oh, tunggu. Permainan tidak berakhir di situ. Memilih untuk
rugi bukanlah bermakna permainan sudah berakhir di situ. Kami masih terhutang
budi kepada kamu yang memilih untuk rugi, kerana kamu yang tadi itu tetap akan
menang selepas ini, menang bersama-sama mereka yang tidak memilih untuk rugi.
Tanpa kesilapan itu, kamu tidak akan sedar. Tanpa kesilapan mendapatkan
kerugian itu akan menyebabkan PAS lebih rugi diperhambakan serta diperbudakkan
DAP-PKR. Akibat kesilapan itu jugalah kamu telah menolong kami membebaskan PAS
untuk menjadi hebat semula. Akibat kesilapan itu jugalah PAS telah berjaya
membersihkan dirinya daripada bangsat-bangsat ‘role players’.
Kalau kamu, siapa lagi, kamu la selaku ‘orang UMNO’ masih
mahu terus menyokong UMNO, maka sokonglah. Dan, jika kamu pula ‘orang PAS’
masih setia bersama PAS, maka teruskanlah. PAS sekali lagi sudah menerima
pengajaran paling berharga dalam riwayat mereka, UMNO pula untuk sekian kali
pula juga telah belajar sesuatu daripada kegelojohan dan keangkuhan mereka.
Ajarilah mereka untuk menjalankan peranan mereka iaitu membantu
memudahkan perjalanan hidup anda sebagai umat Islam dan sebagai warganegara.
Kalau kamu sebagai ‘orang ISLAM’ masih mahu menegakkan Islam, maka berdamailah.
Adakah permainan kita akan berakhir di situ?
Oh tidak, tidak.
Perpisahan PAS dan DAP tidak dirancang pihak luar, tetapi
dibiarkan supaya ia benar-benar berlaku. Ingat lagi ayat ini pada perenggan
yang atas-atas tadi? Tiada mana-mana pihak pun yang merancang untuk memisahkan
PAS daripada DAP termasuklah ahli-ahli pembelot mereka sendiri. Pihak luar juga
sedar mereka tidak mampu memisahkan PAS dan DAP kerana ketua-ketua pembelot
dalam PAS serta pengikut-pengikut mereka juga tidak sanggup melihat PAS berbuat
demikian. Ahli-ahli pembelot itu mahu menguasai PAS dari segenap peringkat
jawatan supaya PAS dapat terus kekal berkhidmat kepada DAP bagi menjayakan
projek mengusir UMNO dan BN dari Putrajaya. Klise dan membosankan, tetapi
itulah permainan mereka.
Namun, UMNO juga sedar bahawa terdapat pergolakan di
peringkat akar umbi yang ingin melihat PAS kembali kuat seperti dulu tanpa
perlu dibelai manja oleh DAP. Dalam hal ini, UMNO juga menyerahkan urusan
seterusnya kepada sistem. Dalam hal lain pula, mereka kekal angkuh ingin
meneruskan permainan dengan sistem ciptaan mereka sendiri, akhirnya memakan
diri. Sama, adakah kesilapan yang dilakukan UMNO itu berpunca daripada kerelaan
mereka untuk menderita kerugian? Tidak. Mengapa tidak? Kerana hukumnya ialah
tidak ada sesiapa pun yang mahu rugi. Tetapi, hakikatnya, mereka sedang
kerugian. Permainan di luar sistem wajar bermula di sini.
Apakah permainan itu? Mahu bermain bersama?
Marilah kita main bersama wahai watak-watak perkasa.
Siapa watak perkasa?
Kau la.. Siapa lagi? Iya…. Kau la!!
Siapa yang akan menang? Kau la!!
Kau tu siapa? Kau la!! Kau orang Islam la!!
-SHAHi-