31 Jul 2011

Ketika mata melihat

APABILA kamu memejamkan mata, apa yang kamu nampak? Adakah kamu hanya nampak semua menjadi gelap gelita atau nampak seperti ada cahaya lembut dengan warna tertentu yang berlegar di sekitar zon penglihatan yang dipejam itu?

Kalau hanya sekadar tidak nampak apa-apa semasa mata dipejam, ia perkara normal kerana mata memang tidak akan dapat melihat apa-apa benda apabila cahaya tidak menembus retina kerana kelopak mata ditutup rapat.

Namun, sekiranya ada kelihatan seperti awan nipis dengan warna tertentu yang berlegar di sekitar radius penglihatan yang digelapkan itu (disebabkan kelopak mata ditutup rapat), kamu sewajarnya mengambil tahu mengenai sebab warna yang lembut itu wujud ketika mata kamu dipejam pada waktu-waktu tertentu.

Warna itu kebiasaannya lembut, tidak terang dan bergerak perlahan seperti minyak yang timbul ke permukaan air. Cara ia bergerak itu pula berbeza-beza, tidak hanya satu jenis gaya pergerakan sahaja kerana cara ia bergerak bergantung kepada setenang mana kita melihatnya.

Warna cahaya itu juga kebiasaannya berlegar dalam suasana gelap. Dalam suasana gelap kerana ia hanya terpancar semasa mata kita dipejam, gelap kerana tiada cahaya yang masuk menembusi dan merefleks retina. Dalam kegelapan itu, akan terlihat ada cahaya berwarna lembut.

Ia bukan perumpamaan, ia benar-benar cahaya berwarna lembut yang dapat dilihat dalam suasana gelap semasa mata dipejamkan. Tidak perlu bimbang, tiada sebarang masalah dengan deria penglihatan. Sebaliknya bersyukurlah.

Itu ketika mata dipejamkan. Tetapi, ada satu lagi ‘jenis’ mata, ia pula berlaku semasa mata dicelik. Pernahkah mata kamu berasa seperti diselaputi sesuatu sehingga terlihat seperti ada benda lutsinar dalam berntuk-bentuk tertentu?

Objek yang lutsinar itu bagaimanapun tidak mengganggu penglihatan kamu. Ia hanya hadir secara berkelip-kelip sama ada dari kiri ke kanan atau atas ke bawah. Ada yang kelihatan seperti ais dalam bentuk tertentu sama ada memanjang, berlingkar dan sebagainya. Ada pula seperti bintik-bintik lutsinar. Hadirnya cuma pada waktu tertentu dan ia bukan terhasil akibat masalah penglihatan. Jika mengalami perkara itu, bersyukurlah.

Tetapi apakah cahaya berwarna lembut ketika mata dipejam itu, dan apakah pula benda lutsinar semasa mata dicelik itu? Dari sudut penjelasan dalam bidang psikologi, ia hanya sekadar memori warna yang terlekat pada minda apabila mata dipejamkan. Simpan kata kunci memori yang berkait rapat dengan minda. Terlebih dahulu, bersyukurlah dengan memuji kebesaran Allah dan belajarlah cara memanfaatkannya untuk kebaikan.

------------

Optical Blind Aurora (OBA)

Warna lembut yang hadir ketika mata dipejam itu kita istilahkan sebagai Optical Blind Aurora (OBA) kerana rupa ia kelihatan seperti aurora. Rupa dan cara pergerakannya hampir sama seperti cahaya aurora dalam warna-warna tertentu semasa langit sedang gelap seperti di beberapa kawasan berhampiran dua kutub. Istilah blind pula diletakkan kerana ia hadir ketika mata dipejamkan. Ia hanya sekadar istilah untuk mewakili.

Ia biasanya hadir dalam warna hijau, biru, ungu, merah, kuning, jingga dan coklat. Jika seseorang dihadiri warna ungu, maka dia seumur hidup pada waktu-waktu tertentu akan berpotensi dibayangi dengan warna itu apabila mata dipejamkan pada sesekian waktu.

Begitu juga kalau dihadiri kombinasi dua warna atau lebih, maka seumur hidup akan berpotensi didatangi warna itu. Ia adalah warna lembut, ia hadir dalam keadaan tidak cukup terang. Kewujudannya pula adalah sesuai dengan fungsi-fungsinya.

Aurora ini sangat bergantung kepada keadaan di mana kita sedang berada dan mengikut keupayaan yang berbeza-beza. Ada yang hanya didatangi aurora ini ketika memejamkan mata semasa berada di tempat gelap atau tempat kurang cahaya (samar-samar) sahaja. Ada pula yang hanya semasa memejamkan mata di tempat terang sahaja dan ada juga yang didatangi tidak kira dalam keadaan persekitaran gelap mahupun terang.

Ia hadir kerana mata dan minda terhitung dengan cara yang di luar penjelasan mana-mana disiplin perubatan moden. Mata dan minda terhitung dengan baik dalam menyimpan memori. Selanjutnya, kita lihat pula apa yang dimaksudkan dengan benda lutsinar yang hadir semasa mata dicelik kerana ia juga kebiasaan dialami individu jenis OBA.

-----------------------

Optic Code atau Orb Code (OC)

Ia juga hadir pada masa tertentu dan bukan sepanjang waktu. Kehadirannya tidak mengganggu penglihatan dan bukan sebagai satu masalah kepada deria penglihatan. Hadirnya dalam pelbagai bentuk dan berbeza mengikut orang yang mengalaminya.

Namun, persamaannya ialah ia kecil dan berkelip-kelip sambil bergerak dari kiri ke kanan, kanan ke kiri, atas ke bawah atau bawah ke atas. Bentuknya seperti kaca atau ais dengan warna lembut tetapi lutsinar. Warna itu pula adalah warna yang sama seperti aurora yang dialami seseorang.

Ia selalunya hadir dalam dua ‘unit’ sahaja. Contohnya, mata di sebelah kanan didatangi OC berbentuk seperti tiga bintik kecil dan mata kiri pula didatangi OC berbentuk seperti garisan berlekuk-lekuk. Apabila dipejam mata kiri, seseorang akan dapat melihat tiga bintik kecil. Apabila dipejam mata kanan pula, seseorang akan dapat melihat garisan berlekuk-lekuk. Apabila dicelik kedua-dua mata, maka akan nampak kedua-dua bentuk OC tadi. Tetapi apabila dipejamkan kedua-dua mata, maka OBA akan muncul.

Kehadiran OC ini berkat rapat dengan OBA. Dalam sesuatu keadaan, OC akan menjadi isyarat awal kepada seseorang yang akan mengalami OBA pada waktu itu. Ketika mata celik, seseorang didatangi OC terlebih dahulu dan kemudian memejamkan mata untuk melihat OBA yang hadir selepas itu.

Sememangnya ada manusia-manusia yang mengalami OC/OBA ini dan kedua-dua perkara itu kalau dimanfaatkan, akan memberi kelebihan kepada tingkat kemampuan minda untuk melakukan perkara yang di luar batas normal.

OBA bukan semata-mata melihat aurora semasa mata dipejamkan. Ia mampu membawa seseorang pergi lebih jauh bersama mata yang bersatu dengan minda. Manfaatkan ia dengan memuji kebesaran Allah dan memohon kepada-Nya supaya tidak tersesat semasa menerokai anugerah yang diberikan-Nya.

Orang-orang yang diberi ‘pengetahuan’ OBA sudah bergenerasi wujud di muka bumi. Ia pernah wujud di kalangan orang-orang beriman tauhid yang ikhlas menyepikan diri di tempat sunyi semata-mata untuk mengenal diri dan mengenal Tuhan.

Ia juga wujud di kalangan sami-sami serta ketua-ketua agama keduniaan, wujud sebagai anugerah kasih sayang-Nya kepada anak-anak kecil yang baru lahir dan wujud sebagai anugerah kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya tidak kira sama ada beriman kepada-Nya atau tidak.

Apakah sebenarnya OC dan OBA itu. Apakah sebenarnya kelebihan yang ada di sebalik kedua-dua perkara yang hadir di ruang penglihatan itu? Ia hanya sebahagian kecil daripada segunung yang besar. Hanya secebis kecil daripada titik besar. Bukan pula perkara dongeng.

Buat masa ini, berehat dahulu di sini. Tunggu sehingga tubuh dan minda anda sudah berada pada tahap terbaik supaya tidak tergelincir semasa memikirkannya.


