3 Aug 2015

Bertenanglah, kamu akan mampu melihat dengan lebih baik.

STALKER, ceritakanlah kepada aku mengenai labah-labah di tingkap bilik yang sunyi ini.


SEEKOR labah-labah membina sarangnya dengan sangat teliti. Ia menjalin helaian demi helaian bebenang halus  mengikut susunan yang sangat teratur bagi setiap darjah jarak kedudukannya. Setiap jarak bebenangnya itu sangat halus bagai mencucuk tembus sebutir biji jagung. Usai disusun, terpampanglah ia sehampir telus. Sudah siap, labah-labah itu hanya membuat ‘bilik tidurnya’ di penjuru sarang, manakala ruang ‘dapurnya’ pula di tengah-tengah.

Pagi esoknya, labah-labah menunggu kalau-kalau ada haiwan kecil menumpang lalu di ruang dapurnya. Selang seminit, seekor kelekatu yang rabun matanya bagai disihir tidak jumpa pintu keluar dari dapur si labah-labah. Dapur itu sehampir telus, mata yang serabun sang kelekatu takkan beroleh membezakan antara yang ada atau yang tiada. Ia hanya mahu mencari cahaya; jika cahaya dari api, terbakarlah kepaknya; jika cahaya dari air, terpisahlah kepaknya, mati lemaslah ia; jika cahaya dari sarang labah-labah, terbelenggulah kepaknya.

Kemudian, lalu pula sang serangga kecil sehalus sebelahan dua dari sebutir biji jagung. Ia melepasi pintu dapur sang labah-labah dengan mudah. Sempat ia mengerling ke arah kelekatu, ia sedar, tubuh sekecilnya tidak akan mampu membebaskan kelekatu.

Gembira menyaksikan dapurnya terhidang makanan lazat, sang labah-labah melangkah tanpa sabar menjulurkan lidah untuk menembus otak sang kelekatu, lalu disedut segala jus yang berada di kepala serangga terbang itu, sebelum disedut pula segala zat yang terkandung di perut dan juga lendiran sang kelekatu. Alangkah enaknya kalau serangga-serangga lain yang sama besar seperti kelekatu menjadi hidangan untuk lusa.

Tiba-tiba, sang kelawar merempuh dapur yang sehampir telus. Rabak sudah bilik tidur sang labah-labah, apatah lagi dapur yang sudah hilang di tengah-tengah. Kalau dengan kelawar pun sudah terkoyak, apatah lagi kalau si helang gagah, atau kelibat si gajah terbang, mungkin bangkai sang kelekatu juga bukan setakat dirempuh, tapi turut dipijak-pijak.

Serangga-serangga yang sekecil biji jagung tidak dapat terlepas daripada helah sang labah-labah. Tetapi, jika kumpulan serangga yang lebih kecil daripada sebelahan daripada sebutir biji jagung, mungkin sehalus biji sawi, ia juga sudah tentu boleh terlepas. Namun, makhluk sehalus itu tidak mampu merobohkan perangkap muslihat sang labah-labah.

Haiwan yang besar, tiada masalah. Jika laluan mereka dihalang, mereka rempuh, mereka tidak akan mendapat susah.
--

Di bersebelahan dinding luar bilik sebuah pertandingan catur, kami hanya memerhati dua wanita berhadapan sesama mereka untuk menjadi juara, STALKER menyambung cerita..

Sebelum jari telunjuk dan ibu jari memegang kepala pawn untuk dialihkan ke petak lain, si pemain buah putih bagaikan sudah tahu buah yang mana akan menyusul selepas ini untuk mengisi giliran si pemain buah hitam. Si pemain buah putih sudah tahu kerana dia sedia tahu bahawa terdapat lebih sejuta cara untuk menamatkan permainan hanya dengan menentukan buah putih di petak mana yang akan memulakan langkahan pertama di atas checkered floor.

Si pemain buah putih tidak bimbang kerana dia tahu, buah knight hanya akan bergerak ke penjuru L, buah bishop hanya mencondong ke kiri atau ke kanan, kerana setiap langkahan sudah ditetapkan tempat hentinya pada ketika pawn ditakdirkan untuk dijadikan taruhan. Itu semua sudah terakam kemas dalam rumus ‘matematik catur’ yang tersemat dalam isi kepalanya.

Sudah tentu amat sukar bagi si pemain buah hitam untuk mencari loopholes dalam percaturannya bagi tidak menyamai salah satu daripada lebih sejuta kemungkinan percaturan yang sedia diketahui si pemain buah putih. Namun, kita bukan mahu melihat dan berfikir bagaimana setiap buah catur itu dimainkan sehingga tamat permainan. Ia hanya akan membuang masa sehingga terleka kerana perbuatan sia-sia itu perlu diulang tengok selama lebih sejuta kali melalui lebih sejuta pertandingan.

Ada perkara lebih berfaedah untuk ditengok daripada permainan catur ini..iaitu hamparannya. Sehelai hamparan yang berselang seli petak putih dan hitam. Hamparan itulah yang seakan-akan mentakdirkan banyak manakah langkahan untuk knight berjalan, untuk pawn bertempiaran. Ya, mengamati hamparan itu pada setiap langkahan sehingga setiap sebutir buah catur diusung keluar adalah sangat lebih berfaedah.
--

Sarang labah-labah dan hamparan catur itu ada persamaan.
Itulah perumpamaan kepada sebuah sistem.


-SHAHi-