25 Jul 2015

Nota: Pilihlah watak kamu mulai hari ini

KAMU semua telah belajar sebahagian syarat-syarat asas Art of Con untuk memahami bagaimana sesebuah konspirasi dijalankan. Mungkin kamu semua juga masih ingat dengan artikel “Untuk Kali Ini Buatlah Kerana Allah” yang diterbitkan pada tiga hari sebelum Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) dikuatkuasakan untuk diadakan. Beberapa blog parti politik - yang dalam artikel itu kelihatan seperti diberi kelebihan - juga telah menyebarkan artikel itu, perangkap mengena!

Melalui artikel itu, kami mengajak kamu semua berlapang dada untuk membuat pemilihan terhadap sebuah parti yang akan memerintah negara ini selepas PRU13, dengan syarat, buatlah pengundian dengan niat kerana Allah. Sama ada artikel itu diterbitkan atau tidak, bukan kami sahaja, malah sebilangan besar daripada kamu juga sudah sedia tahu bahawa parti yang memerintah sebelum itu akan terus memerintah bagi tempoh jadual seterusnya.

Tetapi, kami tetap menerbitkan artikel itu supaya kamu dapat faham mengenai bagaimana sesebuah permainan Art of Con itu diteruskan dengan menyerahkan segala rentak permainan seterusnya kepada sistem yang menguasai rentak asal permainan itu, memasang perangkap supaya artikel itu disebarkan juga adalah sebahagian daripada strategi menyerahkan ia kepada sistem. Lagi tapi, kamu hanya akan memahami mengapa permainan itu diserahkan semula kepada sistem melalui edisi kali ini.

Sekarang, kami mahu mengimbas semula perjalanan politik negara selepas selesai pilihanraya umum yang lalu walaupun ia sangat membosankan kepada kamu semua yang tidak rela memusnahkan hidup dengan menjadi hamba setia parti politik. Bagi yang menghambakan diri kepada parti politik, imbasan semula ini mungkin menyebabkan mereka berasa sedikit tidak selesa.

Sebelum PRU13, terdapat tanda-tanda protes di kalangan ahli PAS disebabkan terlalu banyak isu yang mencalarkan imej (jemaah pemimpin tertinggi) mereka sejak bersama pembangkang (dalam konteks politik nasional).

Ia termasuk berasa terkesan buruk pada imej mereka apabila DAP beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang memburukkan Islam serta ‘menggertak’ kepimpinan mereka supaya sentiasa akur dengan setiap keputusan pakatan pembangkang atas dasar bersetuju untuk tidak bersetuju.

Kebiasaan kesan buruknya banyak kali, PAS sentiasa gagal dalam perjuangan asalnya akibat ‘kewajipan’ menjalankan peranan ‘sebagai pasangan hidup’ kepada misi mendapatkan mandat kejayaan pembangkang yang hidup seperti ‘madu tiga’ yang mempunyai impian hadiah barang kemas berbeza-beza daripada suami.

Selepas PRU13 pula, retak-retak itu kemudian terus terbelah selepas PAS selesai mengadakan muktamar pada tahun ini (2015), iaitu selepas beberapa ‘event’ politik yang menyaksikan Anwar Ibrahim (yang pernah mengucapkan kalimat keramat… I support all efforts to the security of the State of Israel) akhirnya  masuk penjara, plot event Kajang Move yang mengeruhkan hubungan sesama madu pakatan pembangkang, plot nasib wakil PAS dalam kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh seorang yang pernah diangkat oleh mereka sebagai model Khalifah Umar Abdul Aziz dan beberapa plot lagi yang amat muak untuk kami sebutkan.

Akhirnya, PAS memisahkan diri daripada DAP. Inilah yang kami maksudkan dengan menyerahkan semula rentak permainan kepada sistem asal yang menggerakkannya. Perpisahan PAS dan DAP tidak dirancang pihak luar, tetapi dibiarkan supaya ia benar-benar berlaku.

Dalam permainan Art of Con, menyerahkan rentak permainan semula kepada sistem adalah cara termudah untuk mendapatkan kemenangan. Seseorang conman itu tidak perlu berusaha keras memerah otak untuk mencari strategi seterusnya untuk menang. Dia mengambil jalan mudah, biarkan sistem menjalankan tugasnya kerana sama ada head or tail yang terpampang selepas itu, ia tetap akan dilihat sebagai ‘segalanya berlaku mengikut kebiasaan.’

