17 Jul 2011

The Psy-War Post: Monopoli propaganda





MENUTUP kecenderungan orang ramai untuk menilai kepelbagaian maklumat terhadap sesuatu isu atau sesuatu perkembangan daripada pelbagai sumber menjadikan pemikiran orang ramai hanya menerima maklumat daripada satu sumber sahaja secara sempit sehingga pemikiran menjadi lemah dalam membuat penilaian serta pertimbangan secara waras.


Dalam perkara ini, orang ramai akan menjadi alpa (tidak sensitif) terhadap perkembangan sebenar yang mewakili realiti (sintetik). Sebaliknya akan mempercayai bulat-bulat terhadap sumber propaganda yang disuruh mereka rujuk itu. Ia dilakukan secara meluas ketika Perang Dunia Kedua.

Semasa pendudukan Jepun di Malaya ketika Perang Dunia Kedua, orang ramai dilarang sama sekali untuk membaca sebarang bahan bacaan yang dibawa masuk daripada benua Eropah terutama dari Britain dan Amerika. Jika ada, hanya dari Jerman dan negara-negara sekutu Jepun sahaja yang dibenarkan.

Selain bahan bacaan, Jepun juga melarang penduduk Malaya daripada memasang radio sama ada yang menerima gelombang frekuensi tempatan ataupun antarabangsa. Ketika itu, Jepun hanya membenarkan penduduk Malaya mengambil sumber maklumat dari negara-negara anggota Axis sahaja. Hanya sumber maklumat dari pihak mereka sahaja yang boleh memonopoli pemikiran orang di negara yang mereka duduki. Itu adalah contoh paling hampir untuk menggambarkan keadaan yang dimaksudkan.

Dalam senario politik pula, orang ramai khususnya pengikut ditegah daripada merujuk sumber-sumber maklumat yang lain, dan hanya dibenarkan merujuk sumber rasmi mereka sahaja (bagi sesebuah parti politik). Walaupun sumber yang lain itu tampil dengan segala bentuk kewarasan dalam penyampaian maklumat supaya orang ramai dapat berfikir dengan waras, namun orang ramai ditegah daripada merujuknya dan dikatakan sumber yang selain daripada sumber mereka hanya diselimuti dusta semata-mata. Sebaliknya, orang ramai yang khususnya pengikut itu hanya disuruh merujuk sumber rasmi yang mendukung fahaman mereka sahaja.

Ia adalah Mind Game paling kejam dalam usaha menguasai pemikiran orang ramai supaya terikat dengan segala propaganda yang ingin disampaikan melalui sumber rasmi mereka itu. Kejam kerana orang ramai dipaksa menerima sumber-sumber yang menyebelahi mereka semata-mata. Kejam dalam mood yang lembut.
--

Apabila minda dihalang daripada merujuk sumber pelbagai

Untuk mendapatkan kefahaman mengenai sesebuah isu, kita wajar meneliti semua jenis maklumat yang sampai kepada kita. Maklumat-maklumat yang sampai itu pula harus dikaji dengan pelbagai kaedah yang sewajarnya. Ia tidak harus diterima bulat-bulat sebagai fakta, dan tidak pula wajar ditolak secara membuta tanpa sebarang inisiatif untuk menilai mengenainya. Maklumat yang neutral ialah maklumat yang mengajak kita berfikir dan pemberi maklumat itu pula menyerahkan kepada kita untuk berfikir mengenai maklumat yang ingin disampaikannya.

Manakala maklumat yang berat sebelah pula ialah maklumat yang bersifat mempengaruhi supaya kita berfikir mengikut kemahuan pemberi maklumat itu tanpa memberi peluang kepada kita untuk menilai segala maklumat yang disampaikan itu.

Maklumat neutral adalah maklumat yang memberi kebebasan kepada kita untuk membuat keputusan, manakala maklumat berat sebelah adalah maklumat yang hanya mahu mempengaruhi kita dan tidak lebih daripada itu. Fahami perbezaan tujuan maklumat itu disampaikan dan anda akan mudah mengikuti artikel ini.

