11 Nov 2011

TWIST: REDUNDANT


APABILA diletakkan dua bahan berbeza iaitu racun yg dilabel ‘poison’ dan makanan yang dilabel ‘nasi’, maka sudah pasti semua orang akan memilih makanan daripada dua pilihan itu. Racun akan ditolak kerana memang sudah sedia maklum bahawa racun itu sangat berbahaya dan boleh mengakibatkan maut jika memasuki tubuh.

Nasi pula akan dipilih kerana faedahnya sangat besar kepada tubuh. Nasi juga dipilih kerana sudah jelas antara dua perkara tersebut iaitu nasi adalah lebih baik daripada racun. Racun ditolak kerana sudah jelas ia bahaya. Mudah sebab kedua-duanya itu jelas. Cukup mudah untuk buat pilihan sekiranya sudah terang lagi nyata mengenai sesuatu perkara itu.

Bahaya itu ditolak dengan cara tidak memilih racun. Faedah pula diambil dengan cara memilih nasi. Namun, adalah sangat berbahaya apabila kedua-dua itu bercampur baur dalam satu campuran. Nasi bercampur dengan racun, cukup bahaya.

Sekarang, kita beri pula tiga pilihan sebagai tambahan kepada dua jenis pilihan yang awal tadi. Sebentar tadi kita ada sebotol racun dengan sepinggan nasi, sekarang kita tambah sepinggan lagi nasi yang sudah dicampur racun. Jadi, sekarang ini kita ada sebotol racun, sepinggan nasi yang selamat dimakan dan sepinggan lagi nasi yang beracun.

Kamu semua pusing sila ke belakang sebentar dan jangan sesekali melihat pingan-pingan itu. Kita akan tambah satu lagi pinggan nasi, kali ini kita tambah sepinggan nasi yang sudah agak basi dan kurang selamat untuk dimakan. Sekarang pusing semula dan lihat ke arah ketiga-tiga pinggan itu. Nasi yang agak basi itu walaupun sudah kurang selamat untuk dimakan, ia bagaimanapun kelihatan seperti masih elok untuk dijamah.

Di atas meja sekarang ada tiga objek iaitu sebotol racun, sepinggan nasi beracun dan dua pinggan nasi. Jangan bimbang, kita tidak menyuruh anda semua makan nasi yang beracun atau basi. Kita hanya mahu anda semua makan nasi yang selamat untuk dimakan, yang halal lagi selamat dan suci. Racun itu tidak perlu, maka kita buang racun itu jauh-jauh.

Sebelum makan, anda semua harus tempuhi cabaran ini. Jika mampu fokus, anda dan kamu semua akan dapat makan nasi yang selamat untuk dimakan. Tetapi sekiranya lalai dan tidak fokus, anda mungkin akan termakan nasi basi atau nasi beracun. Kalau termakan nasi basi, anda masih boleh hidup tetapi sedikit mudarat. Dan sekiranya termakan nasi beracun, ia boleh membawa maut andai lambat mendapatkan penawar.

Mari kita mulakan cabaran ini. Cabaran ini adalah cabaran yang berbentuk permainan. Kenapa pula kena main satu permainan wahai Admin? Hidup ini bukankah sebuah hiburan kepada mereka yang lalai, permainan itu bukankah juga sebuah hiburan. Anda akan lalai sekiranya menganggap ia sebagai permainan, tetapi akan kekal fokus andai menganggapnya sebagai tujuan berhidup.

Ingat, tersalah langkah maut padahnya. Permainan yang mudah ini pun bermula, ia seperti bermain teka kedudukan sekeping syiling di bawah tiga cawan. Dalam permainan ini, tiga pinggan nasi itu disusun sebaris.

Kemudian ia akan digerakkan secara perlahan-lahan dan kemudian semakin laju. Apabila gerakan itu dihentikan dan kedudukan pinggan kembali dalam satu baris, kamu perlu memilih pinggan mana yang berisi nasi yang selamat untuk dimakan. Tersalah pinggan akan menyebabkan maut dan mudarat.

Sekarang saya perkenalkan nasi-nasi itu kepada kamu semua. Di sebelah kanan saya ialah nasi yang basi, di sebelah kiri pula ialah nasi beracun, manakala di tengah pula nasi yang selamat dimakan. Jangan pula tuduh saya tidak pernah menunjukkan nasi mana yang selamat dimakan kepada kamu semua sekiranya kamu termakan nasi beracun nanti.