Di sebaliknya ialah, kamu diberitahu melalui ‘Untuk Kali Ini Buatlah Kerana Allah’ supaya fokus memerhati episod hubungan PAS-DAP apabila mereka masih gagal memerintah walaupun kelihatan mereka seperti sudah terlalu hampir untuk menang. Walhal sebenarnya, meskipun selepas pilihanraya akan datang ini, mereka masih jauh untuk ‘menang secara bersama’ kalau masih bersama sekali pun.
Keputusan yang dinantikan conman selepas itu ialah untuk melihat apa yang akan terjadi kepada PAS dan DAP-PKR.

Ingat lagi terma ini? Expected scene. Jawapan (next scene) yang ditunggu ialah melihat perjuangan Islam kembali bersinar selepas PAS berjaya memperjuangkan kemerdekaan mereka sendiri, membebaskan diri daripada cengkaman dominist DAP, memecahkan kebuntuan yang telah mula membarah dan memutikkan harapan untuk kembali menjadi suara umat Islam paling garang di bumi Malaysia.

Siapa kata kami benci PAS?

Lupakan DAP-PKR yang sedang menikmati saat bahagia mereka menjalani hidup metro serba moden sambil menjunjung segala slogan humanism yang tidak ‘kolot’ dan ketinggalan zaman seperti PAS.

Siapa pula yang kata kami suka UMNO yang mengetuai BN?

Begini permainannya.

Pelaksanaan sistem cukai baru, GST, yang dikuatkuasakan pada tahun ini adalah keputusan yang sudah awal-awal diketahui. Cuma yang tidak diketahui ialah tarikh sebenarnya sebelum ia dianjak kepada 1 April. Lain-lain jawapan, sudah diketahui sejak awal-awal lagi. Inilah kunci permainan ini.
Satu lagi kunci yang diketahui awal-awal ialah pemberian wang tunai kepada rakyat yang dinamakan BR1M. Inilah penyakit yang mewujudkan suasana getir untuk dilalui UMNO pada ketika ini. Ia menyebabkan helaian demi helaian membuka lembar satu per satu tanpa sedikit usaha pun. Itulah keindahan melepaskan semula rentak permainan kepada sistem.

Sejak awal-awal lagi, kita tidak diperjelaskan secara ilmiah oleh parti pemerintah mengenai dari mana datangnya wang sebanyak itu untuk membayar wang secara percuma kepada rakyat tertentu yang mana mereka tidak perlu berusaha keras setitik pun untuk diberikan duit tunai. Ulang, penjelasan secara ilmiah, jangan tanya dua kali penjelasan ilmiah yang macam mana. Penjelasan ilmiah! Bukan penjelasan setaraf menteri-menteri yang mengakui pandai hanya berbekalkan CGPA 3.85.

Apabila wang tunai berada terlalu banyak dalam pasaran (billion), ia menyebabkan berlaku penyusutan terhadap nilai yang dibawa oleh wang kertas itu. Akibatnya, nilai matawang tempatan akan menyusut berbanding nilai mata wang yang disandarkan kepadanya, serta menyusut nilai berbanding logam-logam berharga seperti emas dan perak. Nilai ringgit kemudian jatuh.

Menyedari beberapa juta, atau billion, wang sedekah BR1M yang sedang berlegar di kedai-kedai itu tidak boleh berada terlalu lama dalam pasaran kerana ia boleh menyebabkan kejatuhan nilai matawang, maka sistem cukai baharu mesti dilaksanakan supaya dapat mengutip kembali wang-wang kertas itu daripada terus berada dalam pasaran. Kemudian, sistem cukai itu dilaksanakan untuk menjalankan tugas utamanya; mengutip semula wang sebelum terlambat.

Memang rancangan mereka itu agak cantik untuk segera mengelak kejatuhan ringgit secara lebih awal, namun mereka terlupa dan terlalai kepada kejutan yang boleh berlaku secara tidak disangka-sangka iaitu pergerakan harga komoditi terutama sekali emas hitam…iaitu petroleum.