“Jangan tengok berita kat TV tu, semua tu tipu. Jangan baca semua surat khabar tu, semua tu pun tipu juga. Hanya baca surat khabar (tabloid politik) yang sokong kita sahaja, yang lain-lain tu jangan baca. ” – CONTOH ARAHAN.

“Ketua kita tak bagi tengok berita TV tu, aku pun tak tengok la. Surat khabar tu pun aku tak baca sebab ketua tak bagi kita baca. Aku baca surat khabar yang boleh (dibenarkan) baca sahaja.” – CONTOH KEPATUHAN TERHADAP ARAHAN TADI.

Apabila berlaku seperti keadaan di atas, maka segala kecenderungan untuk seseorang itu menerima maklumat yang pelbagai akan ditutup rapat. Kesannya, seseorang itu tadi akan menerima segala input propaganda yang datang daripada satu arah sahaja (dari pihak yang disokongnya). Manakala apabila maklumat lain sampai kepadanya dari arah berlainan, maka ia akan menganggap maklumat itu sebagai tidak boleh dipercayai. Itu hanya prinsip asas dalam perkara ini sebelum kita mendalaminya.

Maklumat yang berbeza sangat diperlukan supaya kita dapat melihat kepada titik-titik yang membezakan maklumat itu. Maklumat sebenar tidak datang hanya dari sumber bertulis atau visual kerana ia hanya sebagai sumber sekunder. Maklumat yang tepat adalah maklumat yang datang dari sumber asal maklumat itu tadi.


Maklumat yang tidak melalui fasa distortion, iaitu maklumat lisan pertama daripada individu yang menyediakan maklumat asal, bukan sumber lisan kedua atau seterusnya, melainkan sumber lisan pertama. Daripada sumber lisan pertama itu, maka lahirlah sumber bertulis dan visual.


Penerima yang mendapat maklumat daripada sumber asal itu pula adalah pihak kedua yang menulis atau memvisualkan maklumat itu menjadi maklumat sekunder. Penerima maklumat yang menerima maklumat daripada individu lisan itu juga menjadi pemberi maklumat kepada kita. Penyedia maklumat adalah primer, penerima maklumat daripada primer pula (penyampai) menyediakan sumber tahap sekunder kepada kita, manakala kita pula menjadi pihak tertier dan seterusnya. Maka, itu pula proses penyampaian maklumat.

Oleh itu, penerima maklumat (sekunder) yang menerima maklumat primer bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tujuan maklumat itu disampaikan kepada kita (tertier). Pihak sekunder itu pula mempunyai tujuan sendiri. Ia terpecah kepada dua kelompok pihak sekunder iaitu kelompok sekunder yang mahu mempengaruhi kumpulannya dan kelompok sekunder yang mahu mengajak semua kumpulan berfikir.
--

Kelompok-kelompok sekunder

Kelompok sekunder yang mahu mempengaruhi kumpulan audiens adalah kelompok yang bekerja untuk tuan-tuan politik mereka. Kelompok ini bekerja untuk memastikan audiens (orang awam) menyebelahi tuan-tuan politik mereka. Kelompok ini wujud dalam semua parti politik yang wujud di dunia ini. Kelompok ini adalah organisasi media / korporat media.

Tiada istilah kebebasan media dalam kelompok ini kerana mereka sendiri yang tidak mahu diri mereka menjadi bebas. Tidak bebas kerana kelompok ini sememangnya bekerja untuk tuan-tuan politik mereka semata-mata.

Katakan ada dua sumber media. Satu sumber itu tegar menyebelahi parti politik A dan satu lagi pula tegar menyebelahi parti politik B, maka kedua-dua mereka itu adalah kelompok sekunder yang mahu mempengaruhi kumpulan-kumpulan yang mereka pilih. Mereka-mereka ini sebenarnya gigih berlumba-lumba di atas balapan politik kerana mahu mempengaruhi kita.

