23 Sep 2011

The Bull and The Bear



PERCAYA atau tidak, pemikiran sebilangan besar daripada kita hanya tertumpu kepada duit dan wang. Demi duit, ramai orang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan sekeping dua kertas berwarna yang mewakili nilai-nilai tertentu untuk membeli barang.

Setiap hari selepas bangun daripada tidur, akal dan jiwa sudah mula berfikir mengenai duit. Sang ibu memikirkan duit belanja untuk membeli barang dapur. Sang suami pula memikirkan duit untuk membayar hutang rumah dan kereta, beli susu anak, lampin, nafkah keluarga dan bermacam lagi.

Hidup ini bagi mereka, sangat-sangat memerlukan duit. Tanpa duit, hidup akan tunggang terbalik.
Demi duit, orang sanggup berjuang. Berjuang dengan cara cari duitlah, apa lagi? Apabila hidup makin tertekan kerana tiada cukup wang untuk terus hidup, maka hidup pun jadi bermasalah. Itu semua sebab asyik fokus memikirkan duit, duit dan duit.

Orang berfikir macam mana mahu isi minyak kereta yang dikatakan mahal, macam mana mahu beli ayam yang makin mahal sejak harga siling bagi ayam dimansuhkan sedangkan duit hanya tinggal 50 ringgit dalam dompet, macam mana mahu sekolahkan anak sebab tidak punya duit sepenuh tempayan, macam mana mahu beli gula dan tepung dan juga beras sebab tidak ada duit. Setiap hari, ramai orang memikirkan duit.

Disebabkan mahu memenuhkan kantung masing-masing untuk selesaikan masalah duit, maka ia jadi peluang kepada sebilangan orang yang lain pula untuk mempergunakan orang yang tidak berduit.

Orang yang tidak berduit diibaratkan seperti orang yang sedang lapar. Dan, orang yang telah lama lapar pula mudah panas baran kerana fikirannya hanya fokus kepada niat mahu makan. Begitu juga dengan orang yang tidak ada duit, fikiran mereka hanya fokus kepada mahukan duit.

Apabila datang janji daripada seseorang yang kononnya boleh menyelesaikan masalah poket mereka, maka orang-orang yang tiada duit dan juga orang-orang yang tamak duit akan mudah bersorak meraikan janji-janji itu. Dijanjikan elaun tanpa perlu bekerja, dijanjikan gaji yang minimum dalam kelas ‘boleh tahan’ , dijanjikan wang mudah atau easy money dan bermacam lagi janji yang menjanjikan duit dan kesenangan yang digambarkan sebagai ‘lebih senang’ daripada sekarang.

Mahu hidup senang, itu juga berkaitan duit. Semua arah tuju hidup telah dan sedang berputar berpaksikan duit. Apabila harga produk petroleum naik, ada yang bising kerana tidak ada duit untuk menanggung kos petrol dan diesel, tetapi ada juga yang tidak kisah. Samalah juga dengan apabila harga barang mula naik, ada yang bising dan ada yang tidak kisah. Yang bising itu ialah yang tidak ‘jenuh’ dengan duit, manakala yang tidak kisah pula ialah yang hidup mereka sudah ‘jenuh’ dengan duit.

Pemikiran yang terlalu fokus kepada soal duit adalah satu kelemahan. Pemikiran akan mudah terpesona apabila datang janji yang menjanjikan masalah duit itu akan selesai kalau melakukan beberapa syarat (sokongan politik adalah yang paling popular, easy money yang kedua popular dan pelan perniagaan pula yang ketiga popular).

Apabila bercakap soal rasuah, ia juga berkaitan duit. Duit, banyak sungguh masalah yang timbul disebabkan duit. Hidup boleh jadi huru hara kalau tiada duit (bagi sesetengah orang), malah negara juga boleh jadi huru hara kalau semua orang hanya mahu hidup senang berenang-renang dalam kolam yang penuh dengan duit.