Kelalaian itu menyebabkan mereka tewas apabila cuba menjadikan wang kertas sebagai instrumen bernilai untuk ‘membeli’ kesetiaan rakyat. Kesannya, harga minyak terpaksa diselaraskan naik, turun sedikit dan naik sedikit hingga mereka kata harga minyak sebenarnya tidak pernah naik pun kerana belum pernah melepasi harga ‘itu’ pada satu ketika dulu. Mereka bermain dengan cara yang amat dungu sekali. Mereka yang mendapat CGPA 3.85 ini gagal kerana lupa terhadap hukum ini; wang kertas akhirnya terpaksa tunduk kepada nilai logam.

Belum sempat mengutip semula wang, nilai matawang sudah terjejas lebih awal sehingga gagal mengambil kesempatan nikmat terhadap kejatuhan harga petroleum dunia. Memang harga petroleum tidak pernah naik, kerana ia menurun melalui  konteks yang lain dan menaik dari konteks yang lain pula.

Apabila nilai matawang ringgit mengalami penyusutan, ia mendatangkan masalah kepada jumlah ringgit yang perlu dikeluarkan untuk melibatkan diri dalam pasaran antarabangsa. Pasaran antarabangsa termasuklah terhadap petroleum dilakukan dengan menggunakan Dollar Amerika. Jadi, sebelum membeli petroleum, ringgit perlu ditukarkan kepada dollar terlebih dahulu.

Disebabkan nilai ringgit mengalami kejatuhan, maka lebih banyak helaian ringgit diperlukan untuk mendapatkan sehelai dollar. Kesannya, negara ini memerlukan lebih banyak ringgit untuk membeli dollar sebelum boleh terlibat dalam aktiviti urusniaga antarabangsa bagi mendapatkan produk berasaskan hasil galian petroleum.

Maka, samalah juga dengan keadaan kamu semua, memerlukan lebih banyak ringgit untuk diserahkan kepada stesen minyak walaupun harga petroleum dunia sebenarnya sedang mengalami penurunan pada ketika itu. Akibatnya juga, peniaga juga mengeluarkan wang untuk diserahkan kepada stesen minyak dan juga pemerintah (membayar GST) dan seterusnya memindahkan kos itu kepada kamu semua, harga barang pun berubah. Jangan bersedih dengan keadaan semasa walaupun sedang berasa tertekan akibat kedunguan pemerintah mengatur strategi. Permainan belum habis di situ walaupun merasakan hidup semakin tertekan.

Semua itu berlaku disebabkan oleh terlalu banyak wang kertas yang berlegar dalam pasaran domestik. Kami tidak kata BR1M sebagai puncanya, kami menjelaskan secara hukum bahawa nilai logam galian (aurum, argentum, petroleum) akan meningkat sekiranya terlalu banyak wang kertas dalam pasaran. Ejen-ejen emas, jangan pula ambil kesempatan mempromosi jongkong-jongkong anda di sini.

Ya. Semua itu sudah dijangka dan kami hanya perlu memerhatikan trend pergerakan nilai logam dunia sebelum melepaskan rentak permainan kepada sistem. Nasib baiknya ialah percaturan itu mengena apabila pergerakan nilai pasaran logam (spot price) bergerak mengikut trend yang dijangkakan. Buy or sell, bull or bear, blue or red, we keep dancing on the candle stick. Malangnya, rakyat yang diajar dengan wang kertas dan pemerintah yang mengutamakan wang kertas terpaksa menanggung kerugian. Dan, siapa pula yang memilih jalan kerugian?

Oh, tunggu. Permainan tidak berakhir di situ. Memilih untuk rugi bukanlah bermakna permainan sudah berakhir di situ. Kami masih terhutang budi kepada kamu yang memilih untuk rugi, kerana kamu yang tadi itu tetap akan menang selepas ini, menang bersama-sama mereka yang tidak memilih untuk rugi. Tanpa kesilapan itu, kamu tidak akan sedar. Tanpa kesilapan mendapatkan kerugian itu akan menyebabkan PAS lebih rugi diperhambakan serta diperbudakkan DAP-PKR. Akibat kesilapan itu jugalah kamu telah menolong kami membebaskan PAS untuk menjadi hebat semula. Akibat kesilapan itu jugalah PAS telah berjaya membersihkan dirinya daripada bangsat-bangsat ‘role players’.

