MELAYU yang beragama Islam hari ini sedikit
mujur kerana masih ada kuasa dalam politik negara. Ada dua parti besar yang
diterajui orang Melayu sejak sebelum merdeka, kedua-dua parti itu hari ini mengadakan
kerjasama dengan parti lain yang bukan diterajui orang Islam.
Bagi
satu golongan Melayu, mereka berhasil menjadi dominan terhadap rakan parti
sekutu mereka yang bukan Muslim. Manakala segolongan lagi tidaklah sedominan
seperti yang mereka war-warkan kepada umum kerana setiap kali mereka cuba untuk
mengaku dominan, rakan-rakan politik mereka akan segera menjeling bengis
sehingga membuat mereka terkedu seminit dua.
Namun,
kedua-dua parti Melayu itu masih mempunyai rekod-rekod kejayaan masing-masing terhadap
bangsa dan agama dari perspektif yang berbeza. Ia bagaimanapun bukanlah jenis kejayaan
besar yang boleh dibanggakan sehingga tujuh generasi yang seterusnya.
Kita
di blog ini pernah menjelaskan mengenai Melayu dan Islam di negara ini. Rujuk klik di sini dan di sini. Kita menjelaskan betapa Melayu perlu menjunjung Islam dan kita
memperjelas berhubung persoalan mengenai yang mana satu perlu didahulukan
antara Melayu dengan Islam.
Islam
itu diturunkan (antaranya) kepada manusia. Manakala manusia itu pula berbilang
bangsa. Kita tidak boleh menafikan hakikat manusia itu dijadikan berlainan
bangsa. Pernyataan yang mengatakan Islam tidak memandang bangsa atau kaum
adalah satu pernyataan yang tidak salah, tetapi ia tidak dihuraikan dengan cukup
jujur oleh orang yang mengucapkan pernyataan itu.
Orang
yang mengucapkan pernyataan itu tidak pernah melihat pengertian secara
menyeluruh. Atas sebab itu, kita pernah menjelaskan (di sini dan di sini)
mengenai pengertian itu sebagai pencerahan terhadap kekaburan yang terselindung
di sebalik pernyataan itu. Kalau tidak bersetuju dengan perenggan ini, adalah
lebih baik mereka terlebih dahulu membaca penjelasan kita sebelum ini sehingga
faham.
Akibat
tidak faham mengenai kepentingan bangsa terhadap agama, maka wujudlah golongan
yang mempersenda perjuangan segolongan lain yang dilihat terlalu bersifat
kebangsaan. Di sinilah bermulanya siri kejayaan demi kejayaan yang dicipta
kedua-dua golongan Melayu itu di persada dunia.
Jadi,
apakah kejayaan terbesar kedua-dua parti teras Melayu itu?
Kejayaan
terbesar orang Melayu ialah berhasil menanam kebencian terhadap sesama bangsa.
Kejayaan
terbesar orang Melayu ialah berhasil menyemarakkan api kebencian terhadap
sesama umat. Itulah kejayaan terbesar bangsa Melayu yang mana kejayaan seperti
itu tidak pernah dicapai oleh bangsa-bangsa lain di mana-mana pelosok dunia.
Orang
Melayu barangkali sangat berbangga dengan kejayaan itu apabila sikap mereka itu
disebut-sebut dan disanjung-sanjung oleh bangsa-bangsa lain di dunia.
--
Islam
adalah agama yang sangat dekat di hati orang Melayu, mungkin sekali Islam itu
juga adalah hati orang Melayu. Namun, mereka tidak pernah menjadikan agama itu
sebagai jambatan untuk menyatupadukan mereka. Sebaliknya, mereka
membanding-bandingkan sesama mereka dengan menggunakan agama.