Ramai yang hanya memikirkan kantung duit sendiri, dapat duit senyaplah mulut, dapat duit lancarlah projek, dapat duit mewahlah hidup. Beri duit, banyaklah orang suka, banyaklah orang sokong, banyaklah orang puji. Apabila berjanji mahu bagi duit kepada orang pain pula, ramailah yang balas dengan harapan. Bukan hidup berputar dalam paksi duit, tapi hidup sudah diputarkan oleh duit dan janji diberikan duit sehingga hilang paksi (kewarasan) yang sepatutnya.

Jadi, apa masalah kita? Adakah masalah hidup kita dicetuskan oleh duit semata-mata? Atau, memang fikiran kita ini yang asyik fokus memikirkan duit sahaja?

Teringat kisah lima tahun lalu di Bangsar ketika saya (STALKER) bersama SHAHi, DRIFTER dan CLOVER minum kopi bersama di sebuah kedai mamak sebelum DRIFTER ambil keputusan berhenti kerja (pendapatan bulanan DRIFTER sudah mencecah lebih RM10 ribu ketika itu) kerana dia mahu merantau keliling dunia. Dia masih bujang dan muda, tiada masalah baginya untuk merantau selama mana yang dia suka. SHAHi pula berhijrah ke United Kingdom pada tahun lepas selepas ditawarkan kerja dalam bidang yang sama dengan kami bertiga di sana.

DRIFTER (perantau) beritahu kepada kami bertiga mengenai niatnya. Dia mahu merantau dengan hanya membawa duit yang cukup-cukup sahaja. Apabila sampai di negara yang dia mahu, dia akan hidup dengan cara bekerja sementara biarpun gaji kecil termasuk mencuci pinggan di restoran di negara asing, dia tidak kisah asalkan ada sedikit wang untuk makan, itu sudah mencukupi. Dia memilih untuk hidup susah, dia nekad wang bukan segala-galanya.

Apabila sudah cukup wang, dia akan terbang dengan pesawat atau naik tongkang ke negara lain pula sehingga dia ‘menemui diri’ yang sebenar dan menemui jawapan-jawapan yang dia cari. Kini, dia masih merantau dan kami namakan dia dengan nama pena DRIFTER. Katanya, dia hanya mahu bergerak seperti dirinya itu adalah kompas. Walaupun tidak berbekalkan peta semasa merantau, tetapi dia tahu ke mana dia pergi. Ketika masih bekerja di Malaysia pula, dia memang tidak pernah sesat jalan semasa mencari lokasi tugasan sejak mula bekerja pada hari pertama. Dia tahu ke mana dia pergi.

Kini, hidup DRIFTER hanya merantau dan semasa tempoh merantau itu selama lebih empat tahun lalu itu, ada sekali dia pulang ke Malaysia. Baginya, ia tidak wajar ditakrif sebagai ‘pulang’ kerana Malaysia adalah laluannya dalam tempoh merantaunya itu. Ketika berada selama lapan bulan di Malaysia, dia bekerja sebagai pengutip tin minuman terbuang, mencuci pinggan mangkuk di Jalan Bonus sedangkan dalam akaun banknya di Malaysia memang ada banyak wang, dia kemudian berangkat ke Brunei.

Saya pula diamanahkan supaya mengirim wang belanja kepada ibu bapanya di kampung, disebabkan tidak punya cukup masa untuk menguruskan kiriman wang seperti diamanahkan, saya membuat autodebit dari akaun DRIFTER ke akaun ibu bapanya di kampung.

Dia kata: “I just following the route, the route just drop me here (Malaysia) for a while and I am not really at home yet, mak bapak aku selalu restu keputusan aku ini sebab mak bapak aku kenal niat aku.” Katanya dalam slanga yang sudah bercampur baur dengan banyak dialek bahasa bangsa-bangsa dunia.

Sepanjang lapan bulan singgah di Malaysia, saya berpeluang bertanya mengenai pengalamannya dan niat sebenarnya untuk merantau. Kata DRIFTER, dia sudah tidak pentingkan duit. Kerana baginya, pemikiran dan iman manusia akan rosak kalau terlalu mementingkan duit. Katanya lagi, nafsu akan mudah melenting kalau harga barang naik.

