11 Feb 2012

Faktor buntu

KEMAMPUAN minda manusia dalam mentaakul dan berfikir boleh diumpamakan seperti bangunan yang bertingkat-tingkat. Malah dalam pembinaan sesetengah bangunan yang tinggi mencakar awan, kadang-kala terdapat tingkat-tingkat rahsia yang tidak dinyatakan pada butang lif.

Untuk sampai ke tingkat rahsia itu, butang-butang lif perlu ditekan mengikut kombinasi nombor yang betul berserta urutannya yang seperti membentuk satu kod rahsia. Kod yang selamat pula kebiasaannya memerlukan sekurang-kurangnya 13 digit semuanya. Setiap nombor pada butang lif perlu ditekan mengikut urutan yang betul. Apabila kombinasi nombor itu ditekan dengan betul, maka seseorang akan sampai ke tingkat rahsia itu.

Minda manusia juga begitu. Untuk menjadikan minda mampu sampai ke tingkat yang seterusnya, proses minda selalunya akan melalui fasa-fasa tertentu yang akan ‘memecahkan’ setiap halangan. Ia umpama mencari ‘kod rahsia’ yang akan membolehkan minda sampai ke tahap yang seterusnya.

Namun kod rahsia itu bukan hanya sekadar dicari, tetapi ia wajar difahami bagi menemukan jawapan terhadap ‘misteri eksklusif’ minda milik setiap seseorang kerana kemampuan minda setiap manusia adalah berbeza-beza.

Untuk sampai ke tahap yang tidak disangka-sangka itu, seseorang perlu mengetahui kemampuan dan had minda masing-masing. Apabila had itu berjaya dilepasi, maka kemampuan mindanya akan berada pada nisbah had yang baharu.

Saya tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk menceritakan perkara ini secara teknikal kepada semua pembaca yang saya sayangi. Saya pernah mengendalikan satu kes seorang pelajar berusia 17 tahun pada kira-kira lima tahun lalu yang datang belajar di rumah saya. Saya bukan cikgu, tetapi ibunya meletakkan keyakinan untuk saya memberi tunjuk ajar kepada anaknya. Pelajar itu bakal menghadapi SPM pada ketika itu. Kes ini saya anggap istimewa.

Pelajar yang dimaksudkan itu mempunyai keupayaan minda yang tidak pernah saya duga. Dalam kes itu, saya meminta dia membaca buku sejarah Malaysia (silibus SPM). Kemudian saya buat soalan untuk menguji ingatannya. Keputusannya, dia memberikan banyak jawapan yang salah.

Saya suruh pula dia membaca buku sains dan membuat soalan untuk dijawab. Keputusannya, juga banyak jawapan yang salah. Ia juga berlaku kepada lain-lain matapelajaran, semua tidak dapat dikuasainya dengan baik.

Saya memberikan tugasan yang berat kepadanya supaya dia dapat mengatasi kelemahan-kelemahan itu. Dalam subjek sejarah, saya susun semua tarikh (tahun-tahun peristiwa) dan dipadankan dengan semua peristiwa yang berlaku di seluruh dunia pada tahun itu. Tugasan ini lebih berat kerana ia tidak hanya tertumpu kepada sejarah Malaysia, tetapi mencakupi sejarah dunia. Saya beri buku-buku sejarah dunia untuk dia baca walaupun ia tidak terkandung dalam silibus SPM.

Walaupun tarikh tidak penting dalam mempelajari sejarah yang melebihi peristiwa, saya sengaja menekankan ingatannya terhadap tarikh supaya dia dapat selarikan dengan semua peristiwa yang berlaku di seluruh dunia pada tarikh atau tahun yang sama. Cubaan saya gagal, dia tetap tidak dapat mengingat.

Kemudian pada esoknya, dengan tidak semena-mena saya terkejut dengan kebolehan sebenarnya yang datang secara tiba-tiba tanpa dia sendiri menduga. Kejutan itu datang selepas dia hanya mengimbas buku (membaca sekali imbas) pada setiap helaian yang dibukanya. Dia kemudian menyebut satu persatu peristiwa yang berlaku pada tahun 1874 di Malaya dan beberapa tempat lain di seluruh dunia. Itu belum membuat saya terkejut sepenuhnya.

Saya membiarkan dia mengimbas semua buku sejarah yang saya ada di rak buku (sejarah Malaysia dan sejarah dunia) yang saya berikan kepadanya. Dia mengimbas dan membaca sedikit-sedikit setiap helaian selama kira-kira sejam. Setiap buku yang saya beri pula kebanyakannya tebal-tebal belaka.

Apabila selesai, saya meminta dia menyebut semua peristiwa pada tahun tertentu. Jawapannya, saya terkejut. Saya uji dia lagi dengan memberi buku-buku fizik, kimia dan biologi. Kemudian saya menguji dengan memberi soalan berupa rumus-rumus saintifik. Jawapannya, saya terkejut sekali lagi.

Jadual kimia juga dapat dilukisnya dengan tepat. Dia juga mampu menerangkan hasil terbitan campuran sesuatu unsur asas dengan unsur yang lain. Malah dapat menerangkan sesuatu perkara dengan fakta sains. Saya mengesan sesuatu pada dirinya.