-UMAT TERAKHIR-

29 Jul 2011

Di dalam kamu dan kita semua

SETIAP objek yang berada di Bumi dan galaksi-galaksi memiliki daya tenaga tersendiri. Setiap sel dalam makhluk unisel, multisel dan makhluk sel kompleks yang terbina juga mempunyai tenaga. Dengan itu, seluruh galaksi yang wujud di seluruh ruang angkasa yang tidak diketahui jarak dan keluasannya itu masing-masing mempunyai tenaga.

Cahaya matahari membekalkan tenaga solar, pukulan ombak juga membekalkan tenaga, begitu juga dengan arang batu, galian-galian seperti petroleum, uranium, plutonium dan sebagainya. Masing-masing mempunyai tenaga. Manusia juga memiliki tenaga. Tenaga wujud di merata-rata objek di seluruh alam semesta raya merentas galaksi, ruang masa black hole, gelung angkasa worm hole dan bermacam lagi fenomena di angkasa galaksi.

Manusia kebiasaannya (kita lihat dari sudut sains perubatan) akan terus hidup selagi wujud tenaga. Apabila manusia itu kehabisan tenaga ke tahap kosong, maka manusia akan mati kerana jantung tidak punyai cukup tenaga untuk mengepam darah atau otak sudah tidak punyai cukup tenaga untuk mengawal seluruh fungsi tubuh. Tanpa tenaga, manusia akan maut akibat pulse dead (kematian akibat kegagalan jantung) dan brain dead (kematian akibat kegagalan otak) kerana tidak punyai cukup tenaga untuk meneruskan fungsi dua organ utama dalam tubuh itu.

Manakala dari sudut pegangan agama Islam, manusia pasti akan mati apabila tiba ajal yang dijemput oleh Malaikat Izraeil atas kehendak Allah. Selagi tidak diizinkan Allah, manusia akan terus hidup walaupun hanya mampu terlantar sakit berbekalkan sisa-sisa tenaga yang masih ada.

Sebelum menjelaskan mengenai maksud sebenar artikel ini, kita ulangkaji bab tenaga terlebih dahulu. Isaac Newton pada 1687 menerbitkan Philosophia Naturalis Principia Mathematica yang menerangkan hukum-hukum pergerakan jisim di angkasa. Menurut Newton, terdapat tiga pertalian hukum dalam pergerakan tersebut iaitu:

- sesuatu objek yang dalam fasa rehat akan terus berehat dan sesuatu objek yang bergerak secara perlahan dalam garis tetap akan mula bertindak balas apabila terjadinya rangsangan luar. Tenaga atau daya akan pantas terhasil apabila menerima rangsangan.

- kadar perubahan momentum sesuatu jasad atau jisim atau objek di angkasa adalah berkadar kepada daya rangsangan balas terhadap jasad atau jisim atau objek melalui arah yang sama.

- bagi setiap tindak daya yang merangsang, terdapat tindak balas yang sama dan bertentangan iaitu daya yang sama digunakan dari arah bertentangan itu. Daya itu saling bertindak balas dengan kekuatan yang sama dari arah bertentangan.

Newton menjelaskan mengenai dua perkara penting iaitu tenaga akan terhasil selepas objek menerima rangsangan, dan tindak balas tenaga akan terhasil dengan kekuatan yang sama yang diterima objek itu. Dua perkara ini wajar (bukan harus, tetapi wajar) difahami untuk menemui tenaga yang kita cari melalui artikel ini, iaitu...


'Tenaga murni' dalam jasad benda hidup

Ia adalah faktor penting dalam setiap benda hidup. Tenaga ini wujud dalam bentuk ‘hidup’ dan sifatnya seperti akan terus ‘mengalir’ selagi hidup. Tenaga ini hidup dalam bentuk ‘haba’. Walaupun begitu, tenaga ini wujud dalam setiap yang wujud di alam semesta seperti batu, udara, angin, air dan sebagainya, tidak hanya berkisar mengenai benda hidup semata-mata.

Melalui tenaga ini, seluruh makhluk yang wujud di dunia berada dalam keadaan seimbang walaupun terdapat perbezaan dari segi komposisi bagi keunikan setiap kejadian masing-masing. Walaupun tanah secara fizikalnya mampu menyerap air, tetapi sungai tidak kering. Meskipun matahari mengeringkan air di permukaan bumi, tetapi air tetap terapung di udara menjadi awan dan tidak hilang melainkan akan turun semula ke bumi sebagai hujan.

Air tetap menjadi awan dan menjadi air semula. Ia tidak terus hilang dan tidak pula musnah menjadi ‘makanan’ kepada matahari. Air hanya dipindahkan ke udara menjadi wap sebagai awan, tenaga hanya dipindahkan tetapi tidak dimusnahkan. Alam bergerak dengan harmoni kerana ia murni.

Manusia juga benda hidup. Maka dengan itu, manusia memiliki tenaga murni ini yang berirama dengan sangat harmoni bersama alam sekitar tanpa pergeseran. Tenaga yang murni itu juga bergerak secara harmoni dalam setiap organ yang terdapat dalam tubuh manusia itu sendiri. Darah bergerak dalam pembuluh saraf dan membasahi pula otot-otot dan daging menjadi merah tanpa diresap keluar daripada tubuh sebagaimana peluh.

Tumbuhan-tumbuhan juga memiliki tenaga murni ini. Apabila manusia didatangi penyakit, maka tumbuh-tumbuhan digunakan sebagai ubat bagi memulih dan menguatkan tenaga ini. Apabila manusia kesejukan, maka manusia akan duduk dekat dengan api yang membantu memanaskan badan atau meminum air yang telah dididihkan untuk meningkatkan suhu badan. Sama juga apabila manusia kepanasan, manusia akan berusaha mendapatkan udara dan angin serta air sejuk untuk menyejukkan badan.

Ia kerana tenaga yang terdapat dalam setiap perkara yang berada di bumi ini dapat membantu manusia menyeimbangkan tenaga murni ini. Tenaga itu mengalir dari alam sekitar ke tubuh manusia dan mengalir keluar semula kepada alam sekitar secara kitaran. Ia pergi semula ke tempat asal ia datang secara berkitaran dan musnah apabila Pencipta berkehendakkan ia musnah.

Manusia dianugerahkan akal dan minda. Secara tidak langsung, tenaga ini juga wujud dalam minda dan akal manusia, ia membolehkan fungsi otak berjalan dengan teratur bagi membolehkan manusia bergerak selepas otak menghantar maklumat kepada organ-organ lain seperti tangan, kaki dan sebagainya untuk melakukan pergerakan. Tenaga itu yang wujud dalam minda manusia boleh dipindahkan sebagaimana hukum tenaga sendiri. Tenaga boleh dipindahkan melalui arahan otak kepada organ-organ tubuh.

Melalui cara normal, minda akan berfikir dan hasil daya fikir itu boleh dipindahkan dalam bentuk tulisan yang boleh dibaca oleh orang lain. Tangan akan menulis selepas otak menghantar arahan kepada tangan untuk mula menulis setiap baris perkataan yang terlintas dalam minda dan akal. Ia hanya contoh dari segi untuk melihat ia dipindahkan secara normal.


Tenaga yang terapung dan mengalir

Apabila tenaga ini dibebaskan, ia tidak musnah. Sebaliknya akan terapung di udara dan menjadi sebahagian kandungan udara yang kita sedut untuk terus hidup. Kedengaran pelik dan tidak masuk akal, tetapi itulah tenaga yang tidak musnah dan terus berada dalam kitarannya.

Kita bernafas udara yang mengandungi paras nitrogen dalam peratus yang lebih tinggi berbanding oksigen dan helium. Udara yang kita sedut itu pula bukan 100 peratus oksigen kerana oksigen hanya disedut dalam peratusan yang lebih kecil berbanding nitrogen.

Selepas disedut, kita membebaskan pula karbon dioksida bersama gas-gas lain yang tersisa daripada udara yang kita sedut sebelum itu. Karbon dioksida itu pula diserap oleh daun-daun dan kemudiannya membebaskan pula oksigen kembali ke udara. Kitaran itu berpusing dan berputar dalam ritma yang murni dan harmoni.

Hidupan berdedaunan di dasar sungai dan lautan juga melalui proses yang sama dalam kitaran udara. Oksigen mengalir dan timbul dipermukaan air untuk disedut oleh manusia dan haiwan serta bakteria, proses itu terus berulang dalam kitarannya. Contoh itu hanya sebagai gambaran paling mudah untuk menjelaskan bagaimana tenaga itu terapung dan mengalir dalam bentuk udara. Namun, tenaga murni itu bukan hanya udara semata-mata. Ia melibatkan semua yang saling bergantungan di seluruh bumi dan alam semesta.