Saya
bukanlah berdarah Melayu sejati. Ada darah Arab dalam tubuh saya. Darah itu
pula bercampur dengan darah Yahudi yang berhijrah ke Asia melalui jalan darat merentasi
tanah orang Parsi, tanah orang India dan tanah orang Siam sebelum sampai ke Tanah
Melayu. Dalam tubuh saya ada banyak darah yang sudah bercampur dari Arab,
Yahudi, Parsi, India, Siam, Palembang dan Acheh sebelum saya dilahirkan.
Disebabkan
saya mempunyai salasilah Semitik (Arab dan Yahudi), maka keturunan saya sejak beratus
tahun mencatat semua garis keturunan sejak permulaan Shem bin Nuh. Saya tahu nama datuk kepada datuk saya. Saya juga
tahu nama datuk dan nenek kepada moyang-moyang saya. Saya tahu asal usul saya. Adakah
anda juga tahu siapa ibu bapa atau datuk dan nenek kepada moyang-moyang anda?
Tidak
keterlaluan jika saya memberitahu anda semua bahawa STALKER adalah sepupu saya,
sama darah keturunan dengan saya. STALKER, izinkan saya bercerita sedikit.
Saya
dan STALKER berasal dari moyang yang sama. Datuknya memilih untuk hidup
sederhana dan meninggalkan segala kekayaan dengan tidak mahu diketahui orang
ramai mengenai status elit yang mereka warisi. Namun, datuknya dihadiahkan
sebidang tanah seluas dua buah kampung sejak lebih 80 tahun yang lalu. Datuknya
kemudian membuka kampung di tanah hutan itu.
Di
kampung itu, datuknya membenarkan orang-orang miskin membina rumah dan bercucuk
tanam di atas tanah yang dikurniakan itu sehingga hari ini. STALKER berasal
dari keturunan yang sama dengan saya. Cuma yang membezakan ialah datuknya
memilih untuk hidup sederhana dengan membina rumah kayu beratap nipah sejak
membuka kampung yang dikurniakan itu. Rumah itu kemudian di-upgrade-kan sedikit
untuk memberi keselesaan terhadap ibu bapa STALKER dan rumah itu masih ada
hingga hari ini. Sejak datuknya memilih hidup sederhana, kesederhanaan itu kemudian
diwarisi ibu bapa STALKER dan hingga kepada STALKER sendiri.
Manakala
saya pula tidak melalui cara hidup yang sama dengan STALKER. Datuk saya
dikehendaki berada di ruang hadapan elit (?), manakala datuk STALKER memilih
untuk berada bersama orang-orang biasa di luar sana. Namun, kami kenal sesama
kami. Kami tahu asal usul kami, kami tahu keturunan kami.
Ketika
STALKER menyambung pelajaran di universiti, seorang guru silat dihantar ke
kampusnya untuk mengajar dia mempertahankan diri. Begitu juga dengan saya.
Selepas guru silat, guru pedang dari Jepun pula dihantar kepada kami di kampus
masing-masing. Kami menerima perhatian yang setara daripada (?). Bezanya cuma,
saya berduit dan STALKER tidak berduit disebabkan jalan hidup yang dipilih keluarga
masing-masing.
STALKER
adalah lebih dekat dengan anda kerana dia hidup seperti kebanyakan daripada
anda. Tetapi saya pula agak jauh daripada anda (juga secara geografinya).
Namun, STALKER sentiasa mendekatkan saya kepada anda semua. Keturunan kami
datang ke Tanah Melayu adalah untuk berjuang bersama-sama anda. Tidak perlu untuk anda mengetahui keseluruhan kisah kami.
Mungkin
anda agak sulit untuk faham mengenai apa yang kami rasai saat ini apabila
melihat Melayu sesama Melayu membenci sesama sendiri.
Cuba
anda meletakkan diri anda di tempat kami.
Katakan,
anda terpinga-pinga menyembunyikan diri di padang pasir selama beratus tahun untuk
menyelamatkan diri daripada kekejaman, kemudian memeluk Islam bagi memperbaharui
akidah yang diajarkan Musa selepas berjumpa orang Arab dan beranak-pinak
sepanjang membuat perjalanan ke sebuah negeri di Asia Tenggara yang menjadi
sebutan orang-orang Arab.