Kedua-dua sumber itu juga bekerja untuk tuan politik mereka dan tidak bebas. Mereka mahu audiens menjadi tegar terhadap kumpulan politik masing-masing. Maka, kedua-dua kumpulan ini bertindak kejam dalam konteks tugas mempengaruhi minda orang ramai.

Akan lebih kejam apabila audiens berubah menjadi taksub terhadap satu sumber sahaja dengan menolak sumber-sumber lain. Apabila keadaan itu tercetus, maka propaganda berjalan lancar tanpa perlu melakukan tugas yang sukar untuk mempengaruhi kerana audiens memilih sendiri sumber-sumber yang mereka mahu percaya secara absolute selektif. Lebih kejam atau tidak, ia bergantung kepada tahap kedunguan audiens sendiri.

Tuan-tuan politik menjadikan sumber media sebagai alat propaganda yang paling berkesan. Alat-alat propaganda (media) ini pula akan saling bersaing dengan media lawannya untuk meraih pengaruh kumpulan-kumpulan audiens di luar sana.

Maka, tidak wujud situasi kebebasan organisasi media dalam konteks ini kerana masing-masing bekerja untuk tuan politik masing-masing. Apabila timbul suara-suara yang kononnya memperjuangkan kebebasan media (seperti pernah dicanang sebuah pakatan parti-parti politik suatu ketika dahulu), maka ia adalah sesuatu yang tidak langsung mewakili realiti.

Realitinya, anda ditipu dalam perihal memperjuangkan kebebasan media. Tiada satu pun organisasi media di dunia yang tidak menyebelahi mana-mana tuan politik. Setiap organisasi media mempunyai kepentingan terhadap parti politik masing-masing. Itu realiti yang ditelan walaupun terasa seperti menelan air yang berduri.
Maka, tidak wujud juga terma satu pihak media itu benar dan telus sepenuhnya melebihi pihak yang satu lagi.

Ia kerana maklumat yang disampaikan akan tetap condong ke arah sesebuah parti politik yang mereka perjuangkan. Pihak tertier (orang awam) yang menerima maklumat yang disampaikan media-media itu pula adalah mangsa. Kamu semua adalah mangsa.

Namun, wujud satu kelompok lagi iaitu kelompok sekunder yang mahu mengajak semua kumpulan berfikir secara waras dengan mengajak orang ramai mempertimbangkan semua jenis maklumat (dari semua arah) yang sampai kepada mereka (audiens) secara bijak.

Kelompok ini adalah individu-individu yang wujud dalam organisasi media. Kelompok ini bukan organisasi media yang bekerja untuk tuan politik masing-masing, tetapi hanya lemah berdiri sebagai individu-individu yang bekerja di bawah organisasi-organisasi media itu.

Kewujudan kelompok ini dalam organisasi media adalah disebabkan prinsip mereka yang faham terhadap fungsi media yang sebenar dalam memurnikan pemikiran audiens terhadap kewajaran membuat keputusan yang waras. Kelompok ini mahu audiens waras berfikir tanpa kongkongan mana-mana parti politik.

Untuk melihat kewujudan kelompok kedua ini, kita wajar melihat kepada semua terbitan berita dalam sesebuah produk media (berita akhbar atau TV atau juga portal berita internet). Jika sesebuah akhbar, stesen TV atau portal berita internet itu hanya 100 peratus melaporkan kebaikan pihak politik yang diperjuangkannya dan mencemuh mengutuk mengkritik pihak lain, maka kelompok kedua itu tidak wujud dalam organisasi itu.

Andai wujud sekalipun, suara individu dalam kelompok kedua seperti itu sudah dibisukan dalam organisasi itu atau sudah lama disingkirkan secara bersistem. Ia kerana keseluruhan lapisan ‘chain of command’ dari peringkat atas hingga bawah dalam organisasi itu dikawal sepenuhnya oleh kelompok pertama iaitu kelompok sekunder yang mahu mempengaruhi kumpulan. Penguasaan kelompok pertama itu dalam sesebuah organisasi media akan menyebabkan usaha kelompok kedua tidak akan pernah kesampaian.