Saya sudah tunjuk nasi mana yang selamat, mana yang basi dan mana yang ada racun. Kita isi dengan racun arsenik, kalau keracunan sedikit pun boleh bawa maut dan tiada harapan untuk terus hidup, sungguh ajaib kalau tidak mati-mati walaupun selepas diracun dengan arsenik. Sekarang saya gerakkan pinggan-pinggan itu semua, pusing-pusing-pusing-alih-alih-alih, semakin laju, laju, alih-alih-alih-pusing-pusing, semakin laju dan sangat laju, alih-alih-pusing-pusing-pusing.

Sudah lebih sejam, masih belum berhenti pinggan-pinggan itu digerakkan. Mata anda sudah letih? Saya tak peduli kalau mata kamu sudah letih kerana saya masih seronok spin-spin dan twist-twist pinggan itu. Masih lagi dialih-alih dan dipusing-pusing kedudukannya menggantikan kedudukan masing-masing. Terus dipusing-pusing, spin-spin-spin-spin, twist-twist-twist-twist, alih-alih-alih, pusing-pusing, dan……… berhenti.

Permainan hidup dan mati ini belum berakhir. Ingat lagi pinggan mana yang diisi nasi selamat? Sekarang pilih nasi kamu. Tersalah nasi, maut padahnya. Kalau sedikit bernasib baik, cuma akan termakan nasi basi. Sekarang PILIH.
----------

Kunci utama untuk kekal hidup dalam permainan ini ialah FOKUS. Tumpuan sepenuh perhatian haruslah difokuskan terhadap nasi yang selamat dimakan sebaik sahaja nasi yang selamat itu ditunjukkan kepada anda.

Jangan pandang nasi basi apabila ia ditunjukkan kepada anda. Begitu juga dengan nasi beracun apabila ia ditunjukkan kepada anda sebelum permainan dimulakan. Jangan pandang perkara yang tidak perlu. Hanya terus fokus kepada nasi yang selamat dimakan. Lupakan yang lain, lupakan nasi mana yang basi dan nasi mana yang beracun. Hanya fokus kepada nasi yang selamat.

Begitu juga apabila pinggan-pinggan itu mula digerakkan, mata harus tegar memerhati pinggan yang selamat. Jangan sesekali memandang pinggan-pinggan lain yang tercemar kerana ia tidak perlu. Walau selaju dan sepantas mana sekalipun pinggan-pinggan itu dialih, di-spin, di-twist atau dipusing, mata anda haruslah rapat mengekori pinggan yang selamat. FOKUS.

Kegagalan untuk fokus akan membawa kesan yang sangat buruk kepada diri. Sudah belajar sesuatu daripada permainan ini? Fokus adalah suatu perkara yang penting dalam membantu kita melihat sesuatu perkara atau isu dengan cermat, waras dan bijak. Kalau sudah dapat belajar sesuatu, kita teruskan kepada pelajaran lain.
-------

Terdapat beberapa elemen pelajaran dalam permainan tadi. Pertama, kewarasan kita dalam menilai mana satu perkara bahaya dan mana satu perkara selamat. Tanpa perlu diajar, semua orang yang sudah akhil baligh dan mumaiyyiz sedia tahu racun itu bahaya dan perlu dibuang jauh-jauh.

Kedua, perkara yang baik (nasi yang selamat) sudah ditunjukkan kepada kamu semua. Perkara yang bahaya juga sudah ditunjukkan. Ketiga, perkara yang selamat itu akan bertukar menjadi tidak selamat apabila ia bercampur dengan perkara yang tidak selamat.

Keempat, akan sentiasa ada perkara yang kurang selamat (nasi basi) sekiranya wujud perkara selamat dan tidak selamat. Kelima, semua perkara itu (selamat, kurang selamat dan tidak selamat) akan mula kelihatan mengelirukan apabila ia dibalik-balikkan.

Keenam, hanya dengan fokus akan menjadikan kita kekal dapat melihat dan kemudiannya memilih perkara yang mampu menyelamatkan kita. Ketujuh, gagal fokus akan memusnahkan diri sekiranya lambat mencari penawar bagi racun itu tadi sekiranya termakan nasi beracun.

Kelapan, kesilapan membuat pilihan juga akan memusnahkan diri sendiri. Kesembilan, sikap alpa juga mengundang lebih banyak kesilapan. Kesepuluh, jangan pernah letih dalam melihat kebenaran (walaupun sudah lama keliru selama sejam dalam permainan itu) meskipun semua perkara ditunggang terbalik dengan pantas.