Anda
datang daripada jauh merentas bukit-bukau dan gunung-ganang untuk berjumpa
dengan bangsa yang menguasai Asia Tenggara setelah mendengar khabar berita mengenai
kemegahan mereka yang disampaikan orang Arab ke telinga anda semasa anda
berlegar-legar di padang pasir. Tetapi apabila anda sampai ke sana, anda
melihat bangsa itu sudah mula bercakaran sesama mereka.
Maka,
perjalanan anda merentas bukit dan gunung-ganang menjadi seperti sia-sia. Anda
mengharapkan untuk bersama bangsa yang gah itu, tetapi apa yang anda lihat
ialah bangsa yang gah itu sedang bermusuhan sesama mereka. Apa yang anda rasa
selepas melihat bangsa itu bercakaran? Jadi, untuk bersama bangsa yang gah itu,
apa yang perlu anda lakukan?
Anda
perlu mendamaikan mereka supaya anda dapat bersama mereka untuk mencipta
kegemilangan. Selagi mereka tidak didamaikan, selagi itulah hasrat mencapai kegemilangan
tidak akan tercapai.
Anda
perlu mendamaikan mereka pada saat anda perlu menyembunyikan identiti Yahudi
yang anda warisi kerana bangsa gah itu sangat membenci Yahudi sebagaimana
mereka membenci sesama mereka sendiri.
Apa
yang kita lihat dengan jelas ialah, kejayaan terbesar orang Melayu ialah
kejayaan para pemimpinnya menanam kebencian terhadap sesama bangsa. Ia adalah
kejayaan yang tidak pernah dicapai oleh bangsa Yahudi sendiri. Bukan Yahudi sekular
yang membunuh Yahudi ortodoks di Jerman semasa Perang Dunia Kedua, bukan, ia bukan
seperti yang diperkatakan teori-teori konspirasi yang popular bagi
memperkatakan kewujudan negara haram Israel yang didirikan atas fahaman nafsu sekular
Zionis yang menjauhi agama.
Seorang
Yahudi tidak akan berkata buruk kepada Yahudi yang lain meskipun saudara
Yahudinya itu beragama Islam atau Nasrani sekalipun. Andai berkata buruk pun mereka
tidak tergamak, apatah lagi untuk membunuh sesama bangsa dengan mereka. Berkata
dengan ucapan keras adalah tidak sama dengan berkata dengan ucapan buruk.
Rabbai Aaron Cohen tidak pernah berhenti mengutuk dan mendedahkan kekejaman Yahudi
Zionis kepada dunia, namun Zionis juga tidak tergamak untuk mengapa-apakan Aaron
Cohen kerana dia sebangsa dengan Yahudi.
Berbeza
dengan orang Melayu, mereka tidak teragak-agak untuk menghambur kata-kata buruk
kepada saudara sebangsa dengan harapan akan ada saudara sebangsa mereka akan
membenci saudara sebangsa yang tidak sefahaman dengan mereka. Apabila wujud
kumpulan sefahaman yang membenci saudara sebangsa, mereka fikir mereka akan
lebih bertambah kuat. Mereka fikir mereka telah berjaya kerana ada di kalangan
saudara sebangsa mereka mula membenci bangsa mereka sendiri dari kumpulan yang
lain, tetapi kita melihatnya sebagai satu kerugian.
Menyayangi
bangsa sendiri tidak bermakna anda memeluk mentaliti Yahudi. Melayu adalah
bangsa yang ditakdirkan untuk memimpin umat Islam di Asia Tenggara. Andai lemah
Melayu di Asia Tenggara diakibatkan permusuhan sesama sendiri, maka lemahlah Islam
yang dianuti mereka. Ia kerana Islam itu dianuti oleh bangsa yang menganuti
agama itu. Kalau lemah bangsa itu, maka lemahlah juga kedaulatan agama yang
dianuti mereka. Islam tidak lemah, ia kuat dari segala sudut kehidupan, tetapi
kedaulatannya dilemahkan oleh sikap orang Melayu sendiri.