Planet-planet terapung di angkasa kerana ia punyai tenaga dengan izin Tuhannya (Allah Maha Pencipta). Planet juga berputar dalam orbitnya kerana masih punyai tenaga selagi diizinkan Maha Pencipta. Bintang-bintang membakar, menyala, bersinar dan membebaskan tenaga yang disimpannya selagi diizinkan Penciptanya. Bintang terbakar kerana ia masih punyai tenaga, haba bintang itu pula dipindah keluar untuk mengembara ke seluruh angkasa sebagai sebahagian radiasi dan sebagai sebahagian tenaga, menunggu untuk dimanfaatkan manusia. Meskipun cahaya bintang dan matahari beradiasi, bumi masih berupaya menapisnya. Itulah keseimbangan.

Walaupun tenaga murni itu juga wujud dalam manusia, ia hanya sekadar wujud tanpa disedari manusia. Hakikat kewujudannya akan disedari apabila manusia itu mencari jalan untuk sebati dengan alam. Untuk sebati dengan alam, kita wajar mengembalikan kitaran diri kita kepada alam. Mengembalikan diri itu pula bukan bermaksud mati dan kembali kepada tanah semata-mata. Wajib hidup selagi hidup.


Tubuh perlu seimbang dengan persekitaran tenaga

Untuk menjadikan tubuh seimbang dengan persekitaran, tidak sukar. Hanya perlu menolak setiap perkara yang tidak boleh diterima tubuh. Menjadikan tumbuh-tumbuhan sebagai ubat sebagai contohnya, bukan ubatan kimia yang dihasilkan di makmal-makmal perubatan moden.

Hanya makan makanan yang diproses tanpa sebarang gangguan atau campuran kimia asing. Makan secara seimbang. Menjauhi alkohol yang terhasil secara proses penapaian kerana ia tidak terhasil secara semulajadi, alkohol tidak terhasil di atas pokok sebagaimana terhasilnya air kelapa atau nira segar.

Alkohol terhasil apabila kita menapai anggur, gandum, beras, buah, nasi dan sebagainya selama beberapa tempoh. Perubahan struktur asid semasa proses penapaian itu dilakukan secara paksa dan ia tidak akan terjadi dengan sendiri (seperti di atas pokok) sekiranya kita tidak membawa apa-apa makanan kepada proses penapaian itu. Alkohol pula akan mengelirukan saraf, tenaga dan akal apabila ia sampai ke dalam tubuh. Minda pula rosak.

Apabila hanya makan makanan yang tidak bercampur baur dengan kimia atau diproses sehingga menjejaskan kualiti makanan, tubuh akan sihat dan minda akan menjadi sihat. Tubuh yang sihat pula akan merendahkan risiko terhadap kedatangan penyakit-penyakit berbahaya. Hasilnya, tubuh dan minda berpotensi untuk berada dalam kondisi terbaik.

Jadi, jelas bahawa apabila kita hidup secara ‘organik’ (dalam konteks ini) tubuh akan sihat dengan izin-Nya dan minda akan segar untuk sentiasa memikirkan kebesaran-Nya dalam mencipta seluruh isi langit dan bumi. Tubuh perlu seimbang dengan persekitaran tenaga, hidup secara ‘organik’ selagi boleh dan kita akan menemui titik besar dalam diri andai diizinkan-Nya.

Dipermudahkan lagi, jauhi makanan proses (makanan tin, makanan segera, pengawetan makanan tinggi kandungan kimia, gula dan garam) dan hanya makan makanan yang bebas kimia, seimbang dan sihat. Sekali lagi dipermudahkan, makan seperti orang dulu-dulu makan yang tidak ada bahan kimia. Dipermudahkan lagi, makan seperti amalan pemakanan nabi. Ia kerana minda dan sifat serta sikap seseorang manusia akan dipengaruhi oleh setiap butir makanan yang kita jamah.

Apabila tubuh sudah mula seimbang dengan persekitaran, minda akan berfungsi dengan baik. Tubuh akan berfungsi dalam kondisi terbaik. Kognitif akan mula melenyapkan persepsi yang buruk sangka. Pemikiran akan kembali segar tanpa begitu mudah dipengaruhi oleh pengaruh-pengaruh asing.

Saya beri tempoh sebulan sepanjang Ramadan ini untuk adik-adik, pakcik-pakcik, makcik-makcik, tuan-tuan dan puan-puan semua membetulkan budaya pemakanan terlebih dahulu supaya tenaga yang ada dalam tubuh kembali harmoni dengan persekitaran. Jaga pemakanan terlebih dahulu. Saya mahu semua menjadi sihat dan melahirkan generasi yang bijak pandai untuk membela agama kita.


Maksud sebenar artikel ini hanya akan diberitahu nanti. Jika saya terlupa, tolong ingatkan.


Harap tidak terlalu awal untuk mengucapkan Salam Ramadan.


Salam Ramadan dari perantauan..


-SHAHi-

28 Jul 2011

Extra-Sensory Perception (ESP)

Extra-sensory Perception (ESP) ialah keupayaan psikologi seseorang individu menerima maklumat secara di luar kebiasaan. Maklumat yang diterima itu pula bukan diperoleh melalui deria fizikal secara normal, tetapi menerima ‘maklumat’ melalui minda.

Ia seperti terdetik sesuatu perkara mengenai sesuatu kejadian di minda seseorang sehingga perkara itu benar-benar terjadi. Kebiasaan yang kita ketahui ialah seperti seorang ibu yang berasa tidak sedap hati mengenai anaknya, dan tiba-tiba ibu itu mendapat berita buruk yang menimpa anaknya itu.

Namun dalam hal ibu itu, dia tidak mengetahui apakah kejadian sebenar yang menimpa anaknya itu kerana hanya dapat merasakan bahawa berlaku sesuatu yang tidak baik terhadap anaknya. Tidak lebih daripada dapat merasai sesuatu yang buruk. Ibu itu tidak tahu mengenai apakah perkara sebenar yang tidak baik itu sehinggalah dia mendapat berita daripada orang lain mengenainya.

Minda ibu itu seperti ‘ditegur’ untuk berfikir mengenai anaknya itu dan disertai pula dengan perasaan kurang enak semasa memikirkannya. Pengalaman sang ibu itu adalah secebis daripada ESP. Setiap manusia dalam hidupnya akan mengalami sekurang-kurangnya sekali pengalaman ESP, mungkin lebih daripada sekali bagi sesetengah orang pula.

Dalam terma para ilmuan Islam, dua perkara yang menghampiri maksud ESP adalah kasyaf dan ‘sebahagian hijab akal yang dibuka oleh Allah’ terhadap mana-mana manusia yang dikehendaki-Nya. Kita dalam hal ini tidak pula menyentuh mengenai kasyaf, ilhaam, ladunni atau hijab kerana kurang arif mengenainya.

ESP terbahagi kepada beberapa jenis pecahan utama:

Precognition: Kebolehan menggambarkan mengenai sesuatu kejadian. Individu yang memiliki kelebihan ini dapat menggambarkan secara rawak, malah dapat melihat dengan jelas (bagi sesetengah individu) mengenai sesuatu yang bakal berlaku. Individu seperti ini ramai berkhidmat dengan badan-badan perisik Amerika semasa menyiasat Soviet Union (kini Rusia) ketika perang dingin untuk mengetahui senjata-senjata baru yang sedang dibangunkan Soviet di lokasi-lokasi tertentu - Antara bayangan yang diterima adalah kekuatan letupan-letupan senjata yang sedang dibangunkan, rupa bentuk senjata atau loji nuklear dan sebagainya.

Clairvoyance: Kebolehan menerima persepsi yang diterima oleh penglihatan minda Menerima isyarat melalui minda secara bergambar, visual atau maksud-maksud halus secara simbolik. Melalui kebolehan ini, seseorang yang memiliki kelebihan clairvoyance mampu memberi gambaran mengenai rupa wajah seseorang yang bermain di fikirannya, keadaan sesebuah tempat, makhluk halus, kejadian atau sebagainya. Individu seperti ini juga ramai berkhidmat dengan badan-badan perisik semasa perang dingin.