Namun, andai ada laporan akhbar atau berita TV yang mengajak semua orang berfikir terhadap percanggahan kenyataan atau fakta, maka individu dalam kelompok kedua (kelompok sekunder yang mahu mengajak semua kumpulan berfikir) sememangnya wujud dalam organisasi media itu. Laporan seperti itu sengaja dibuat dan sengaja diterbitkan supaya orang ramai boleh berfikir berdasarkan fakta benar dan fakta salah.

Kelompok ini adalah individu-individu yang sensitif terhadap semua jenis maklumat yang sampai kepada orang awam dan mengkaji semua maklumat tersebut. Laporan dibuat supaya orang ramai juga berfikir bersama mereka dan menilai mana satu yang betul dan mana satu yang salah. Ia juga bermakna, dalam ‘chain of command’ organisasi itu masih terdapat individu-individu yang tidak menyebelahi mana-mana pihak dan mereka lebih gemar mengajak audiens berfikir. Mereka mahu audiens berfikir bersama mereka terhadap perkara-perkara persoalan yang mereka nampak.

They want you to see as what they see, but they never want you to think as what they think, they just want to show you the way you should think, but the wise or worse decisions are always yours.
Itulah isi hati kelompok kedua.


Pun begitu, andai laporan seperti itu dikeluarkan, maka organisasi yang 100 peratus dikuasai kelompok pertama itu akan segera mematahkan cubaan kelompok kedua dalam organisasi yang satu lagi. Maka, timbul keadaan di mana propaganda baru dikeluarkan segera untuk mengalih perhatian orang ramai daripada berfikir.


Dalam keadaan ini, red herring mungkin digunapakai, mungkin blame game juga akan digunakan bagi mengembalikan kesalahan itu kepada pihak lawan. Menjadi mangsa dalam keadaan ini ialah audiens-audiens yang gagal berfikir dan terikat dalam kekeliruan sederhana kompleks.
--

Bagaimana untuk tidak mahu menjadi mangsa?

Mudah. Tidak susah. Audiens perlu bijak menerima setiap maklumat yang sampai kepada mereka. Maklumat yang sampai itu pula harus dipadankan dengan maklumat lain yang boleh menerangkan keadaan sebenar. Maklumat lain itu boleh jadi maklumat luar yang boleh terdiri daripada set-set perkembangan dari luar negara yang menjelaskan kenapa sesuatu perkara itu berlaku di negara mereka dan keadaan itu mungkin sekali sama atau hampir sama dengan perkara yang sedang berlaku di negara ini. Ia membuka ruang kepada kita untuk berfikir bahawa realiti kita hidup di dunia yang mempunyai banyak negara, kita bukan hidup di sebuah planet terpencil yang bernama Malaysia dan dihuni oleh kita sahaja.

Setiap isu atau persoalan yang muncul dalam persekitaran, ia wajar dilihat dari aspek yang sewajarnya. Jika ia berkisar mengenai keselamatan alam sekitar, maka ia wajar difahami dari sudut biologi dan fizik, bukan difahami mengikut pandangan seseorang tidak berlandaskan fakta biologi atau fizik. Jika ia berkisar masalah ekonomi, maka ia wajar dilihat dari kaca mata ekonomi, bukan dari sudut pandangan politik yang sempit.


Pangkalnya, audiens perlu bijak. Bijak berfikir dan membuat pertimbangan berdasarkan maklumat-maklumat yang boleh membantu audiens berfikir. Jangan pula disuruh angguk, kita angguk. Disuruh geleng, kita geleng. Disuruh guling, kita guling. Disuruh mati, kita mati. Kita didatangi sekian banyak maklumat mengenai pelbagai perkara pada setiap hari.