Andai gagal, kita akan menjadi mangsa yang dimangsakan sebanyak berkali-kali tanpa belas kasihan oleh orang yang berlumba-lumba mahu mempergunakan kita untuk kepentingan mereka sendiri. Jadi, apa kaitannya dengan situasi kita sekarang?
--------

TWISTED REDUNDANT INFORMATIONS
Maklumat yang diterbalikkan secara bertindih-tindih

Penawar untuk terselamat daripada menjadi mangsa Twisted Redundant Informations (TRI) juga ialah FOKUS. Kita di Umat Terakhir tidak berminat untuk mengupas perkara ini dalam sudut politik meskipun ia ada kaitan dengan putar belit maklumat secara bertindih-tindih. Tambahan pula, kita di sini bukanlah sebuah blog politik undian.

Namun, apabila ia bersangkut paut dengan memutar belit perihal agama sehingga memecah belahkan umat Islam, maka ia harus dikupas dari sudut itu supaya umat tidak lagi dikelirukan antara pertalian signifikan tanggungjawab menjunjung agama dengan tanggungjawab mendukung negara.

Menjunjung agama dan mendukung negara sememangnya berjalan seiring supaya umat Islam yang menghuni sesebuah negara itu terbela secara sepatutnya. Untuk memahami fokus sebenar, kita harus balik kepada al-Quran dan mematuhi segala perintah Allah yang terkandung di dalamnya.

Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan supaya umat Islam bersatu sebagai satu kesatuan ummah yang gagah. Perintah itu adalah satu perintah yang diulang dalam banyak ayat, dan ulangan-ulangan ayat perintah sedemikian mengisyaratkan bahawa perintah itu adalah satu perintah yang dituntut oleh Allah. Tiada alasan untuk umat Islam tidak bersatu kerana perintah itu sudah terang lagi nyata.

Perintah. Faham maksud perintah? Apa itu perintah? Adakah kita sedang turut perintah atau ingkar perintah? Perintah siapa yang kita ikut sebenarnya sekarang ini? Perintah Allah atau perintah pemimpin politik yang kita ikut?

Malangnya, mengapa mesti ada pemimpin politik yang meracun pemikiran supaya seorang Muslim membenci saudara Muslim sama akidah yang lain? Allah memerintahkan supaya kita menyayangi saudara sama akidah, Nabi Muhammad juga berpesan supaya kita menyayangi saudara sesama Islam, TETAPI MENGAPA MESTI ADA PEMIMPIN POLITIK YANG MEMERINTAHKAN SEORANG MUSLIM MEMBENCI SAUDARA MUSLIM YANG LAIN? Lebih malang, perintah sang politikus itu dipatuhi pula oleh pengikut taksub yang dungu dan tidak kenal perintah Allah? Akibatnya, umat Islam berpecah belah kerana gagal patuh perintah Allah.

Tidak perlu sebut lain-lain perintah, kita fokus kepada perintah ini dahulu. Perintah yang sebelum ini iaitu perintah supaya tidak menyekutukan Allah dalam apa keadaan sekalipun termasuk membenarkan Allah disekutukan meskipun dengan perkataan ‘lantaklah’.. itu juga salah satu daripada antara perintah yang tidak dipatuhi dengan serius. Fikirkan, berkata ‘uh’ tanda ingkar juga sudah dihukum menderhaka kepada ibu bapa dan dijanjikan balasan neraka, ini apakan pula berkata ‘lantaklah’ atau ‘biarlah’ terhadap Allah yang disekutukan.

Itu dari sudut sebuah parti politik yang berkompang mengenai Islam tetapi tidak patuh perintah Allah supaya bersatu. Mungkin selepas ini akan ada puak-puak daripada kalangan pendukung parti itu akan menyembur pula blog ini dengan kata-kata kurang manis sambil memperlihatkan akhlak yang buruk. Jika mahu sembur, silakan. Tapi, jangan sembur sambil twist ke arah sudut lain, kita fokus kepada perintah Allah supaya umat Islam bersatu. Jangan pula sembur ke langit, takut jadi mangsa graviti.

Fokus kita ialah kepada perintah itu iaitu bersatu dan menyayangi saudara sesama Muslim. Itulah nasi yang selamat dimakan dalam konteks ini. Nasi yang selamat itu dirujuk kepada perintah Allah supaya bersatu dalam konteks ini. Nasi basi dan nasi beracun, tidak perlu kita pandang.

Ada satu lagi puak, juga ingkar perintah Allah. Tidak patuh kepada perintah supaya memilih jalan yang benar apabila jalan itu sudah ditunjukkan. Perintah supaya jangan berlebih-lebih dan melampaui batas serta mengikut jalan yang benar, perintah itu juga disodok dengan selamba oleh puak ini. Kesannya, akhlak umat tunggang langgang, budaya hiburan bercambah, anak orang Islam semakin buta terhadap agama, masih memilih yang haram meskipun yang halal sudah ada depan mata.