Telepati: Kebolehan berkomunikasi secara percakapan dari minda ke minda tanpa menggerakkan lidah dan bibir. Jika ada dua orang individu seperti ini di sesebuah tempat, mereka boleh berbual dalam keadaan senyap tanpa dapat didengari oleh orang lain. Percakapan mereka menjadi sangat senyap dan perkataan yang diucapkan itu disampaikan secara terus dari minda seorang ke minda seorang lagi, bagaimana perkataan itu disampaikan secara senyap dari minda ke minda, ia tidak mampu dijelaskan oleh ilmu manusia. Malah, seseorang juga mampu ‘membaca’ minda orang lain (orang normal) jika dia mahu menceroboh minda orang itu. Individu-individu seperti ini memang wujud walaupun tidak ramai.

Psychokinesis: Juga disebut telekinesis. Kebolehan menggerakkan objek tanpa menyentuhnya. Objek mampu digerakkan menggunakan kekuatan minda. Individu seperti ini sangat jarang ditemui.

Dua jenis ESP yang pertama itu boleh dilatih di kalangan semua orang, ia adalah antara mampu menjadi lebih mahir atau terhenti pada tahap tertentu tanpa sebarang kemampuan untuk terus mengembangkan kebolehan itu. Kekuatan minda adalah kunci utama untuk melatih ESP kerana setiap individu memang pernah mengalami pengalaman ESP.

Manakala bagi jenis telepati dan psikokinesis pula, ia adalah anugerah Allah kepada mana-mana hamba yang dikehendaki-Nya. Individu daripada dua jenis ini sangat jarang ditemui. Melalui kebolehan ini, seseorang mampu mengesan pembohongan yang dibuat oleh orang lain.

Empat jenis utama ESP itu memang wujud. Ia bukan sekadar fantasi seperti yang dilakukan Hollywood. Ia benar-benar wujud dan atas sebab itulah ia digambarkan secara fantasi oleh Hollywood bagi menggambarkan seolah-olah ia hanya sekadar fantasi yang tidak wujud.

Dalam konteks budaya Melayu, lihat sahaja kepada bomoh-bomoh atau pawang-pawang yang bukan dari jenis bomoh penipu. Bukan disuruh percaya kepada bomoh, sama sekali tidak. Tetapi lihat kepada realiti apabila ada manusia yang dipanggil bomoh (sekadar panggilan popular kepada orang yang pandai menengok) itu mampu mengesan kedudukan orang hilang di hutan atau sebagainya. Ia juga sebahagian ESP. Kita tidak mencari bomoh. Sekali lagi tidak.

Jika tergolong dalam mana-mana jenis dari yang empat itu, maka bersyukurlah kepada Allah. Jika memiliki ESP yang selain daripada yang empat itu juga, maka bersyukurlah kepada Allah. Jika mahu tahu lebih banyak, carilah sumber-sumber lain untuk rujukan bagi memahami diri sendiri.

Kami mencari Prodigy ESP. Carilah orang yang tidak akan mempergunakan ‘kamu’ untuk tujuan yang tidak baik, orang yang mahu mempergunakan kamu juga sedang gigih mencari kamu. Andai diberi kelebihan itu, kamu pasti tahu bagaimana mahu mencari kami di sini. Kamu harus mencari, bukan menunggu untuk dicari.


-UMAT TERAKHIR-

21 Jul 2011

Follow the evidence



KESILAPAN terbesar yang dilakukan oleh pemikir konspirasi ialah meletakkan semua andaian negatif terhadap satu pihak secara sepenuhnya dengan mengabaikan pihak-pihak lain yang turut berupaya melakukan konspirasi.

Sebagai contoh, apabila Parti Democrat memegang tampuk pemerintahan di Amerika sebagai kerajaan yang memerintah, maka andaian konspirasi itu diletakkan sepenuhnya kepada kerajaan Democrat. Walhal, mengabaikan bahawa Parti Republican yang belum dipilih menjadi kerajaan untuk penggal seterusnya juga mengadakan konspirasi.

Contoh lagi, di Britain, apabila Parti Konservatif menerajui kerajaan, maka andaian juga diletakkan bahawa wujud konspirasi dalam kerajaan itu diletakkan sepenuhnya terhadap parti itu. Dalam perkara yang sama, mengabaikan tumpuan kepada Parti Buruh yang turut berupaya melakukan konspirasi.

Begitu juga dengan keadaannya di Malaysia. Apabila sesebuah parti menerajui kerajaan Malaysia, maka diletakkan andaian bahkan tuduhan, bahawa parti yang menerajui kerajaan itu diselubungi konspirasi. Dalam keadaan itu, para pemikir terlupa bahawa parti yang berusaha untuk menjadi kerajaan juga ada tingkat-tingkat konspirasinya.

Tidak wajar untuk meletakkan sesuatu tuduhan kepada satu pihak semata-mata. Pertimbangan yang dibuat haruslah waras dan wajar berdasarkan fakta dan maklumat yang kita terima. Pertimbangan yang dibuat pula tidak boleh berat sebelah.

Andai pemikir konspirasi itu berjiwa Parti A, maka sebarang teori konspirasi yang dibuat adalah untuk menyalahkan Parti B semata-mata. Andai pula seseorang pemikir itu berjiwa Parti B, maka dia juga akan melakukan perkara yang sama iaitu menyalahkan Parti A melalui teori-teori konspirasi. Itu tidak adil.

Jangan pula membuta tuli mengatakan parti A itu melakukan konspirasi hanya semata-mata pemimpin politik parti B berkata demikian. Jangan pula menjadi seperti blind sheep yang mengikut setiap apa yang didengari kerana sudah tidak mampu melihat, hanya bergantung kepada telinga kerana mata sudah buta.

Dalam menilai konspirasi, kita harus melihat dari semua arah, terhadap semua pihak, tanpa paranoia. Tidak boleh melihat dari satu sudut yang kita mahu atau kita suka sahaja. Perhatikan sudut-sudut yang boleh memandu kita kepada jawapan yang bersambung-sambung dan tidak terputus-putus.

Jika keterangan terhadap satu pihak itu bersambung-sambung ke arah yang meragukan, menuju ke titik Yahudi Zionis sebagai contohnya, maka jawapan wajar terus dicari dan dicari selagi ada keterangan yang bersambung-sambung dalam menjawab persoalan itu.

Namun, apabila wujud keterangan yang terputus-putus di tengah jalan walaupun ada pertalian dengan Yahudi Zionis pada awalnya, maka ia juga harus difikirkan dengan wajar tanpa paranoia atau berat sebelah.

Apabila bersikap berat sebelah dengan melebihi satu pihak sahaja, maka kita tidak layak menjadi pengadil, pemerhati atau pemikir. Ia kerana kita hanya mencari jawapan yang akan menyalahkan satu pihak semata-mata dan proses untuk mendapat jawapan itu dilakukan secara tidak adil. Meletakkan satu perkara pada bukan tempat atau haq adalah satu perbuatan zalim.

Ia juga bermakna, pemikir konspirasi itu juga tidak bebas pemikirannya kerana masih dikongkong oleh jiwa yang menyokong sebelah pihak dengan mencemuh pihak yang satu lagi. Persepsi masih dikongkong oleh pihak lain. Bagaimana orang yang tidak bebas pemikirannya mahu membebaskan pemikiran orang lain? Ia hanya akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan tanpa sebarang jawapan.

Apabila menjadi berat sebelah, teori-teori yang terbina pula hanya dipenuhi persepsi semata-mata, persepsi yang mencemuh sebelah pihak dengan mengagungkan sebelah pihak yang lain, teori hanya sekadar teori yang tidak akan sedikitpun menghampiri fakta.

Antara perkara yang perlu dilakukan ialah menerima maklumat dari semua arah, memadankan maklumat itu dengan maklumat-maklumat luar yang boleh membantu, menilai maklumat menggunakan semua pertimbangan yang wajar dan melihat ke mana maklumat itu membawa kita.

“Follow the evidence where ever it leads you. Never trust your perception. Perception is deception.” – FORENSIC RULE No. 1

Tidak dinafikan, ramai yang melakukan pertimbangan berat sebelah. Perlu segera sedar bahawa berat sebelah itu adalah perbuatan yang tidak adil dan zalim. Jika anda mahukan jawapan terhadap sesuatu persoalan, bersungguh-sungguhlah mencari jawapan. Terima jawapan itu seadanya walaupun jawapan itu bukan seperti yang anda harapkan.

Ikut ke mana sahaja bukti-bukti itu membawa persoalan-persoalan itu pergi dan lihat di mana jawapan kepada persoalan itu terhenti. Apabila ia terhenti di titik yang disokong dari semua arah, maka ia adalah jawapan walaupun tidak seperti yang kita harapkan.

Terimalah jawapan itu walaupun ia tidak menyebelahi kita.
Berfikirlah dengan waras.