Kalau kamu, siapa lagi, kamu la selaku ‘orang UMNO’ masih mahu terus menyokong UMNO, maka sokonglah. Dan, jika kamu pula ‘orang PAS’ masih setia bersama PAS, maka teruskanlah. PAS sekali lagi sudah menerima pengajaran paling berharga dalam riwayat mereka, UMNO pula untuk sekian kali pula juga telah belajar sesuatu daripada kegelojohan dan keangkuhan mereka.

Ajarilah mereka untuk menjalankan peranan mereka iaitu membantu memudahkan perjalanan hidup anda sebagai umat Islam dan sebagai warganegara. Kalau kamu sebagai ‘orang ISLAM’ masih mahu menegakkan Islam, maka berdamailah. Adakah permainan kita akan berakhir di situ?

Oh tidak, tidak.

Perpisahan PAS dan DAP tidak dirancang pihak luar, tetapi dibiarkan supaya ia benar-benar berlaku. Ingat lagi ayat ini pada perenggan yang atas-atas tadi? Tiada mana-mana pihak pun yang merancang untuk memisahkan PAS daripada DAP termasuklah ahli-ahli pembelot mereka sendiri. Pihak luar juga sedar mereka tidak mampu memisahkan PAS dan DAP kerana ketua-ketua pembelot dalam PAS serta pengikut-pengikut mereka juga tidak sanggup melihat PAS berbuat demikian. Ahli-ahli pembelot itu mahu menguasai PAS dari segenap peringkat jawatan supaya PAS dapat terus kekal berkhidmat kepada DAP bagi menjayakan projek mengusir UMNO dan BN dari Putrajaya. Klise dan membosankan, tetapi itulah permainan mereka.

Namun, UMNO juga sedar bahawa terdapat pergolakan di peringkat akar umbi yang ingin melihat PAS kembali kuat seperti dulu tanpa perlu dibelai manja oleh DAP. Dalam hal ini, UMNO juga menyerahkan urusan seterusnya kepada sistem. Dalam hal lain pula, mereka kekal angkuh ingin meneruskan permainan dengan sistem ciptaan mereka sendiri, akhirnya memakan diri. Sama, adakah kesilapan yang dilakukan UMNO itu berpunca daripada kerelaan mereka untuk menderita kerugian? Tidak. Mengapa tidak? Kerana hukumnya ialah tidak ada sesiapa pun yang mahu rugi. Tetapi, hakikatnya, mereka sedang kerugian. Permainan di luar sistem wajar bermula di sini.

Apakah permainan itu? Mahu bermain bersama?
Marilah kita main bersama wahai watak-watak perkasa.
Siapa watak perkasa?
Kau la.. Siapa lagi? Iya…. Kau la!!
Siapa yang akan menang? Kau la!!
Kau tu siapa? Kau la!! Kau orang Islam la!!


-SHAHi-

6 comments:

  1. Salam,
    He3...
    trimas beb..
    gua layan...

    ReplyDelete
  2. tq.......tulis dn ulasan bernas amat tinggi nilai dalaman

    ReplyDelete
  3. saya cuba.. apakah permainan itu?

    ReplyDelete
  4. SHAHi, terima kasih. Permainan diluar sistem... sudah lama bermula. Sememangnya berkenaan sistem ...wajar bermula di sini.... Islam akan menang dan terus menang.

    ReplyDelete
  5. Mari shahi..kite main permainan ini bersama..1 soklan utk shahi..nape mereka angkuh?adakah mereka akan tau sooner or later mereka akan kalah?

    ReplyDelete

PERHATIAN!!!

Pembaca diminta supaya mengguna bahasa yang sopan dan penuh santun dalam ruang komen. Sila guna bahasa bersopan santun walaupun anda tidak bersetuju dengan mana-mana artikel di sini. Sila jadi orang yang matang dalam menyuarakan sesuatu komen terhadap sesuatu perkara. Komen-komen yang menggunakan bahasa kesat akan dibuang walaupun ia bermaklumat atau sarat dengan isi kritis. Bahasa keras dan bahasa kesat adalah dua perkara yang berbeza. Harap maklum.