Puak ini pun sama, tidak perlu juga disebut lain-lain perintah yang turut dilanggar dengan selamba.
Akibat daripada perbuatan ingkar perintah Allah, maka akan runtuhlah sesuatu tamadun. Itu sudah terang lagi nyata. Kota Sadum dan Amura (Sodom & Gomorrah) runtuh kerana ingkar, Jerusalem runtuh dan dibakar kerana ingkar, semua dihukum kerana ingkar.

Adakah kita dihukum kerana tidak bersatu? Adakah kita dihukum kerana telah menjadi lalai terhadap keduniaan? Ya, kita sedang dihukum dan hukuman itu belum berakhir sehinggalah kita kehilangan segala-galanya termasuk kehilangan Islam. Apabila hukuman itu berakhir, Allah berhak merampas segala-galanya daripada kita termasuk berhak merampas Islam dan iman daripada hati kita semua.

Saya takut dengan hukuman itu. Takut Allah merampas nikmat Islam daripada saya, takut Allah merampas nikmat iman dari dalam diri saya, takut Allah merampas nikmat Islam dan iman daripada kita semua. Saya mengaku saya takut, takut kepada Allah, atas dasar itu saya bercakap begini. Jika kamu semua tidak takut sebagaimana takutnya saya kepada balasan Allah, saya tidak mampu berbuat apa-apa selain hanya mampu menyeru kamu semua kembali mentaati perintah Allah. Taatilah perintah itu. Kembalilah taat.

Kita sedang dihukum di saat kita sedang berpecah belah, bertelagah sehingga sulit untuk bertaut bersatu hanya kerana ‘akidah politik’. Perintah Allah diketepikan menjadi lebih rendah daripada ‘akidah politik’. Akidah politik diangkat tinggi, lebih tinggi daripada perintah Allah.

Seperti yang diberitahu sebelum ini, kita tidak bercakap mengenai politik dan tidak berminat untuk bercakap mengenai politik. Tetapi apabila ia melibatkan maruah agama dan perintah Allah, maka saya sebagai orang Islam perlu bercakap sesuatu mengenai segala perintah-Nya. Perintah-perintah yang diibaratkan seperti nasi yang selamat dimakan dalam konteks pemahaman ini.
-------

Perkembangan semasa dalam situasi negara memperlihatkan banyak pertindihan maklumat. Maklumat yang bertindih menimbulkan kekeliruan, itu memang benar dari sudut bidang penyaringan maklumat. Namun, ia bukan satu masalah besar kerana maklumat itu masih boleh disaring dengan mudah (bagi kumpulan profesional yang bijak bekerja menyaring maklumat) melalui teknik-teknik membezakan keterangan (keterangan yang berketerangan dan bukti berketerangan) seperti dalam disiplin profesional komunikasi massa yang praktikal.

Menjadi kekusutan (belum sampai peringkat buntu) ialah apabila maklumat itu diputar belit setiap kali berlaku pertindihan bagi setiap maklumat baru. Setiap keterangan daripada individu atau setiap maklumat yang sampai kepada umum akan diputar belit sehingga mengelirukan orang ramai untuk memahami isu sebenar. Apabila kekusutan itu cuba dileraikan dengan mengeluarkan keterangan baru sebagai penerangan untuk mencerahkan kekusutan yang awal itu tadi, maka keterangan baru itu juga akan diputar belit sekali lagi.

Proses itu akan berterusan pada setiap kali keterangan berketerangan yang baru cuba disampaikan kepada orang awam.

Ia seperti mengikat ikatan simpul mati terhadap setiap urat mee yang dimasukkan seurat demi seurat ke dalam pinggan. Apabila semakin banyak mee dimasukkan dan disimpul mati dalam pinggan, setiap urat mee itu pula akan diikat simpul mati sesama mee itu tadi. Jika 100 urat mee dimasukkan ke dalam pinggan, setiap urat mee itu diikat simpul mati dan semua 100 urat mee yang telah diikat simpul mati itu pula akan diikat sekaligus.

Apabila mee itu mahu dirungkaikan, maka akan ada mee yang terputus-putus (rujuk keterangan yang terputus-putus) semasa cuba dirungkaikan. Apabila ada yang terputus-putus (berjaya diputuskan oleh pihak lain dengan menggunakan tangan musuh sendiri untuk memutuskannya), maka wujudlah kekeliruan kompleks.