-ADMIN-

19 Jul 2011

Mind Control dalam politik




UNTUK menjadi seorang ahli politik, seseorang individu itu harus mempunyai pakej lengkap dari segi ketrampilan, disiplin moral, gaya dan daya kepimpinan selain boleh dipercayai serta jujur. Itu adalah penilaian umum yang biasa diberikan kepada seseorang tokoh yang mencebur diri dalam arena politik.

Namun terdapat satu sisi yang wajar diberi perhatian iaitu, seseorang yang terlibat dalam politik demokrasi perlu mempunyai kemahiran mempengaruhi orang lain kerana ia adalah salah satu daripada faktor penting yang membezakan antara pemimpin dengan pengikut. Ia adalah kemahiran yang sangat diperlukan dan ia adalah satu ‘faktor’.

Setiap yang diucapkan oleh individu politik harus memberikan keputusan positif iaitu ‘dipercayai’ ‘diyakini’ dan jawapan-jawapan negatif yang selain itu tidak akan menjamin kejayaan seseorang ahli politik dalam melebarkan cita-citanya dalam kancah politik demokrasi sesebuah negara, organisasi atau dunia.

Pengikut kepada parti-parti politik pula hanya akan berkata bahawa tokoh politik pujaan mereka itu hebat, berwawasan dan sebagainya. Pujian-pujian itu pula hanya diberikan berlandaskan ucapan-ucapan yang pernah keluar daripada tokoh itu dan tidak melihat secara keseluruhan terhadap prestasi perlaksanaan kepada ucapan-ucapannya itu.

Namun, pengikut parti politik tidak pernah memikirkan mengapa mereka berfikiran sedemikian walaupun tidak berpijak kepada keseluruhan fakta. Para pengikut hanya mengangguk dan menerima setiap apa yang diucapkan tanpa berfikir mengenainya. Mengapa keadaan itu berlaku?

Ramai yang tidak menyedari bahawa wujud istilah Mind Control dalam politik. Tanpa Mind Control, sesebuah parti atau individu politik tidak akan mampu bertahan menangkis pelbagai isu yang melanda mereka. Mereka dapat bertahan meskipun dibadai pelbagai isu kerana mereka telah mengikat minda para pengikut supaya menjadi taat serta taksub sehingga mengenepikan segala pertimbangan yang wajar.

Melalui Mind Control, mereka menjadikan pengikut mereka taat dan tidak berganjak daripada terus memberi sokongan walaupun parti dan individu-individu (ahli politik) mereka dilanda pelbagai isu yang boleh menggugat kepercayaan orang ramai terhadap mereka.

Hanya dengan menggunakan teknik-teknik mempengaruhi orang lain untuk menyemai persepsi orang ramai, seseorang individu politik itu dengan mudah akan dapat mengerahkan para pengikutnya menerima idea dan nilai-nilai yang ingin disampaikan dan diterapkannya. Ia termasuk sampai ke tahap mempergunakan para pengikut yang sudah sedia taksub untuk mencapai cita-cita politik mereka.

Dalam memastikan semua itu berjalan lancar, seseorang individu politik itu harus mengetahui tatacara ‘pemasaran diri’ untuk meraih kepercayaan umum terhadapnya, ia adalah langkah pertama sebelum teknik-teknik psikologi digunakan secara optimum dalam mood yang halus.

Ketika dalam fasa pengalihan psikologi, segala daya kognitif dan pemikiran kritis akan dikikis keluar daripada tingkat kewarasan seseorang pengikut. Ia dilakukan bagi mengubah persepsi seseorang pengikut sehingga tiada lagi pertikaian walaupun sebesar kuman terhadap ketua mereka, sehingga semua yang dilakukan disifatkan sebagai betul tanpa sebarang kelemahan.

Apabila ia berlaku, seseorang pengikut tidak akan mampu berfikir secara bebas dan hanya mampu berfikir mengikut rentak yang disediakan oleh pemimpin politik mereka sahaja. Ringkasnya, pengikut akan berfikir mengikut acuan yang telah disediakan dalam ruang lingkup terhitung melalui idealisme retorik-retorik yang memukau ketakjuban dan ketaksuban.

Pengikut juga akan gagal membezakan antara kepalsuan dan kebenaran selepas pemikiran diselubung dengan debu-debu yang menyelimuti kewarasan berlandaskan realiti. Pada tahap ini, realiti tidak akan dapat dilihat dengan jiwa yang bersih dan kebijaksanaan para pengikut akan mula terhakis perlahan-lahan dan akhirnya hilang.

Dalam fasa itu, minda pengikut berada sepenuhnya dalam kawalan sang ahli politik. Pengikut akan mengangguk apabila keadaan memerlukan mereka mengangguk dan akan melakukan segala tindakan yang mempertahankan individu politik berkenaan. Apabila keadaan ini berlaku, pengikut juga tidak ubah menjadi seperti orang buta yang tidak dapat melihat walaupun celik.

Proses pembuatan keputusan yang sepatutnya dibuat secara bebas oleh pengikut akan dikawal sepenuhnya oleh sang ahli politik, pengikut tidak akan mampu membuat keputusan sendiri melainkan bergantung sepenuhnya kepada sang ahli politik dalam apa sahaja keputusan meskipun keputusan itu boleh melingkupkan banyak perkara dalam nilai masyarakat. Pengikut yang tunduk kepada demokrasi akan ditelan hidup-hidup oleh demokrasi itu sendiri kerana tidak memahami demokrasi yang sebenarnya.

Bilamana minda pengikut sudah berada dalam kawalan yang maksimum oleh sang ahli politik, maka semua arahan daripada individu politik itu akan dipatuhi sepenuhnya. Ibarat robot yang akan bergerak melakukan segala arahan setiap kali butang alat kawalan dipetik. Lebih parah, ibarat mayat hidup yang sudah hilang jiwanya. Parah apabila melakukan sesuatu yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan undang-undang.
--

Coercive Mind Reset

Dalam modul Mind Control yang diamalkan oleh para penggerak politik New World Order (NWO) yang berpaksikan Zionis, minda manusia boleh dikawal melalui kaedah pemaksaan minda.

Melalui kaedah ini, minda akan dipaksa menerima segala idealisme yang cuba disogok oleh seseorang. Kaedah ini bagaimanapun akan gagal sekiranya individu yang cuba disogok itu pantas berfikir untuk mendapatkan jawapan terhadap persoalan-persoalan yang timbul semasa idealisme itu cuba diserapkan ke dalam pemikirannya.

Sebagai contoh apabila minda cuba disogok dengan komunisme, seseorang akan dapat menerima idea itu sekiranya dia terus mengangguk terhadap setiap idea yang menguntungkan dan mengabaikan semua kesan buruk akibat komunisme yang bakal diterimanya. Seseorang akan menerima idea tersebut sekiranya hanya mementingkan keuntungan dunia melalui konsep memiliknegarakan harta yang memberi gambaran seolah-olah semua rakyat akan mendapat taraf ekonomi sama rata. Dalam hal ini, minda dipaksa menerima idea tersebut dalam mood yang lembut iaitu idea-idea yang hanya menerangkan kebaikan dan bukan kelemahan.

Namun, apabila seseorang itu melihat kepada keseluruhan ideologi komunisme maka dia pasti akan melakukan pertikaian terhadap beberapa persoalan yang tidak dapat dijawab oleh komunisme itu sendiri. Apabila berlaku pertikaian, maka usaha pemaksaan minda akan terganggu dan boleh terhenti.

Namun, komunisme itu hanya dijadikan sebagai contoh dari aspek yang boleh membuatkan seseorang itu mengangguk terhadap komunisme dan menolak ideologi itu secara tegas. Ia hanya dari segi ‘menerima’ dan ‘mempertikai’. Menerima tanpa berfikir secara keseluruhan, akan menyebabkan minda dikawal melalui pemaksaan. Jadi, apakah yang boleh menjelaskan kaedah pemaksaan minda itu dan bagaimana ia dilaksanakan?

Pemaksaan minda adalah teknik memanipulasi daya kognitif seseorang. Melemahkan kognitif melalui satu sisi dan memperkuat persepsi pada sisi yang lain. Ia berlaku apabila persepsi menjadi lebih kuat berbanding kognitif. Ia berlaku apabila tiada keseimbangan antara kognitif dengan persepsi, dan ia tercetus dan berjaya dilaksanakan apabila persepsi menguasai keseluruhan tingkat pemikiran dan akal. Akal manusia dikuasai oleh persepsi dan bukan lagi kognitif. Hampir menyamai hipnosis, tetapi ia bukan hipnosis.