Selama empat setengah tahun dia merantau, dia bersyukur dengan sedikit rezeki. Pernah dia berjalan sejauh beratus kilometer selama berhari-hari merentas bukit bukau sehingga kurus kering kerana tiada wang untuk membayar tiket bas, bermalam di kaki lima, pengalaman disamun oleh penyamun yang sangat mahukan wang, katanya wang sangat menyusahkan kalau kita terlalu fokus mengenainya.

Kini, dia sudah tidak kisah kalau tidak ada wang kerana rezeki itu bukan urusannya, tetapi rezeki itu urusan Allah. Dia tidak akan melenting kalau harga makanan di Jepun terlalu mahal hanya kerana semata-mata tiada wang untuk membeli makanan. Baginya, kalau ada sikit duit, ada lah. Kalau tiada wang, hiduplah seperti biasa dan jangan memikirkan soal wang.

Itu pengalaman DRIFTER yang bersangkut paut dengan masalah wang seperti dalam artikel ini. Namun, bukan jawapan kepada masalah wang yang DRIFTER cari. Dia mencari seseorang yang juga sedang merantau sepertinya, yang bergerak bebas sepertinya, mencari seseorang yang tidak terkongkong oleh masalah keduniaan, untuk belajar daripada orang itu yang hanya dikenalinya melalui ‘tenaga’ sejak sekian lama tanpa mengetahui namanya. Orang yang dicarinya itu pula seperti mahu mengujinya sehingga menjadi sukar untuk dikejar keliling dunia. Namun, DRIFTER seronok dalam kejar mengejar itu kerana dia sudah tidak kisah dengan masalah-masalah keduniaan.
--

Seluruh hidup sebilangan besar daripada kita hanya fokus kepada duit. Matlamat hidup hanya ditumpukan kepada duit. Lihatlah keadaan sekeliling, pemikiran sebilangan orang boleh dipengaruhi dengan hanya dijanjikan duit dan kesenangan hidup. Pemikiran sebilangan daripada kita mudah terpesona apabila dihidangkan duit.

Ada sebilangan pula, melenting apabila tidak dapat projek berjuta-juta dan melenting apabila bisnes kerugian yang dikatakan berpunca daripada salah orang lain. Sedangkan pemikiran tidak ditumpukan kepada ‘rezeki itu urusan Allah’. Tidak dapat projek itu bukan salah orang lain, tetapi kerana ia rezeki milik orang lain yang lebih berhak melebihi kita.

Kita rugi bisnes pula bukan disebabkan salah orang lain, tetapi terimalah semua itu sebagai ujian dan pengajaran daripada Allah supaya menunaikan segala hak-Nya seperti jangan menipu dalam pentadbiran akaun untuk mengelak daripada membayar zakat, cukai dan tanggungjawab sosial kepada agama dan negara.

Tetapi apabila asyik memikirkan wang untuk menggemukkan akaun bank sehingga iman menderita kebuluran, itu sudah tidak seimbang wahai tuan-tuan. Seluruh hidup kita jangan terlalu difokuskan kepada wang, tetapi fokus kepada yang sepatutnya. Bersyukur dengan segala yang ada, jangan tamak memikirkan wang.

Bak kata ramai orang: kalau memikirkan duit, sampai kiamat pun duit tak akan pernah cukup.
Terlalu memikirkan wang, samalah seperti mengikut kata nafsu sehingga akal mabuk lesu memikirkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Dan, jangan mudah terpesona apabila dijanjikan wang mudah.

Islam tidak menghalang pemilikan harta dan berjual beli itu sememangnya dihalalkan. Tetapi, harta dan kekayaan bukan tujuan utama hidup kita. Pak cik dan mak cik di kampung yang mudah terpedaya dengan janji skim itu dan skim ini juga akhirnya berputih mata kerana terlalu mahu mengikut nafsu untuk mendapat banyak wang yang lebih banyak. Semua kerana wang, tetapi wang bukan segalanya.