Akhir
ini, sangat ramai orang Melayu yang mengucapkan kata-kata buruk terhadap Melayu
yang lain. Mereka mengucapkan kata-kata buruk itu di setiap keadaan, di
Facebook, di Twitter, di blog-blog dan sebagainya. Mereka sudah tidak tahu apa
maksud kesopanan, kesantunan dan kehalusan budi bicara dalam menyampaikan maksud.
Mereka seperti sudah tidak ada budi bahasa. Orang UMNO atau orang PAS, sama
sahaja. Maki-makian, carut-mencarut terhadap sesama mereka sudah seperti
makanan sehari-hari disebabkan perbezaan fahaman.
Ada
satu ketika, orang PAS memulakan kata-kata buruk di laman-laman sosial dan di
blog-blog. Dalam satu ketika yang lain pula, orang UMNO memulakan kata-kata
yang sama. Kesannya, orang Melayu sentiasa bertelingkah kerana sudah tidak tahu
bagaimana untuk bersantun.
Pada
ketika lain, orang PAS menyalahkan orang UMNO. Pada ketika lain, orang UMNO
pula menyalahkan PAS. Kesannya juga sama, terus-menerus bertelingkah tanpa ada
kesudahan. Sama juga dengan memulakan pergaduhan, ada masa ia dimulakan orang
PAS dan ada masa lain ia dimulakan orang UMNO. Berterusan lagi bertelingkah.
Orang
Melayu bersama pemimpin mereka menyandang rekod kejayaan yang tidak dicapai
oleh bangsa-bangsa lain di dunia. Ia adalah kejayaan menyemai sikap
benci-membenci sesama bangsa, sesama umat. Pada ketika agama seperti sedang
tersepit di tengah-tengah, mereka masih bertelingkah menghimpit agama. Jangan
sampai apabila kedaulatan agama turut musnah pada ketika mereka musnah akibat tersepit
dan menghimpit sesama mereka.
Marilah
menuju kejayaan.
Suka
saya memetik kata-kata STALKER:
“Damaikanlah
saudara-saudara kamu yang sama agama dengan kamu.”
-SHAHi-
.
Nmpaknya sifat terahsia yg sangat ganas didalam diri org2 melayu sudah terembes sedikit demi sedikit dari bekasnya.
ReplyDeleteLantaran dari usikan-usikan mereka yang disana.
Kesannya kini sudah kelihatan semakin nyata lagi jelas.
Tiada bangsa lain samada dari timur atau barat yang memiliki sifat yg seganas bangsa yg satu ini.
Cuma ganasnya bijak dipendam didalam senyum..
dahsyatnya disimpan didalam tutur..
anjalnya terselit dibawah sipunya.
Bagai harimau tunggal tertidur pulas dipuncak belantara.
Tinggal lagi bangsa ini masih lagi menggenggam teguh kalimah tauhid...Aku percaya...
Persoalannya,apakah kesan..akibat yg bakal berlaku jika penutup bekas itu dibuka tepat pada masa,sebab dan tempatnya..
salam SHAHi.
ReplyDeletesuka tulisan awak..harap awak dapt tulis bayk2 lagi dalm blog ni,nape x balik dok M'sia aja dalm keadaan genting cam ini?
Sekali baca perjalanan hidup saudara, STALKER dan yang sealiran, rasa macam tengok filem Barat. Tentang kewujudan kumpulan rahsia yang diberi amanah sejak zaman berzaman untuk dilaksanakan... secret society dari sisi cerah.
ReplyDeleteKehadiran guru2 seni bela diri seolah2 ingin membuka kunci potensi diri dalam genetik saudara yang terakam sejak berzaman.
-staff
Salam abang shahi..