Saya bertanya, bagaimana dia melakukan semua itu. Dia berkata, (maksudnya lebih kurang begini) dia hanya fokus kepada perkara-perkara yang mencetuskan kepada perkara-perkara yang lain. Apabila sesuatu perkara itu tercetus, ia akan menjadi penyebab kepada penyebab-penyebab yang lain. Dia tidak bercakap dengan ayat seperti itu, tetapi maksud kata-katanya adalah seperti itu.

Ia membuatkan saya keluar ke pagar rumah untuk merokok sebentar kerana tidak mahu dimarahi isteri kerana isteri melarang saya merokok di dalam rumah dan sambil berfikir selama beberapa minit, pelajar itu sebenarnya telah berjaya ‘memecahkan’ had pemikiran dan berada pada tingkat yang satu lagi. Had itu dipecahkan apabila dia belajar memahami ‘faktor penyebab yang menjadi penyebab kepada penyebab-penyebab yang lain’ secara dia tidak sedar.

Dia tidak menghafal buku sepertimana pelajar-pelajar lain. Dia hanya melihat kepada faktor penyebab pada satu titik dan menghubungkannya dengan titik lain yang disebabkan oleh faktor penyebab itu dengan menjadikan fakta sebagai penanda. Dia tidak menghafal, dia sebenarnya telah ‘memecahkan’ had pemikiran untuk sampai ke tahap seterusnya. Susah untuk saya ceritakan.

Minda tidak akan terlepas atau melepasi ke tahap seterusnya selagi ia tidak mampu memahami perkara faktor. Perkara faktor itu pula bukan hanya tertumpu kepada titik pertama yang menghubungkan kepada titik-titik seterusnya sebagaimana yang berjaya dipecahkan oleh budak itu tadi. Budak itu hanya berjaya memecahkan faktor pertama, tetapi bukan faktor akhir dalam tingkat akalnya.

Faktor pertama tidak lebih besar daripada faktor terakhir. Erti kata lain, faktor akhir atau ‘faktor kebuntuan’ adalah faktor yang jauh lebih besar daripada faktor pertama. Apabila faktor kebuntuan itu berjaya dipecahkan, maka minda akan melepasi ke tahap yang lain pula. Dalam setiap tingkat pemikiran pula, akan selalu ada faktor-faktor buntu tersendiri yang berperanan menyekat sebagai had kepada minda di tingkat itu.

Faktor buntu yang dipecahkan di tingkat sebelumnya itu akan berubah menjadi faktor pertama pula di tingkat yang baharu. Maksudnya, faktor buntu akan menjadi faktor pertama apabila seseorang melepasi tingkat yang baru dan ia akan berulang-ulang selagi minda mampu melepasi had-hadnya.

Katakan seorang altlet lompat tinggi tidak berjaya melompat pada ketinggian 1.7 meter. Jadi, atlet itu mengalami kebuntuan pada ketinggian 1.7 meter. Namun apabila dia berjaya melepasi ketinggian itu, maka ketinggian 1.7 meter itu bukan lagi sesuatu yang mencabar kepadanya kerana sudah berjaya melepasinya selepas memahami cara untuk melepasinya. Maka dengan itu juga, ketinggian 1.7 meter itu menjadi sesuatu yang tidak lagi mendatangkan masalah kepadanya.

Bagi membolehkan minda melepasi tahap berikutnya, perkara pertama yang wajar dilakukan ialah mengenal pasti had-had pemikiran sendiri. Apabila mengenali had-had ini, maka insya-Allah tidak akan ada orang yang tiba-tiba menjadi kurang siuman kerana gagal melepasi tingkat seterusnya disebabkan terkeliru dengan kebuntuannya sendiri dalam memikirkan sesuatu perkara yang dipelajarinya.

Had itu pula bukan sekadar perlu diketahui untuk dilepasi, tetapi had itu juga wajar difahami supaya tidak terbelit dengan kebuntuan. Faktor buntu adalah penyebab kepada kesulitan minda untuk menemui jawapan yang membuka kepada persoalan yang lebih besar di tingkat yang seterusnya.

Penyebab kepada faktor buntu itu pula wajar diketahui dan juga difahami. Memahami setiap apa yang difikirkan pula adalah faktor kepada peleraian jawapan-jawapan (solusi) kepada kebuntuan. Jadi, kebuntuan itu adalah seperti seketul batu besar yang menghalang pintu gua. Batu itu harus dipecahkan dan perlu diketahui serta difahami baik-baik mengenai mengapa batu besar lagi keras itu perlu dipecahkan. Lagi, perlu difahami mengenai bagaimana cara yang betul untuk memecahkan batu besar itu.

Seseorang tidak akan mampu membaca isi hati seorang yang lain sekiranya dia tidak memecahkan halangan yang membolehkan dia ‘masuk’ ke dalam minda orang lain. Dia juga harus mengetahui cara yang betul untuk memecahkan halangan itu kerana setiap halangan itu berbeza.