Kita tidak meninggalkan jawapan di sini, hanya santai-santai sekejap di hujung minggu ini supaya berfikir mengenai fokus hidup kita.

Kita hanya mahu meninggalkan kata kunci kepada para individu ESP yang sudah 'dijemput' iaitu berusahalah untuk HIDUP BEBAS DARIPADA MASALAH KEDUNIAAN DENGAN JALAN HALAL. Berfikirlah mengenainya. Kegagalan berfikir mengenainya akan menjerumuskan kita menjadi hamba duit dan nafsu yang tidak pernah cukup dan tidak pernah puas.

Hiduplah dengan bebas di atas landasan lurus, jalan Allah. Belajarlah daripada kisah Nabi Muhammad berpuasa sunat bersama Aisyah kerana tiada makanan untuk dijamah. Itulah antara kunci untuk bebas ke tahap berikutnya.


The Bull and The Bear, MASALAH?



- ADMIN -

11 comments:

  1. Nasihat yang amat baik. Inilah penyakit besar dizaman ini.Dalam kata lain, duit sudah menjadi tuhan kpd sesetengah orang.mengejar duit adalah manifestasi kepada cinta dunia.Orang yg cinta duit@dunia didlm hatinya tidak ada cinta Allah dan Rasul.samada menjadi hamba duit atau hamba Allah.Namun bagi hamba Allah, duit datang serah diri menjadi hamba kepadanya,sedangkan hamba duit tidak akan pernah merasai memilikinya,perburuan yg tiada noktah.Hamba Allah akan fokus, lalu disingkap rahsia 'tenaga' kepadanya.Ada org mendapat 'tenaga' tapi tidak berhubung dengannya.Sedangkan dia adalah makhluk Allah yg sangat hebat dan mulia dan 'tenaga' itu mempunyai nama.

    ReplyDelete
  2. Bebas dari menjadi hamba kepada Bank dan segala sistem yang diciptakan oleh yahudi. Hidup adalah persinggahan bukan kesenangan yang dicarikan, Kesenangan yang mutlak hanya di syurga, Segala kemewahan dan teknologi banyak merosakkan Manusia dan Alam semesta, Ramai yang tidak sedar hakikat kehidupan yang sebenar sehinggakan kewujudan diri sendiri di alam semesta tidak diketahui. Seolah - olah robot yang diciptakan oleh segelintir yg merasakan mereka lah yg berkuasa di bumi.

    ReplyDelete
  3. Wow cantik punya post... Boleh dijadikan iktibar pada mereka yg masih mengabdikan diri pd wang. Betoi tu... urusan rezeki itu hak Allah. Kita usaha n berserahlah lepas tu. Jalankan hidup kita seperti biasa... tahu arah tujuan hidup dan teruskan perjalanan hingga bertemu titik noktahnya. Mudahan titik itu bukan titik hitam tp nur yg menerangi hidup di sana nanti....

    ReplyDelete
  4. Salam STALKER, SHAHi, DRIFTER, CLOVER & pembaca semua.

    Penulisan yang amat baik untuk mereka yang ingin 'memerdekakan' roh daripada cengkaman jasad yang semakin membusuk ni.

    Berbahagialah mereka yang sudah dimerdekakan & dibawa berjalan menurut kehendakNya.

    Mereka ni telah lama 'mati' semasa 'hidup'nya. Roh-roh mereka inilah yang hidup segar membugar, bebas merdeka, aman sentosa. Tenang. A total surrender. An ultimate devotion.

    Tiada apa yang mampu menghalangnya daripada kebebasan ni.

    Hidupnya seperti sebatang kayu yang karam di dalam lautan yang luas tidak bertepi, dalam tak terperi. Hanya menurut perintah laut. Digerakkan ke sana, ke sanalah jadinya. Digerakkan ke sini, ke sinilah jadinya. Kemana sahaja ia digerakkan, itulah yang terbaik baginya. Bersangka baiklah sentiasa.