Tidak wajar sesuatu maklumat itu ditolak mentah-mentah dan menerima bulat-bulat maklumat yang satu lagi. Jika menerima sesuatu maklumat, ia harus difikirkan dan bukan dibuang begitu sahaja. Maklumat yang sampai itu harus dipertimbangkan dengan tingkat kewarasan yang sepatutnya. Jika yang disampaikan itu dikatakan sebagai bukti, maka fikirkanlah mengenai perkara itu. Lihat dari semua arah dan pertimbangkan dari semua arah.

Jika maklumat itu memandu ke arah mengajak kita berfikir, maka berfikirlah. Jika maklumat itu hanya menyebelahi sebelah pihak, maka jadikan ia sebagai penanda aras pertama. Jika maklumat itu bertentangan dengan yang satu lagi, maka jadikan ia sebagai penanda aras yang kedua. Jika telah sampai maklumat yang mengajak kita berfikir mengenai kedua-duanya, maka berfikirlah sebaik-baiknya. Tiada ruginya kalau kita berfikir.

Begitu juga dengan kita di sini, andai artikel ini difikirkan berguna, maka fikirkanlah mengenainya. Andai mahu membuang artikel ini dari tingkat pemikiran anda, maka terpulanglah kepada anda.


Anda sedang menelan semua propaganda sehingga menjadi darah daging. Pernahkah kamu terfikir?




[Nota ADMIN: Blog Umat Terakhir tiada akaun Facebook, Twitter atau sebagainya. Harap maklum.]

- CLOVER -

3 comments:

  1. as salam

    terima kasih Clover!!

    hanya baru2 ini sahaja, saya faham hikmah sebenar suruhan Solat Sunat Istikharah. ia dilakukan bukanlah semata2 utk menentukan jodoh sahaja bila kita terpaksa membuat pilihan.
    pernah seorang lelaki merasa hairan bgmn rakannya yg dikira berpendapatan sederhana nampak hidup tenang dan bahagia. rupa2nya rahsianya ialah rakannya itu selalu memohon petunjuk dari Allah, hatta nak beli mesin basuh model yg mana pun, rakan tersebut bersolat Istikharah terlebih dahulu. hebatkan!
    apatah lagi pd perkara2 besar yg melibatkan kedaulatan dan keselamatan negara - akhir zaman terlalu byk fitnah & persimpangan fikiran, maka kita sememangnya wajib mengadu dan meminta petunjuk dari Allah SWT.

    ReplyDelete
  2. jodoh bertemu dengan blog tuan...itulah yang sedang saya usahakan dan menyedarinya...bebaskan diri dari belengu dunia, tipu daya dunia...cantumkan puzzle2 yang bersepah...dapatkan maklumat dari pelbagai sumber berkaitan...dan gunakan tahap dan tingkatan pemikiran sendiri untuk menilai maklumat yang diperolehi dari pelbagai sumber berdasarkan keadaan dan situasi semasa dalam skala kecil atau/dan besar...terima kasih untuk empunya blog ini...lahirnya saya bersama2 anda, berjuang bersama2 anda dan rakan2 blog anda yang lain...untuk mencari dan menilai apakah sebenarnya yang berlaku pada dunia kita hari ini...
    -z

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum

    Akhirnya dpt saya bertemu kembali dgn blog tuan.Syukur pd Allah. Teruskan usaha kalian, semoga dirahmati Allah.

    Saudara Wangsa, terima kasih atas 'tip' dan pesanan :)

    punk5

    ReplyDelete

PERHATIAN!!!

Pembaca diminta supaya mengguna bahasa yang sopan dan penuh santun dalam ruang komen. Sila guna bahasa bersopan santun walaupun anda tidak bersetuju dengan mana-mana artikel di sini. Sila jadi orang yang matang dalam menyuarakan sesuatu komen terhadap sesuatu perkara. Komen-komen yang menggunakan bahasa kesat akan dibuang walaupun ia bermaklumat atau sarat dengan isi kritis. Bahasa keras dan bahasa kesat adalah dua perkara yang berbeza. Harap maklum.