Seorang pahlawan juga tidak akan mampu meramal pergerakan yang akan dilakukan musuh sekiranya dia tidak memahami apa yang difikirkan musuh. Maka, ada halangan di situ. Halangan itu perlu dipecahkan dengan memahami pemikiran musuh.

Minda mempunyai had-hadnya tersendiri. Untuk melepasi had-had itu, adalah perlu untuk seseorang mengenali had itu terlebih dahulu. Apabila memikirkan kejadian alam, kita juga wajar tahu had-had pemikiran kita. Ada had yang mampu dilepasi dan ada juga had yang tidak akan mampu dilepasi selama-lamanya.

Andai had itu tidak mampu dilepasi buat selama-lamanya, maka berhentilah di had itu sahaja kerana langkah berhenti itu adalah yang terbaik buat kita. Memahami faktor penyebab adalah kunci kepada membantu minda melepasi had-hadnya.

Kita manusia selaku hamba Allah, kita mempunyai had yang terbatas. Apa pula had kita? Dalam memikirkan had, jangan pula kita melampaui batas.


-PROPOLIS-

Nota ADMIN: Propolis ialah salah seorang penulis jemputan Umat Terakhir.

5 comments:

  1. Assalamualaikum Warahmatullah

    Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah.

    Remaja tersebut telah berjaya memecahkan kebuntuannya dengan cara yang unik dan dalam sekelip mata 'pap'... terus jadi mesin pengimbas. Kelihatan ada faktor logik yang kuat disitu untuk memecahkan kebuntuan.

    Bagaimanakan keadaan remaja tersebut sekarang? saya harap dia menjadi seorang yang dapat memberikan manfaat kepada remaja-remaja yang lain. Alangkah bagusnya jika beliau dapat berkongsikan pengalamannya supaya anak bangsa kita boleh maju mertabat agama dan bangsanya.

    ReplyDelete
  2. saya setuju....maka sebab itulah kita kena kembali kepada Al Quran kerana di situ ada banyak kod-kod rahsia yang perlu dipecahkan....

    ReplyDelete
  3. Wahai Tuan yang bernama Pengikut Nabi Muhammad.

    Saya setuju dengan kata-kata kamu bahawa Al-Quran itu mempunyai banyak rahsia dan perlu ada satu kunci yang akan membukanya.

    Dan kunci itu pada pendapat saya terletak pada Sunnah dan Hadis Nabi.

    Menurut pendapat ahlulbait pula, kunci itu terletak pada ahlul bait yang akan dapat memecahkan masalah umatnya pada setiap zaman ia berada. dan mereka menyakininya berdasarkan hadis yang menyebut Al-Quran dan Ahlulbaitku tidak akan berpisah sehingga bertemuku di Al-Haudh.

    Saya harap kita boleh berbincang melalui emel. ini emel saya. renman271@gmail.com

    ReplyDelete
  4. Salam semua.

    Sebenarnya, kita tidak ada penjelasan yang kukuh mengenai perkara itu. Namun, memahami sesuatu perkara yang berlaku akan membantu kita menyelongkar lebih banyak penjelasan mengenai keupayaan minda yang sebenar.

    Insya-Allah, dengan izin Allah, kita akan pastikan remaja itu menjadi pemimpin yang adil dan bijaksana. Yakinlah bahawa segala ilmu itu milik Allah, apabila Allah berkehendakkan seseorang itu menjadi bijak dalam sekelip mata, ia tidak sukar bagi Allah melakukannya.

    Hanya manusia yang harus berusaha mengubah nasibnya sendiri.

    Allah lebih mengetahui.

    _WAQQAS

    ReplyDelete
  5. salam semua,,

    adakah merokok dapat mengurangkan keupayaan minda?,, kerana saya seorang perokok. tapi saya amat obses dengan mind power ni,,
    lepas membace artikel "Tenaga: Seperti direntap" saya menganggap karbon dalam rokok mampu memberi mesej kepada saya. mungkin pernyataan saya ini amat lucu dan tidak masuk akal. saya membuat pernyataan ini bagi mengurangkan kembimbangan saya terhadap bahaya rokok seperti yang diuar-uarkan oleh media massa. walaupun merokok tapi sering melakukan aktiviti fizikal kerana saya adalah armed force (navy). dan aktiviti saya tidak terjejas walaupun saya seorang perokok.

    dan adakah dapat kita merakam sesuatu peristiwa atau energi sesuatu tempat dengan hanye merokok di kawasan itu kerana kita membakar karbon dan oksigen di tempat itu??,,

    sekian. salam,

    >strong world<

    ReplyDelete

PERHATIAN!!!

Pembaca diminta supaya mengguna bahasa yang sopan dan penuh santun dalam ruang komen. Sila guna bahasa bersopan santun walaupun anda tidak bersetuju dengan mana-mana artikel di sini. Sila jadi orang yang matang dalam menyuarakan sesuatu komen terhadap sesuatu perkara. Komen-komen yang menggunakan bahasa kesat akan dibuang walaupun ia bermaklumat atau sarat dengan isi kritis. Bahasa keras dan bahasa kesat adalah dua perkara yang berbeza. Harap maklum.