    Ingin bebaskan diri anda daripada cengkaman 'si-mata-satu-mata-duitan'? Tonton & belajarlah dari movie 'Into The Wild'. Movie ini bukanlah jawapan kepada segala persoalan, tetapi...

    Apakata anda tengok dulu?


    Renung-renungkan...
    Selamat beramal...
    :-)

    ReplyDelete
  5. Salam semua dan terima kasih,

    Saya tiada apa-apa untuk berkata di sini, cuma meminta saudara-saudara yang sama agama dengan kami di sini menetapkan fokus dalam hidup dan wang bukan segala-galanya dalam hidup.

    Dibelenggu masalah wang akan menyebabkan pemikiran kita tidak akan mampu bebas ke tingkat pemahaman dan lapisan kewarasan yang sepatutnya.

    Saya juga manusia biasa dan ada masalah sendiri, namun kita harus sedar kepada SIAPA kita harus berserah supaya diberi petunjuk oleh Allah dalam menyelesaikan masalah itu semua.

    Demi wang, manusia mudah terpengaruh oleh manusia lain yang kononnya boleh selesaikan isu poket mereka dengan pelbagai janji. Namun manusia kerap lupa, Allah menyebut 'demi masa' dan bukan 'demi harta'.

    think about it.

    Hidup kita banyak disia-siakan ketika mana kita sibuk membazir masa menyelesaikan masalah wang.

    Apabila melepasi tahap ini dengan tidak cenderung terhadap 100 peratus kenikmatan keduniaan, anda semua akan faham dan merasai dengan sendiri terhadap maksud saya ini.

    Namun, saya tidak pernah menyuruh sesiapa pun mengikut cara DRIFTER. ^_^

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum Warahamtullah

    Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah

    Duit bukanlah punca masalah, tetapi kehendak manusia itulah yang menjadi masalah.

    Seorang yang terlalu menginginkan sesuatu walaupun tiada duit akan sanggup mendapatkannya walau dengan apa cara sekali pun.

    Masalah kita adalah masalah kehendak dan nafsu.
    Dan ekonomi kita hari ini bergerak atas dasar "MEMENUHI KEHENDAK DAN NAFSU MANUSIA"

    Dan ini lah yang barat sudah lama ketahui seperti yang dicadangkan oleh Adam Smith - Bapa ekonomi moden Barat pada tahun 1776.

    ReplyDelete
  7. seronok membaca perihal DRIFTER. kadang2 teringin hidup macam tu juga. tapi buat masa ni jiwa masih blum merdeka dari mengejar kekayaan dunia. ada masa bebas, tapi banyaknya dirantai. harap ada kekuatan yang lebih pada masa akan datang. usia masih muda, dunia masih banyak yang perlu diteroka :)

    ReplyDelete
  8. adakah drifter seorang genius yg sama mcm hero filem into da wild?? XDD
    yg pasti kena hati2 dan selalu baca bismillahitawakkaltuAlallah


    -DSAI my Idol n i luv him-

    ReplyDelete
  9. Salamum'alaika

    Anonymous Feb 22, 2012 09:00 PM,

    I beg your pardon... who is your idol? Do you know what idol is?

    Adakah kamu pasti kata-kata kamu seperti "DSAI my Idol n i luv him" itu halal di sisi Allah?

    Apakah ucapan kamu "bismillahitawakkaltuAlallah" itu masih lagi memberi apa-apa makna apabila kamu berkata seperti "DSAI my Idol n i luv him". Siapa DSAI di hati kamu dan siapa Allah di hati kamu?

    Walaupun aku dilahirkan di zaman ini, aku tetap selalu ingin bersama-sama Rasulullah ketika baginda memusnahkan semua berhala di sekeliling Kaabah.

    I ask you again, who is your idol?

    ReplyDelete
  10. Salam sejahtera buat bro Drifter...
    BismillahiTawakaltuA'lallah la hawlawalaQuata illabillahilA'liyilAzim...