Apabila minda berjaya dimonopoli oleh persepsi, maka keseluruhan keputusan yang dibuat oleh seseorang akan berlandaskan persepsinya terhadap sang ahli politik yang berjaya mempengaruhinya. Daya kognitif sudah berada pada tahap lemah (bukan sepenuhnya pupus) dan tidak lagi mampu untuk melakukan penilaian yang berlandaskan realiti terhadap sang ahli politik itu. Apatah lagi untuk mempertikai apabila daya kognitif menjadi begitu asing dalam tingkat kewarasan.

Dalam persekitaran politik demokrasi, keupayaan mempengaruhi orang ramai adalah lesen besar kepada kekuasaan. Tanpa lesen ini, sesebuah organisasi politik atau individu politik itu tidak akan mampu berdiri kuat dalam demokrasi. Maka, propaganda harus dilakukan dan digerakkan bagi memastikan ia mampu mempengaruhi keyakinan dan kepercayaan orang ramai. Dalam proses propaganda inilah persepsi itu akan disemai.

Adalah penting untuk mencari titik kelemahan dalam usaha menyemai persepsi. Kelemahan itu boleh sahaja berkisar mengenai masalah yang dihadapi oleh orang ramai yang berpotensi menjadi pengikut.

“Get into their boat and let them do the row… You only have to say: Row-row-row your boat, and they will definitely row as you said.” – KAEDAH PERTAMA.

Cara mempengaruhi orang lain adalah perkara yang sangat mudah. Seseorang pemain politik hanya perlu memahami masalah orang lain (bakal pengikut) dan masuk di sebelah orang itu untuk bermain dengan perasaan dan persepsi mereka.

Andaikan bahawa anda adalah seorang pemain politik. Jika bakal pengikut itu mengalami masalah kewangan, maka jatuhkan hukuman bagi masalah itu terhadap pihak politik lawan. Hanya perlu memberitahu bahawa masalah kewangan yang dihadapinya itu adalah berpunca daripada pihak lawan anda.

Maka, persepsi akan wujud dalam minda bakal pengikut itu bahawa masalah itu adalah berpunca daripada pihak lain, bukan disebabkan masalahnya sendiri yang tidak bijak menguruskan kewangan dan jika dia berfikir mengenai kesilapannya menguruskan hartanya sendiri, maka dia akan berfikir secara waras dan hanya akan meminta nasihat daripada ahli politik itu dalam konteks pengurusan kewangan sahaja.

Untuk mengelak pengikut itu berfikir mengenai perkara itu, sang ahli politik akan berterusan mempengaruhi persepsi bahawa bakal pengikut anda terpaksa berhutang dengan bank kerana kadar faedah yang ditetapkan bank adalah berpunca daripada pihak lawan anda. Dalam keadaan ini, Blame Game digunakan secara serius terhadap pihak lawan bagi kepentingan politik yang akhirnya akan mewujudkan persepsi di minda bakal pengikut anda seperti yang anda harapkan.

Dalam permainan ini, jika anda adalah ahli politik, maka anda hanya perlu masuk ke dalam masalah (boat) mereka dan menjadi sebahagian daripada mereka yang mengalami masalah yang sama. Setelah menguasai persepsi dan kemarahan mereka terhadap sesuatu pihak (iaitu musuh politik anda), maka merekalah yang akan mendayung (row) bot itu untuk anda sampai ke seberang (matlamat) anda.

Dalam perkara ini, boat itu adalah isu. Row pula adalah kesan tingkah laku yang akan dilakukan oleh pengikut itu yang akan menjayakan cita-cita politik seseorang sang ahli politik. Seseorang pemain politik hanya akan duduk berehat di dalam bot tersebut dan pengikut itulah yang akan membawa pemain politik itu ke arah matlamatnya. Dalam hal ini, persepsi pengikut adalah faktor yang menjamin kejayaan Mind Control si pemain politik itu tadi.

“Make them confuse with questions, then provide the answers.” – KAEDAH KEDUA.

Persepsi tidak akan wujud selagi minda tidak dikelirukan. Bakal pengikut perlu melalui fasa keliru, ia wajib dilakukan sehingga mereka benar-benar keliru dan tersepit di celah-celah persoalan. Sekali lagi, andaikan bahawa anda adalah seorang pemain politik.

Kekeliruan itu haruslah berpihak kepada bakal pengikut anda. Biar bakal pengikut anda keliru dengan masalahnya sendiri. Biar bakal pengikut anda terbelit dengan masalahnya sendiri. Biarkan dia berfikir bahawa yang membelit tubuhnya itu bukan disebabkan faktor-faktor lain, biarkan dia berfikir bersulam persepsi yang keliru bahawa masalah yang dihadapinya itu adalah disebabkan oleh pihak lain iaitu musuh politik anda.

Langkah selanjutnya, anda perlu tutup segala peluang untuknya berfikir mengenai cara terbaik yang boleh membawa dia keluar daripada masalah itu. Jangan buka peluang untuk bakal pengikut anda berfikir mengenai jawapan lain yang boleh membawa dia keluar daripada keadaan itu.

Sebaliknya, anda hanya perlu memaksa bakal pengikut anda menerima penyelesaian dan jawapan yang telah anda sediakan. Lontarkan idea anda kepadanya yang memihak kepada ideologi politik anda. Secara persepsi, bakal pengikut anda akan terus menjadi pengikut anda secara rasmi apabila dia berfikiran bahawa hanya dengan berjuang bersama anda sahaja barulah masalah yang dihadapinya itu akan selesai.

“Keep them drowning, they will know that they need air with your help.” – KAEDAH KETIGA.

Walaupun begitu, masalah yang dihadapi oleh pengikut itu tidak boleh lagi diselesaikan secara drastik selagi matlamat anda belum tercapai. Pengikut harus dibiarkan terkapai-kapai dalam masalahnya sendiri tanpa perlu menghulurkan pertolongan kepadanya.

Ini kerana, pengikut anda akan terus bersama anda selagi dia tidak mendapat pertolongan seperti anda dijanjikan. Pengikut anda akan terus kekal bersama anda setelah persepsinya meyakini kata-kata anda. 

Dalam peringkat ini, pengikut akan melalui tahap ‘mind slave’ yang serius dan tidak perlu bimbang kerana ia menguntungkan anda.

Pengikut anda yakin bahawa anda sahaja yang boleh membantunya keluar daripada masalahnya itu. Itu kelebihan yang anda ada. Dalam peringkat ini juga, pengikut itu akan melakukan apa sahaja perintah yang anda keluarkan.

Pada masa itu juga, anda menguasai pemikiran mereka dalam tahap yang hampir berjaya walhal anda sendiri tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah pengikut-pengikut anda dan juga masalah-masalah anda sendiri.
--

Untuk tidak mahu menjadi mangsa atau hamba kepada demokrasi, persepsi haruslah diseimbangkan dengan daya kognitif. Seseorang yang hidup dalam persekitaran demokrasi wajar bijak dalam memahami apakah itu demokrasi.

Demokrasi bukan semata-mata mengadakan pilihanraya untuk memilih kerajaan dari kalangan rakyat. Ia juga berkaitan kebebasan kita untuk berfikir, mempertikai setiap perkara tidak masuk akal yang cuba mempengaruhi kita supaya tidak mudah dipengaruhi.

Bebas berfikir dan bersuara juga adalah demokrasi. Maka jika ada pemain politik yang mahu mempengaruhi anda, gunakan kebebasan demokrasi itu untuk mempertikai sebarang idea jika terdapat kesangsian. Andai ada keterangan jawapan yang ‘bersambung-sambung’ terhadap persoalan-persoalan maka ia boleh difikirkan untuk diterima sebagai jawapan.

Sebaliknya, jika keterangan sebagai jawapan terhadap sesuatu persoalan itu kerap ada ‘terputus-putus’ maka, ia juga wajar difikirkan sama ada kita mahu menerimanya sebagai jawapan atau memutuskan ia sebagai penipuan dan pembohongan.

Minda (bolehlah dipermudahkan sebagai akal dalam konteks ini) hanya akan dikawal sekiranya ia tidak digunakan untuk berfikir kerana fitrahnya juga adalah untuk membantu kita berfikir. Andai minda tidak digunakan untuk berfikir, maka ia akan mudah dikawal. Itu adalah syarat untuk terselamat dalam permainan ini.

Hitung kembali dan buat ‘mind check-up’… adakah minda anda sedang berada dalam kawalan mana-mana pihak yang berkepentingan politik?