Mangsa dalam keadaan ini yang mati tercekik akibat tertelan mee yang tersimpul berketul-ketul ialah orang awam seperti anda semua, bukan saya. Bukan juga orang politik, tetapi anda semua yang taksub bangga menjadi mangsa politikus.

Ingat, untuk selamat dalam keadaan ini ialah FOKUS. Fokus terhadap isu sebenar, bukan fokus terhadap ikatan simpul mati yang mengkaburkan sesuatu isu. Paling utama, FOKUS TERHADAP PERINTAH ALLAH. Itulah jalan paling selamat.

Saya tidak mahu cakap lebih. Fikir dan taatlah.


Ingat... PERINTAH.
Ingat… FOKUS.
Ingat… JANGAN TERMAKAN MAKANAN BERACUN.
Ingat… JANGAN TERMAKAN MAKANAN BASI.
Saya takut kepada Allah. Tidakkah kamu semua juga takut seperti saya?


-ADMIN-

8 comments:

  1. kiasan yang baik terhadap apa yang berlaku. apa yang anda pilih itulah yang akan anda dapat.

    ReplyDelete
  2. pilih lah dan tetaplah ke jalan allah.. percayalah, setiap langkah itu akan membuat syaitan meroyan

    ReplyDelete
  3. salam,

    Inilah bentuk fitnah akhir zaman. Fitnah bertindih-tindih sehingga manusia tidak mampu lagi menilai mana yang benar mana yang salah. Awan gelap di malam hari menjadikan mata tidak lagi berfungsi. Keupayaan memberi fokus akan dapat membantu. Benar seperti pandangan penulis.

    ReplyDelete
  4. persoalannya... kalau kita saja yang hendak bersatu, yang lain x.. mcm mn? :( risau saya teng0k makin hari makin teruk keadaan di malaysia ney.. apa tanggungjawab saya? adakah duduk diam n berdoa sahaja?

    ReplyDelete
  5. Salam semua.

    Saya rasa anda semua pun faham apa maksud nasi basi, nasi selamat dan nasi beracun itu.

    aliffmy, Anon 19:46 & AMYassin.. terima kasih. tapi, saya pilih untuk jawab komen Anon 15:40 ^_^

    --------------

    Anon 15:40,

    Seperti yang saya katakan dalam artikel, tinggalkan nasi yang bercampur racun itu dan juga tinggalkan nasi yang basi itu.

    Kita bersatu sesama kita terlebih dahulu. Kita tunjukkan kekuatan penyatuan kita itu kepada mereka yang tidak mahu bersatu dengan kita.

    Kita tunjukkan kepada mereka bahawa penyatuan kita ini lebih teguh dan lebih bermakna kepada agama berbanding penyatuan mereka yang lebih suka membenci saudara-saudara yang sama akidah dengan mereka.

    Tunjukkan nasi yang betul kepada mereka. Saya sudah beritahu maksud nasi yang selamat itu.


    STALKER

    ReplyDelete
  6. demi sesuap nasi berlauk mewah, org politik sanggup pilih racun

    ReplyDelete
  7. harap semua bersatulah sebelum nasi yang elok itu bertukar jadi bubur.. kalau jadi bubur habislah senang kena hirup, kalau pun ade ikan bilis ia mudah dikunyah bergitu saja

    hentikanlah politik kebencian sebelum kita menjadi hina dibumi bertuah apatah lagi hina disisi Maha ESA

    tq

    ReplyDelete
  8. Dalam Tuan Tanah
    tak silap ini posting anda 2nd Edition
    http://scripters.ning.com/forum/topics/bumi-sebelum-nabi-adam-as

    sekadar berkongsi.. ceritera makhluk sebelum Nabi Adam a.s.

    http://scripters.ning.com/forum/topics/kisah-awal-penciptaan-alam-semesta-berserta-segala-isinya

    kitab Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Iyas lebih mantap untuk difahami dan benar telah wujudnya makhluk lain sebelum Nabi Adam a.s.

    ReplyDelete

PERHATIAN!!!

Pembaca diminta supaya mengguna bahasa yang sopan dan penuh santun dalam ruang komen. Sila guna bahasa bersopan santun walaupun anda tidak bersetuju dengan mana-mana artikel di sini. Sila jadi orang yang matang dalam menyuarakan sesuatu komen terhadap sesuatu perkara. Komen-komen yang menggunakan bahasa kesat akan dibuang walaupun ia bermaklumat atau sarat dengan isi kritis. Bahasa keras dan bahasa kesat adalah dua perkara yang berbeza. Harap maklum.