    Alhamdulillah sekiranya setiap pekerjaan kita dapat iktikadkan dalam hati dengan kalimah tersebut…memberi makna atau tak?pada saya ya..kalimah tersebut memberi makna apabila kita niat bertawakal ketika melakukan sesuatu perkara…kita berserah diri keatas Allah…apa2 jua pun yang berlaku kita redha…dan InsyaALlah secara automatic akan melahirkan satu perasaan IKHLAS dalam diri.

    DSAI dihati saya hanyalah manusia normal...TDM manusia normal...TGNA manusia normal...yang diberi ujian berbeza mengikut tingkat keimanan dan ketakwaan terhadap Maha Pencipta. Junjungan besar kita Nabi Muhammad sendiri adalah manusia biasa yang diberi Allah keistimewaan, saya yakin saudara Drifter lebih arif dari saya mengenai sejarah perkembangan dan peradaban Islam.

    kata2 “DSAI my Idol n i luv him” tu hanya kata2 sindiran(sarcasm) buat pengikut tegar yang masih mengagungkan DSAI lebih dari saudara seIslam kita...maaf disebabkan tabiat saya membuatkan saudara Drifter salah faham..hakikatnya saya hanyalah golongan Y yang dahagakan ilmu yg sebenar…sebab ilmu dalam buku teks kebanyakan diubah…sejarah,biologi,kimia,dynamic,thermodynamic,fluid mechanic,heat transfer…tak semua..tapi ada diantara teori yg ada disebahagian buku2 tersebut dipesongkan SEDIKIT…kita mungkin skor A dalam sejarah contohnya..tapi input yang dimasukkan dalam otak lain dari tercatat dalam AL-Quran,contohnya zaman prasejarah dan teori Darwin…tp nak dapat kerja elok...xbetoi pon hadam jela...jnji dapt result baguih XDD jd belajar hanya utk dapatkan kerja elok?bukan mencari kebenaran?dimana kebenaran ilmu yang kita belajar?universiti tempat melatih pekerja hebat yang patuh?Tanya la mana2 syarikat pun mesti depa akan elakkan dari ambik pekerja yg bnyk argue,banyak kerenah,rebellious dan mempersoalkan itu ini..

    matlamat kebanyakan universiti adalah memastikan sebanyak mungkin graduannya mendapat pekerjaan...jd boleh nilai sendiri sistem yg diamalkan universiti utk memastikan graduannya dapat kerja :) cerdik pandai semakin ramai...tp orang yg rosak nilai2 moral pun semakin ramai...dimana silapnya? kerja la ni tak semestinya bergantung kat kelulusan akademik ja (test+exam belum tentu 100% jujur,xseludup toyol)..hatta dean list pun perlukan CABLE yg kuat gak utk terus survive dpt kerja yg elok…jd dimana keberkatan hidup yg kita inginkan..saya tertanya2 sendiri adakah kehidupan seperti ini yang aku inginkan???pastinya bukan kehidupan yang hanya utk menjadi robot yang patuh kepada arahan majikan :) Alhamdulillah pendedahan dari blog Ibnu Yaakob,ATBM,abatasa,Nasunaga dan blog UmatTerakhir sendiri banyak membuka minda saya mengenai kehidupan.sygnya beberapa blog dah ditutup.. every week im waiting ur new article :)

    My Idol? takdak..

    ~MFR Piduih~

    ReplyDelete
  11. Salam..

    Berkata jelas kan lebih elok.. : )

    ReplyDelete

PERHATIAN!!!

Pembaca diminta supaya mengguna bahasa yang sopan dan penuh santun dalam ruang komen. Sila guna bahasa bersopan santun walaupun anda tidak bersetuju dengan mana-mana artikel di sini. Sila jadi orang yang matang dalam menyuarakan sesuatu komen terhadap sesuatu perkara. Komen-komen yang menggunakan bahasa kesat akan dibuang walaupun ia bermaklumat atau sarat dengan isi kritis. Bahasa keras dan bahasa kesat adalah dua perkara yang berbeza. Harap maklum.