ReplyDeletekwn bg pendapat je,mungkin benar mungkin tidak..
pas dan umno ni main topeng aje..wayang..petro'an.
sehinggalah raja2 melayu memetik 'main trigger'..
pas tu ape jadi ekk??..
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteBerikan anak kecil itu kereta mainan,
Deletemaka akan bermainlah dia dengan permainan itu dengan asyiknya.
Kemudian beri pula dia dengan pistolan,
maka akan teramat asyiklah dia dengan permainan barunya itu..
tanpa disedarinya alat mainannya itu bukanlah cobaan...
Tapi betol-betol..
Ah..betapa asyiknya permainan itu.
salam utk semua yg membaca,terima kasih utk pengarang blog,atas blog saudara yg saya rasa amat berguna,kerna selama ni saya masih tercari2..,dimana asal dan pangkalnya kehidupan,agama dan hala tuju saya ...dan bila saya baca tulisan saudara,sedikit sebanyak terbuka minda saya....terima kasih atas ehsan ilmu saudara...saya sygkan bangsa dan cuba sedaya upaya utk mencintai agama saya iaitu islam...moga ALLAH permudahkan pe yg saya cuba perjuangkan....sesungguhnya saya sgt2 sedih ngan senario bangsa dan agama skrg ni...INSYA ALLAH...andai ada rezki dan izinNYA..saya nk sgt bersemuka dgn anda berdua...INSYAALLAH...
ReplyDeletekenapa orang2 mcm saudara SHAHi dan STALKER berlapik-lapik tentang identiti kalian? ini benar2 menimbulkan soal jawab yang banyak dalam kepala otak saya. tentang siapa kamu semua, sejauh mana saya boleh mencedok maklumat dari kamu semua, juga tentang mengapa kamu semua menyampaikan semua ini lebih2 lagi dalam cara yang tidak terlalu terbuka.
ReplyDeletebagaimana boleh guru2 silat dan pedang didatangkan kepada saudara berdua dan bukannya kamu berdua yang mendatangi mereka? siapa yang mendatangkan guru2 tu?
salam,
ReplyDeletenajwa,
kita hanya memberi sedikit gambaran tentang identiti kerana ada yang tertanya-tanya mengenai siapa yang berada di belakang blog umat terakhir selama ini.
segala maksud dalam blog ini disampaikan dengan jelas walaupun dianggap kabur oleh sesetengah orang, saudari juga faham dengan segala maksud yang terkandung dalam blog ini.
kita lebih suka melihat melayu islam bersatu. kita menegur melayu dengan bahasa yang lunak. kita menyindir sikap orang melayu dengan kiasan yang tak nampak.
kita lebih suka dipanggil sebagai orang melayu.
orang melayu sangat cermat tika bicara.
lain-lain perkara, biarlah tanpa jawapan.
ok. i'll keep that in mind.
ReplyDeletewalaupun banyak sangat misterinya, terima kasih atas perkongsian. saya sangat menghargai apa yang saya dapat dari UT. tapi kadang2 saya rasa cemas memikirkan siapa di belakang UT. ditambah lumrah saya memang suka fikir banyak.
semoga Allah satukan hati saudara2 seagama kita atas landasan akidah.
:)
assalamualaikum,melayu oh melayu yg begitu lembut dgn senandung & selokanya kian hari kian terhakis sifat dan kelakuannya hanya kerana dunia yg fana di sana sini masing2 telah menganut agama baru yg digelar politik kepartian yg bertuhankan demokrasi sedarlah wahai bangsaku kalian telah dizalimi & menzalimi dgn sistem yg kalian junjung. Umat bukan bertambah menjadi baik dgn kuasa ditangan anda dan dtg pula satu golongan yg cuba merungkai kekusutan malah menambah lagi kekusutannya hingga x akan dpt dirungkai & ditemukan penyelesaiannya walaupun sekian manifesto & janji ditaburkan.Mulianya bangsa ini hanya dgn Islamnya & hinanya bangsa ini bila ia meninggalkan agamanya...wallahu'alam
ReplyDelete