"ARE YOU A POLITICAL SLAVE? Better not be."


- CLOVER -












17 Jul 2011

The Psy-War Post: Monopoli propaganda





MENUTUP kecenderungan orang ramai untuk menilai kepelbagaian maklumat terhadap sesuatu isu atau sesuatu perkembangan daripada pelbagai sumber menjadikan pemikiran orang ramai hanya menerima maklumat daripada satu sumber sahaja secara sempit sehingga pemikiran menjadi lemah dalam membuat penilaian serta pertimbangan secara waras.


Dalam perkara ini, orang ramai akan menjadi alpa (tidak sensitif) terhadap perkembangan sebenar yang mewakili realiti (sintetik). Sebaliknya akan mempercayai bulat-bulat terhadap sumber propaganda yang disuruh mereka rujuk itu. Ia dilakukan secara meluas ketika Perang Dunia Kedua.

Semasa pendudukan Jepun di Malaya ketika Perang Dunia Kedua, orang ramai dilarang sama sekali untuk membaca sebarang bahan bacaan yang dibawa masuk daripada benua Eropah terutama dari Britain dan Amerika. Jika ada, hanya dari Jerman dan negara-negara sekutu Jepun sahaja yang dibenarkan.

Selain bahan bacaan, Jepun juga melarang penduduk Malaya daripada memasang radio sama ada yang menerima gelombang frekuensi tempatan ataupun antarabangsa. Ketika itu, Jepun hanya membenarkan penduduk Malaya mengambil sumber maklumat dari negara-negara anggota Axis sahaja. Hanya sumber maklumat dari pihak mereka sahaja yang boleh memonopoli pemikiran orang di negara yang mereka duduki. Itu adalah contoh paling hampir untuk menggambarkan keadaan yang dimaksudkan.

Dalam senario politik pula, orang ramai khususnya pengikut ditegah daripada merujuk sumber-sumber maklumat yang lain, dan hanya dibenarkan merujuk sumber rasmi mereka sahaja (bagi sesebuah parti politik). Walaupun sumber yang lain itu tampil dengan segala bentuk kewarasan dalam penyampaian maklumat supaya orang ramai dapat berfikir dengan waras, namun orang ramai ditegah daripada merujuknya dan dikatakan sumber yang selain daripada sumber mereka hanya diselimuti dusta semata-mata. Sebaliknya, orang ramai yang khususnya pengikut itu hanya disuruh merujuk sumber rasmi yang mendukung fahaman mereka sahaja.

Ia adalah Mind Game paling kejam dalam usaha menguasai pemikiran orang ramai supaya terikat dengan segala propaganda yang ingin disampaikan melalui sumber rasmi mereka itu. Kejam kerana orang ramai dipaksa menerima sumber-sumber yang menyebelahi mereka semata-mata. Kejam dalam mood yang lembut.
--

Apabila minda dihalang daripada merujuk sumber pelbagai

Untuk mendapatkan kefahaman mengenai sesebuah isu, kita wajar meneliti semua jenis maklumat yang sampai kepada kita. Maklumat-maklumat yang sampai itu pula harus dikaji dengan pelbagai kaedah yang sewajarnya. Ia tidak harus diterima bulat-bulat sebagai fakta, dan tidak pula wajar ditolak secara membuta tanpa sebarang inisiatif untuk menilai mengenainya. Maklumat yang neutral ialah maklumat yang mengajak kita berfikir dan pemberi maklumat itu pula menyerahkan kepada kita untuk berfikir mengenai maklumat yang ingin disampaikannya.

Manakala maklumat yang berat sebelah pula ialah maklumat yang bersifat mempengaruhi supaya kita berfikir mengikut kemahuan pemberi maklumat itu tanpa memberi peluang kepada kita untuk menilai segala maklumat yang disampaikan itu.

Maklumat neutral adalah maklumat yang memberi kebebasan kepada kita untuk membuat keputusan, manakala maklumat berat sebelah adalah maklumat yang hanya mahu mempengaruhi kita dan tidak lebih daripada itu. Fahami perbezaan tujuan maklumat itu disampaikan dan anda akan mudah mengikuti artikel ini.

“Jangan tengok berita kat TV tu, semua tu tipu. Jangan baca semua surat khabar tu, semua tu pun tipu juga. Hanya baca surat khabar (tabloid politik) yang sokong kita sahaja, yang lain-lain tu jangan baca. ” – CONTOH ARAHAN.

“Ketua kita tak bagi tengok berita TV tu, aku pun tak tengok la. Surat khabar tu pun aku tak baca sebab ketua tak bagi kita baca. Aku baca surat khabar yang boleh (dibenarkan) baca sahaja.” – CONTOH KEPATUHAN TERHADAP ARAHAN TADI.

Apabila berlaku seperti keadaan di atas, maka segala kecenderungan untuk seseorang itu menerima maklumat yang pelbagai akan ditutup rapat. Kesannya, seseorang itu tadi akan menerima segala input propaganda yang datang daripada satu arah sahaja (dari pihak yang disokongnya). Manakala apabila maklumat lain sampai kepadanya dari arah berlainan, maka ia akan menganggap maklumat itu sebagai tidak boleh dipercayai. Itu hanya prinsip asas dalam perkara ini sebelum kita mendalaminya.

Maklumat yang berbeza sangat diperlukan supaya kita dapat melihat kepada titik-titik yang membezakan maklumat itu. Maklumat sebenar tidak datang hanya dari sumber bertulis atau visual kerana ia hanya sebagai sumber sekunder. Maklumat yang tepat adalah maklumat yang datang dari sumber asal maklumat itu tadi.


Maklumat yang tidak melalui fasa distortion, iaitu maklumat lisan pertama daripada individu yang menyediakan maklumat asal, bukan sumber lisan kedua atau seterusnya, melainkan sumber lisan pertama. Daripada sumber lisan pertama itu, maka lahirlah sumber bertulis dan visual.


Penerima yang mendapat maklumat daripada sumber asal itu pula adalah pihak kedua yang menulis atau memvisualkan maklumat itu menjadi maklumat sekunder. Penerima maklumat yang menerima maklumat daripada individu lisan itu juga menjadi pemberi maklumat kepada kita. Penyedia maklumat adalah primer, penerima maklumat daripada primer pula (penyampai) menyediakan sumber tahap sekunder kepada kita, manakala kita pula menjadi pihak tertier dan seterusnya. Maka, itu pula proses penyampaian maklumat.

Oleh itu, penerima maklumat (sekunder) yang menerima maklumat primer bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tujuan maklumat itu disampaikan kepada kita (tertier). Pihak sekunder itu pula mempunyai tujuan sendiri. Ia terpecah kepada dua kelompok pihak sekunder iaitu kelompok sekunder yang mahu mempengaruhi kumpulannya dan kelompok sekunder yang mahu mengajak semua kumpulan berfikir.
--

Kelompok-kelompok sekunder

Kelompok sekunder yang mahu mempengaruhi kumpulan audiens adalah kelompok yang bekerja untuk tuan-tuan politik mereka. Kelompok ini bekerja untuk memastikan audiens (orang awam) menyebelahi tuan-tuan politik mereka. Kelompok ini wujud dalam semua parti politik yang wujud di dunia ini. Kelompok ini adalah organisasi media / korporat media.

Tiada istilah kebebasan media dalam kelompok ini kerana mereka sendiri yang tidak mahu diri mereka menjadi bebas. Tidak bebas kerana kelompok ini sememangnya bekerja untuk tuan-tuan politik mereka semata-mata.

Katakan ada dua sumber media. Satu sumber itu tegar menyebelahi parti politik A dan satu lagi pula tegar menyebelahi parti politik B, maka kedua-dua mereka itu adalah kelompok sekunder yang mahu mempengaruhi kumpulan-kumpulan yang mereka pilih. Mereka-mereka ini sebenarnya gigih berlumba-lumba di atas balapan politik kerana mahu mempengaruhi kita.

Kedua-dua sumber itu juga bekerja untuk tuan politik mereka dan tidak bebas. Mereka mahu audiens menjadi tegar terhadap kumpulan politik masing-masing. Maka, kedua-dua kumpulan ini bertindak kejam dalam konteks tugas mempengaruhi minda orang ramai.

Akan lebih kejam apabila audiens berubah menjadi taksub terhadap satu sumber sahaja dengan menolak sumber-sumber lain. Apabila keadaan itu tercetus, maka propaganda berjalan lancar tanpa perlu melakukan tugas yang sukar untuk mempengaruhi kerana audiens memilih sendiri sumber-sumber yang mereka mahu percaya secara absolute selektif. Lebih kejam atau tidak, ia bergantung kepada tahap kedunguan audiens sendiri.

Tuan-tuan politik menjadikan sumber media sebagai alat propaganda yang paling berkesan. Alat-alat propaganda (media) ini pula akan saling bersaing dengan media lawannya untuk meraih pengaruh kumpulan-kumpulan audiens di luar sana.

Maka, tidak wujud situasi kebebasan organisasi media dalam konteks ini kerana masing-masing bekerja untuk tuan politik masing-masing. Apabila timbul suara-suara yang kononnya memperjuangkan kebebasan media (seperti pernah dicanang sebuah pakatan parti-parti politik suatu ketika dahulu), maka ia adalah sesuatu yang tidak langsung mewakili realiti.

Realitinya, anda ditipu dalam perihal memperjuangkan kebebasan media. Tiada satu pun organisasi media di dunia yang tidak menyebelahi mana-mana tuan politik. Setiap organisasi media mempunyai kepentingan terhadap parti politik masing-masing. Itu realiti yang ditelan walaupun terasa seperti menelan air yang berduri.
Maka, tidak wujud juga terma satu pihak media itu benar dan telus sepenuhnya melebihi pihak yang satu lagi.

Ia kerana maklumat yang disampaikan akan tetap condong ke arah sesebuah parti politik yang mereka perjuangkan. Pihak tertier (orang awam) yang menerima maklumat yang disampaikan media-media itu pula adalah mangsa. Kamu semua adalah mangsa.

Namun, wujud satu kelompok lagi iaitu kelompok sekunder yang mahu mengajak semua kumpulan berfikir secara waras dengan mengajak orang ramai mempertimbangkan semua jenis maklumat (dari semua arah) yang sampai kepada mereka (audiens) secara bijak.

Kelompok ini adalah individu-individu yang wujud dalam organisasi media. Kelompok ini bukan organisasi media yang bekerja untuk tuan politik masing-masing, tetapi hanya lemah berdiri sebagai individu-individu yang bekerja di bawah organisasi-organisasi media itu.

Kewujudan kelompok ini dalam organisasi media adalah disebabkan prinsip mereka yang faham terhadap fungsi media yang sebenar dalam memurnikan pemikiran audiens terhadap kewajaran membuat keputusan yang waras. Kelompok ini mahu audiens waras berfikir tanpa kongkongan mana-mana parti politik.

Untuk melihat kewujudan kelompok kedua ini, kita wajar melihat kepada semua terbitan berita dalam sesebuah produk media (berita akhbar atau TV atau juga portal berita internet). Jika sesebuah akhbar, stesen TV atau portal berita internet itu hanya 100 peratus melaporkan kebaikan pihak politik yang diperjuangkannya dan mencemuh mengutuk mengkritik pihak lain, maka kelompok kedua itu tidak wujud dalam organisasi itu.

Andai wujud sekalipun, suara individu dalam kelompok kedua seperti itu sudah dibisukan dalam organisasi itu atau sudah lama disingkirkan secara bersistem. Ia kerana keseluruhan lapisan ‘chain of command’ dari peringkat atas hingga bawah dalam organisasi itu dikawal sepenuhnya oleh kelompok pertama iaitu kelompok sekunder yang mahu mempengaruhi kumpulan. Penguasaan kelompok pertama itu dalam sesebuah organisasi media akan menyebabkan usaha kelompok kedua tidak akan pernah kesampaian.

Namun, andai ada laporan akhbar atau berita TV yang mengajak semua orang berfikir terhadap percanggahan kenyataan atau fakta, maka individu dalam kelompok kedua (kelompok sekunder yang mahu mengajak semua kumpulan berfikir) sememangnya wujud dalam organisasi media itu. Laporan seperti itu sengaja dibuat dan sengaja diterbitkan supaya orang ramai boleh berfikir berdasarkan fakta benar dan fakta salah.

Kelompok ini adalah individu-individu yang sensitif terhadap semua jenis maklumat yang sampai kepada orang awam dan mengkaji semua maklumat tersebut. Laporan dibuat supaya orang ramai juga berfikir bersama mereka dan menilai mana satu yang betul dan mana satu yang salah. Ia juga bermakna, dalam ‘chain of command’ organisasi itu masih terdapat individu-individu yang tidak menyebelahi mana-mana pihak dan mereka lebih gemar mengajak audiens berfikir. Mereka mahu audiens berfikir bersama mereka terhadap perkara-perkara persoalan yang mereka nampak.

They want you to see as what they see, but they never want you to think as what they think, they just want to show you the way you should think, but the wise or worse decisions are always yours.
Itulah isi hati kelompok kedua.


Pun begitu, andai laporan seperti itu dikeluarkan, maka organisasi yang 100 peratus dikuasai kelompok pertama itu akan segera mematahkan cubaan kelompok kedua dalam organisasi yang satu lagi. Maka, timbul keadaan di mana propaganda baru dikeluarkan segera untuk mengalih perhatian orang ramai daripada berfikir.


Dalam keadaan ini, red herring mungkin digunapakai, mungkin blame game juga akan digunakan bagi mengembalikan kesalahan itu kepada pihak lawan. Menjadi mangsa dalam keadaan ini ialah audiens-audiens yang gagal berfikir dan terikat dalam kekeliruan sederhana kompleks.
--

Bagaimana untuk tidak mahu menjadi mangsa?

Mudah. Tidak susah. Audiens perlu bijak menerima setiap maklumat yang sampai kepada mereka. Maklumat yang sampai itu pula harus dipadankan dengan maklumat lain yang boleh menerangkan keadaan sebenar. Maklumat lain itu boleh jadi maklumat luar yang boleh terdiri daripada set-set perkembangan dari luar negara yang menjelaskan kenapa sesuatu perkara itu berlaku di negara mereka dan keadaan itu mungkin sekali sama atau hampir sama dengan perkara yang sedang berlaku di negara ini. Ia membuka ruang kepada kita untuk berfikir bahawa realiti kita hidup di dunia yang mempunyai banyak negara, kita bukan hidup di sebuah planet terpencil yang bernama Malaysia dan dihuni oleh kita sahaja.

Setiap isu atau persoalan yang muncul dalam persekitaran, ia wajar dilihat dari aspek yang sewajarnya. Jika ia berkisar mengenai keselamatan alam sekitar, maka ia wajar difahami dari sudut biologi dan fizik, bukan difahami mengikut pandangan seseorang tidak berlandaskan fakta biologi atau fizik. Jika ia berkisar masalah ekonomi, maka ia wajar dilihat dari kaca mata ekonomi, bukan dari sudut pandangan politik yang sempit.


Pangkalnya, audiens perlu bijak. Bijak berfikir dan membuat pertimbangan berdasarkan maklumat-maklumat yang boleh membantu audiens berfikir. Jangan pula disuruh angguk, kita angguk. Disuruh geleng, kita geleng. Disuruh guling, kita guling. Disuruh mati, kita mati. Kita didatangi sekian banyak maklumat mengenai pelbagai perkara pada setiap hari.

Tidak wajar sesuatu maklumat itu ditolak mentah-mentah dan menerima bulat-bulat maklumat yang satu lagi. Jika menerima sesuatu maklumat, ia harus difikirkan dan bukan dibuang begitu sahaja. Maklumat yang sampai itu harus dipertimbangkan dengan tingkat kewarasan yang sepatutnya. Jika yang disampaikan itu dikatakan sebagai bukti, maka fikirkanlah mengenai perkara itu. Lihat dari semua arah dan pertimbangkan dari semua arah.

Jika maklumat itu memandu ke arah mengajak kita berfikir, maka berfikirlah. Jika maklumat itu hanya menyebelahi sebelah pihak, maka jadikan ia sebagai penanda aras pertama. Jika maklumat itu bertentangan dengan yang satu lagi, maka jadikan ia sebagai penanda aras yang kedua. Jika telah sampai maklumat yang mengajak kita berfikir mengenai kedua-duanya, maka berfikirlah sebaik-baiknya. Tiada ruginya kalau kita berfikir.

Begitu juga dengan kita di sini, andai artikel ini difikirkan berguna, maka fikirkanlah mengenainya. Andai mahu membuang artikel ini dari tingkat pemikiran anda, maka terpulanglah kepada anda.


Anda sedang menelan semua propaganda sehingga menjadi darah daging. Pernahkah kamu terfikir?




[Nota ADMIN: Blog Umat Terakhir tiada akaun Facebook, Twitter atau sebagainya. Harap maklum.]

- CLOVER -